suria

Album pertama pelengkap kerjaya seni Saifulapek

Saifulapek bersama para penyanyi dalam album terbarunya. -foto THE STAR oleh ONG SOON HIN
Saifulapek bersama para penyanyi dalam album terbarunya. -foto THE STAR oleh ONG SOON HIN
Saifulapek bersama para penyanyi dalam album terbarunya. -foto THE STAR oleh ONG SOON HIN

SELEPAS 15 tahun menjaja seni dalam arena hiburan, Saifulapek atau nama sebenarnya, Mohd. Saiful Azam Mohammed Yusoff melengkapkan 'resume'nya dengan melancarkan album pertamanya, 'Saifulapek dan Famili' semalam.

Album dengan enam lagu tersebut membuktikan Saifulapek berdarah seni sebagai seorang pelakon, penyanyi, pemuzik, pengarah,penerbit, ahli peniaga, pengacara dan juruhebah.

Ia juga merealisasikan cita-cita Saifulapek untuk berkongsi kejayaannya selama lebih 15 tahun dalam arena seni dengan para peminatnya.

"Sejak 2001, saya sudah merancang untuk membuat album ini. Apa yang melambatkan niat saya itu adalah kerana saya membuat macam-macam benda.

Kalau saya penyanyi sahaja .. cepatlah.

"Itulah proses yang saya lalui dalam karier seni saya. Saya akui lebih mengutamakan lakonan berbentuk komedi," katanya pada majlis pelancaran Album Saifulapek dan Famili serta portal interaktif saifulapek.com.my di Borneo Baruk Club, Kuala Lumpur.

ENAM LAGU TERBAIK

Enam buah lagu terbaik yang bakal menjadi siulan semua peminat Saifulapek terdiri daripada 'Hua.. Hua.. Hua...' oleh komposer terkenal AJ 'Pop Shuvit' serta lirik oleh Filsuf; Hati Batu (AJ 'Pop Shuvit' / Filsuf) dan Joget Ikutkan Hati (Miss 3/Miss 3 dan Saifulapek).

Lain-lain lagu ialah Kalakian (lagu dan lirik oleh Azmeer); Kembalilah (CD naz / CD naz, D'Adza, Miss 3 dan Saiful Apek) dan Lagu Pantun Melayu (Kopi) (Ajin / Orang Melayu).

Ia bakal menggabungkan penyanyi seperti Yassin Yahya, Bob Kuman, CD naz, Kumpulan D'Adza, Along Raja Lawak, Angah Raja Lawak, Mie Raja

Lawak dan Diarra

Mereka rata-ratanya adalah rakan-rakan seangkatan Saifulapek dalam industri hiburan dan ini turut menjelaskan nama albumnya, 'Saifulapek dan Famili'.

Menariknya, D'Adza pernah berlakon bersama Saifulapek dalam filem Lang Buana sementara Diarra ialah penyanyi soundtrack filem arahan pertama Saifulapek, 'Shh... Dia Datang'.

KELAINAN

Saifulapek yang menyanyi dengan suara serak-serak basah berkata, dia memilih sendiri komposer-komposer hebat seperti Azmeer, Miss3, Dali Ahli Fiqir dan AJ Pop Shavit untuk menghasilkan lagu-lagu berkualiti.

"Memandangkan tidak semua lagu di dalamnya berkonsepkan komedi, lagu-lagu album 'Saifulapek dan Famili' menjanjikan sesuatu kelainan dari segi genre, gubahan muzik, lirik serta pelbagai penyanyi.

"Penantian hampir lapan tahun adalah satu penyeksaan. Bagaimanapun, saya tak nak tangkap muat sahaja (pilih lagu untuk membuat album)," kata Saifulapek sambil menambah dia telah membelanjakan hampir RM30 ribu untuk menghasilkan album tersebut.

Tambahnya, dia memilih enam lagu terbaik kerana lebih mementingkan kualiti berbanding dengan kuantiti.

Mengenai perancangan mengeluarkan album solo kelak, Saifulapek berkata dia ingin mengeluarkannya dalam masa terdekat.

"Sebenarnya saya ingin meletakkan lagu 'Joget Ikutkan Hati' dalam album solo saya nanti. Bagaimanapun, saya letakkannya dalam album terbaru ini untuk dijadikan sekuel album solo saya kelak," kata Saifulapek.

Menerusi portal www.saifulapek.com.my , para peminat berpeluang berchatting dengan Saifulapek di bilik-bilik chat yang dipanggil Warung Mak Ton, Balairaya, Kaki Tembok dan Jeti. Laman forum turut disediakan.

Mereka juga boleh mendapatkan cenderamata eksklusif yang direka khas.

Artikel Lain