suria

Watak 'playboy' beri inspirasi untuk Yazid jadi pelakon

Mohd Yazid Kamal Ibrahim. -foto THE STAR oleh CHAN TAK KONG
Mohd Yazid Kamal Ibrahim. -foto THE STAR oleh CHAN TAK KONG
Mohd Yazid Kamal Ibrahim. -foto THE STAR oleh CHAN TAK KONG

ALUMNI program realiti hiburan Akademi Fantasia (AF) pada dasarnya mengembangkan kerjaya seni mereka sebagai penyanyi tersohor.

Mila misalnya selaku juara AF musim kelima kini merupakan penyanyi terkenal yang mewarnai persada hiburan tempatan.

Lain pula bagi alumni AF musim ketujuh, Yazid atau nama sebenarnya, Mohd Yazid Kamal Ibrahim yang ingin menjadi seorang pelakon seperti Rosyam Nor.

Menurut Yazid, dia dapat mengesan rasa minat berlakon pada dirinya hadir setelah membuat persembahan teater muzikal pada minggu kelapan.

"Mula-mula saya tidak berasa yakin membuat persembahan muzikal, 'Impak Maksima' dengan Aishah. Bila dah berlakon, baru boleh rasa puas.

"Sebelum ini, saya tidak pernah berlakon walaupun hati beria-ia benar hendak cuba berlakon," kata Yazid yang kini sibuk dengan aktiviti-aktiviti Astro show.

Yazid adalah antara kira-kira 100 artis yang hadir pada Malam Sambutan Anugerah Bintang Popular 2008 di Restoran Bossa Nova, Hotel Parkroyal baru-baru ini.

Menjurus kepada persembahan minggu kelapan konsert AF7 bertemakan teater muzikal, Yazid bergandingan dengan Aishah dalam teater muzikal mereka, "Impak Maksima".

Yazid berlakon sebagai seorang 'playboy' (lelaki yang suka berfoya-foya) dan bakat lakonan begitu terserlah sehingga para juri memilihnya sebagai Pelajar Terbaik untuk konsert tersebut.

Sesungguhnya Yazid berterima kasih kepada para peminatnya atas sokongan padu yang diberikan sejak penampilan awalnya dalam AF hingga kini.

"Saya berharap mereka terus-menerus menyokong Yazid jika saya bercadang membuat sesuatu yang baru (berlakon). Harap peminat dapat berikan peluang kepada saya untuk berkecimpung dalam industri hiburan," ujarnya dengan penuh harapan.

Menyelusuri liku-liku hidupnya sekarang, Yazid yang berambut kerinting dan panjang sedang mengusahakan singlenya, 'Ya Papa' yang ditulis oleh komposer muda Taja dari Meet Uncle Hussain.

"Single itu belum dilancarkan kerana sibuk dengan program Astro show," katanya yang bercadang hendak membuat lagu sendiri pada masa depan.

Pun begitu, peminatnya tentu tertanya-tanya kenapa Yazid memilih lagu 'Ya Papa' untuk dikomersialkan sedangkan dia gagal membawanya dengan baik pada final AF7.

Malah juri turut melahirkan rasa kecewa kerana tempo, karakter dan aliran suara Yazid tidak kena pada lagu yang dibawanya ketika itu.

"Lagu ini (Ya Papa) memang pilihan Yazid. Masa itu final, Yazid belum membuat persiapan secukupnya," ujarnya.

Dalam perkembangan terkini, Yazid sibuk terlibat dengan rancangan komedi terbitan Astro, "Cak-Cak Raya" yang bakal ditayangkan pada musim raya ini.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain