suria

Wardina bakal lancarkan buku karya sendiri

Wardina mengakui jika dia tidak menjadi pelakon, dia akan menjadi seorang penulis.-foto THE STAR oleh AHMAD IZZRAFIQ ALIAS
Wardina mengakui jika dia tidak menjadi pelakon, dia akan menjadi seorang penulis.-foto THE STAR oleh AHMAD IZZRAFIQ ALIAS
Wardina mengakui jika dia tidak menjadi pelakon, dia akan menjadi seorang penulis.-foto THE STAR oleh AHMAD IZZRAFIQ ALIAS

JADUAL karier yang padat serta tanggungjawab yang digalasnya sebagai ibu dan isteri tidak menjadi penghalang buat Wardina Safiyyah untuk terus mencapai impiannya bergelar penulis buku.

Dalam kesibukan menguruskan rutin harian, pelakon dan pengacara popular ini tetap berjaya 'mencuri' masa untuk menghasilkan buku panduan untuk para ibu serta buku cerita bersiri kanak-kanak yang kini sudah pun siap dan sedang menjalani proses ilustrasi sebelum dilancarkan serentak sekitar akhir tahun ini.

"Minat menulis memang sudah lama ada dalam diri saya, sejak di bangku sekolah lagi. Kalau saya tidak menjadi pelakon, saya rasa memang saya akan menjadi seorang penulis.

"Buku panduan untuk ibu-ibu itu tercetus setelah saya menyedari ramai wanita sering bertanyakan pada saya tentang tips pemakanan bayi, penyusuan dan sebagainya.

"Saya sendiri pun tidak tahu mengapa mereka sering bertanyakan pendapat saya dan dari situlah saya rasa bagus juga jika saya hasilkan satu buku menceritakan tentang pengalaman sendiri sebagai seorang ibu. Untuk siri pertama ini, saya memfokuskan kepada aspek pemakanan.

"Mengenai buku cerita kanak-kanak pula, ia adalah ilham daripada seorang kenalan sebenarnya. Dan buku ini saya hasilkannya di dalam bahasa Melayu (BM) kerana ketika ini, buku kanak-kanak dalam BM sangat kurang.

"Insya-allah, pelancaran buku-buku ini akan dibuat tidak lama lagi. Sekarang sedang mencari tarikh yang sesuai," kata Wardina yang ditemui pada majlis pelancaran drama bersiri Impian di The Curve, semalam.

Menurut ibu kepada tiga cahaya mata iaitu Amna Nafeesa, 6, Azra Sareera, 3, dan Imran Arrazi, 7 bulan ini, buku-buku tersebut dianggapnya cukup 'personal' dan istimewa buat dirinya apatah lagi setelah memikirkan usaha yang dicurahkannya ketika menghasilkan buku-buku itu.

"Dalam hidup ini, kita tidak boleh putus asa jika ingin capai impian kita. Walaupun tertekan, kita kena cuba harunginya.

"Sebab itu juga saya nekad untuk hasilkan buku ini walau apa pun. Saya tidak mahu menyesal kemudian jika tidak buat sekarang," kata wanita berusia 30 tahun ini.

Bukan setakat menghasilkan buku, Wardina juga tidak lama lagi akan menyambung pengajiannya di peringkat ijazah dalam bidang psikologi di sebuah universiti tempatan.

"Saya memang amat titikberatkan ilmu. Kecantikan tidak akan kekal lama, tetapi ilmu yang kita ada akan sentiasa kekal dalam diri. Lagipun, saya selalu bertanya pada diri sendiri apa yang akan saya buat dalam masa lima tahun lagi.

"Hidup kita kena ada tujuan. Saya ingin buktikan kepada orang bahawa golongan artis juga ada wawasan tersendiri," katanya yang turut meletakkan sasaran untuk mendapatkan PHD sebelum dia mencecah usia 40 tahun.

Tambah Wardina, walaupun sedar kesibukan berganda yang akan dilaluinya kelak, namun itu tidak langsung membuatkan dirinya resah, apatah lagi dia adalah seorang yang gemar akan cabaran.

"Saya tahu jadual saya akan jadi cukup sesak nanti. Memang mencabar, tapi apapun semuanya terpulang kepada individu itu sendiri bagaimana untuk bahagikan masa sebaik mungkin.

"Jangan sesekali kata 'tak ada masa', kerana bagi saya sendiri, saya tidak akan membazirkan masa walau sesaat pun. Ada saja sikit masa terluang, saya akan buat benda-benda yang perlu saya lakukan seperti membaca.

Dalam pada itu, beralih kepada perkembangan karier seninya pula, duta program pelangsingan badan Slim World ini kembali dengan watak Kak Ju menerusi drama bersiri Impian musim kedua yang akan disiarkan di TV3 selama setengah jam pada pukul 11 malam bermula 14 Julai ini.

Selain Wardina, drama 26 episod yang dibawakan oleh produk syampu Sunsilk ini turut dibintangi oleh Diana Amir, Esma Daniel, Kamal Adli, Nadiya Nisaa, Al-Hafiz, Junad, Azwan, Liyana Hisham dan Lufyah.

"Saya sudah membawakan watak Kak Ju ketika drama ini masih menggunakan judul Impian Illyana sehinggalah sekarang tajuknya ditukar kepada Impian.

"Watak saya juga berkembang sejak dulu...bermula Kak Ju masih 'single', hinggalah dia berkahwin dan kini untuk musim kedua, dia sudah mempunyai dua orang anak kembar.

"Walaupun babak saya tidak begitu banyak, tetapi seronok dapat terus terlibat dalam siri ini. Lagipun, salah satu sebab lain mengapa saya terus terima untuk membintangi drama ini ialah kerana jalinan kerja yang baik antara saya dan Sunsilk sebelum ini.

"Saya dan Sunsilk sudah bekerjasama sejak saya belum berkahwin dulu, ketika saya menjadi model syampu mereka. Ketika itu, hanya Sunsilk yang berani tampilkan wanita bertudung sebagai model iklan syampu dan saya amat gembira bila mendapat tahu saya adalah wanita bertudung pertama di dunia berpeluang berbuat demikian.

"Mereka kemudiannya membawa iklan tersebut ke merata negara dan apa yang saya tahu, jualan produk mereka amat memberangsangkan ketika itu," kata Wardina yang juga masih bertugas sebagai pengacara program Malaysia Hari Ini.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain