suria

‘Skrip 7707’ - sebuah filem seram yang tidak kesampaian?

Misteri wanita menangis terjawab dalam kisah pertama.
Misteri wanita menangis terjawab dalam kisah pertama.
Misteri wanita menangis terjawab dalam kisah pertama.

SEPULUH cerita seram yang dihimpunkan dalam filem ‘Skrip 7707’ dirasakan kurang memberikan impaknya memandangkan terlalu banyak naratif yang ‘disogok’ sehingga kurang meninggalkan kesan kepada penonton.

Disebabkan itu, filem ini dirasakan tidak puas ditonton kerana hanya beberapa sisipan cerita yang agak menyeramkan dan ada antaranya langsung tidak menyeramkan.

Jadi, graf ceritanya turun naik dan tidak betul-betul memberikan klimaks cerita yang diinginkan oleh peminat filem seram.

Sepatutnya pengarah dan penerbit perlu memilih cerita yang dirasakan cukup menyeramkan dan kemudian ditambah dengan rencahnya agar ia meninggalkan lebih impak.

Bukannya sekadar setiap 10 minit diberikan kejutan yang adakalanya tidak menyeramkan itu akan membuatkan penonton tidak mengingati langsung apa yang dipertontonkan pada akhir cerita.

Sepuluh cerita seram itu mengadunkan sebuah cerita utama bersama dengan sembilan cerita sisipan.

Kesembilan cerita ini memaparkan tentang pengalaman sembilan orang bertemu dengan hantu dan ada juga berdasarkan pengalaman orang lain.

Kisah pertama menceritakan tentang seorang pelajar yang menginap di hadapan sebuah bilik kosong dan sering terdengar bunyi-bunyi pelik seperti wanita menangis dan gelang kaki datang dari bilik itu sehingga dia memberanikan diri untuk melihatnya.

Pada malam itu, dia diganggu oleh seorang ‘hantu’ wanita India. Yang menariknya, teknik suntingan dan kesan bunyi yang mengaplikasikan sistem ‘Digital Dolby Surround’ berjaya menghidupkan suasana suspens dan menakutkan.

Kisah kedua pula menceritakan tentang seorang pelajar yang sedang menghabiskan kerjanya di makmal komputer sehingga lewat malam tiba-tiba terdengar bunyi dan terasa seperti ada sesuatu di belakangnya.

Apabila dia mahu pulang, dia mendapat gangguan semasa berjalan menuju ke lif dan lif yang dinaikinya itu berhenti di setiap tingkat sehinggalah selepas itu muncul ‘hantu’ wanita di hadapannya.

Sisipan ini berjaya mencuit penonton dengan elemen suspens yang mendebarkan dengan kesan bunyi dan teknik imejan komputer (CGI ).

Seterusnya kisah ketiga pula menceritakan tentang Hantu Raya boleh menyerupai manusia sering mengganggu masyarakat sekelilingnya.

Ceritanya bermula apabila seorang wanita yang sarat mengandung dalam kesakitan telah mendesak suaminya untuk memanggil bidan.

Di sini, elemen suspensnya kurang menjadi kerana penonton seperti sudah dapat mengagak tentang apakah yang akan berlaku seterusnya menyebabkan ceritanya dianggap biasa sahaja.

Kisah keempat pula menceritakan tentang Ayu, seorang gadis kampung yang terlanjur dengan kekasihnya sehingga mengandung. Kemudian dia menggugurkan kandungan itu menggunakan cara tradisional atas desakan kekasihnya.

Setiap babak dalam cerita ini langsung tidak menyeramkan sebaliknya mengundang hilai tawa penonton bilamana mereka merasakan watak Ayu yang dilakonkan oleh Fasha Sandha itu agak mencuit hati.

Lebih-lebih lagi semasa babak Fasha mengikut ‘hantu’ bayi yang membawanya ke perigi sambil memanggil ‘anak mak’ berulang kali.

Kisah kelima juga tidak terlalu menyeramkan tetapi lebih memberikan pengajaran kepada penonton agar tidak meninggalkan solat fardhu.

Ia mengisahkan tentang seorang makcik telah hadir ke bilik mayat untuk menuntut mayat anaknya tetapi sesuatu yang aneh berlaku selepas sepasang suami isteri turut datang menuntut mayat tersebut.

Seterusnya, penonton diberi paparan tentang pesakit di hospital yang membuat bising dengan rakan-rakannya secara tiba-tiba dimarahi oleh seorang lelaki tua.

Keadaan bertukar menjadi seram apabila si pesakit menggeletar ketakutan melihat lelaki tua itu.

Sisipan ini mendatangkan elemen seram dan suspens bilamana orang tua itu adalah ‘hantu’ yang muncul di mana-mana mereka pergi ketika melarikan diri dari hospital itu.

Namun, ceritanya agak singkat dan cepat berlalu sehingga penonton tertanya-tanya apa yang berlaku sebenarnya kerana cerita itu dialami oleh pencerita itu sendiri.

Kisah ketujuh menceritakan tentang roh seorang budak lelaki yang sentiasa menganggu keluarganya kerana ada sesuatu yang menahannya dari pergi dengan aman.

Cerita ini agak menarik untuk dikongsi bersama penonton. Teknik CGI yang digunakan mampu menunjukkan budak lelaki itu telah mati dengan tragis.

Selepas itu, cerita mengenai seorang lelaki yang bekerja sebagai tukang tarik kereta pergi berjumpa dengan orang yang sepatutnya membayarnya duit kereta, tetapi pertemuan itu menjadi ganas apabila orang yang sepatutnya menjelaskan hutang itu meminta tangguhan.

Ini membuatkan tukang tarik kereta hilang sabar dan terus membelasah penghutang itu sehingga mati.

Cerita ini sebenarnya lebih mendatangkan unsur ganas dan suspens semasa babak dipukul dan dilanggar.

Kisah terakhir menceritakan tentang empat orang remaja telah bermalam di sebuah hospital ‘tinggal’ dan salah seorang daripada mereka bersikap takbur mengatakan dia tidak takut hantu.

Paparan hantu dalam cerita ini tidak terlalu menakutkan dan dirasakan tidak sesuai berada di tempat terakhir.

Awalan dan akhiran filem yang merupakan cerita utama kurang memberikan impak mendalam kerana ceritanya agak mudah dan sudah diagak apa yang berlaku.

Sesetengah pelakon dalam cerita utama dan sisipan itu juga nampak kaku dan lemah.

Secara keseluruhannya, penonton merasakan filem ini mendatangkan kesan yang berlainan di antara mereka. Ada yang takut dan ada yang tidak langsung.

Erti seram juga sebenarnya agak subjektif. Kadangkala dengan elemen ‘mengejut’ juga mampu membuatkan seseorang itu meremang bulu roma dan ‘kecut perut’.

Bagi yang ingin menonton, rasanya tidak rugi juga kerana dalam menyampaikan cerita seram, Prof Madya A. Razak Mohaideen selaku pengarah dan pencetus konsep filem ini tidak lupa menyelitkan mesej berguna untuk dijadikan iktibar kepada masyakarat.

Seperti kata Razak, daripada 27 cerita seram yang dia kumpulkan, hanya sembilan cerita sisipan dan satu cerita utama yang ditapis dengan mencari iktibar, ajaran agama dan kejutan.

Selain itu, tarikan filem ini juga bergantung kepada lebih 35 pelakon yang dikenali ramai.

Antaranya adalah Norman Abdul Halim, Fouziah Gous, Fasha Sandha, Que Haidar, Jehan Miskin, Norman Hakim, Abby Abadi, Almy Nadia, Ruminah Sidek, Sharifah Shahira dan Kanchana Devi.

Bagi membuat penilaian sendiri, saksikan filem ‘Skrip 7707’ di 50 pawagam seluruh Malaysia mulai 16 Julai ini!

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain