suria

Julfekar: Saya sudah bertaubat nasuha

Saat bahagia Julfekar (duduk dua dari kanan) dan Farawahida (berdiri dua dari kanan) ketika memenangi kategori Etnik Kreatif menerusi lagu 'Persoalan Cinta' dalam Anugerah Juara Lagu ke-23.
Saat bahagia Julfekar (duduk dua dari kanan) dan Farawahida (berdiri dua dari kanan) ketika memenangi kategori Etnik Kreatif menerusi lagu 'Persoalan Cinta' dalam Anugerah Juara Lagu ke-23.
Saat bahagia Julfekar (duduk dua dari kanan) dan Farawahida (berdiri dua dari kanan) ketika memenangi kategori Etnik Kreatif menerusi lagu 'Persoalan Cinta' dalam Anugerah Juara Lagu ke-23.

MENGIMBAU kembali 'dosa-dosa besar' yang dia pernah lakukan sebelum ini, komposer Julfekar akui semua yang berlaku sekarang bersifat 'balasan' daripada Allah.

"Saya anggap balasan Allah ini sebagai 'hikmah'. Allah memberikan kesusahan supaya saya sedar.

"Saya bermuhasabah diri dengan apa yang berlaku.

"Tuhan dah tunjukkan dan saya terpaksa terima akibat dari itu.

"Saya tak perlu malu dan harus terima apabila orang sudah aibkan saya," kata Julfekar atau nama sebenarnya Julfekar Ahmad Shah, 45.

Tambah bekas pengurus penyanyi Farawahida ini, disebab itu dia berani dalam menempuhi setiap dugaan yang berlaku sekarang termasuk masalah yang timbul antaranya dengan penyanyi itu.

"Saya akui setiap orang tidak akan lepas dari membuat kesalahan. Tapi, orang tak tahu sama ada saya sudah bertaubat atau belum.

"Terus-terang saya katakan yang saya sudah bertaubat nasuha kerana Allah.

"Saya dah lama bertaubat dan kembali ke jalan yang betul dengan melakukan apa yang Allah suruh mengikut kemampuan saya.

“Sebab itu saya beri telekung dan sejadah kepadanya untuk ajak dia dekati agama sekali," katanya yang sedang sibuk membuat lagu untuk artis-artis di bawah naungan syarikatnya, Millenium Art Sdn Bhd (MASB).

Bapa saudara penyanyi Azharina Azhar ini dalam nada yang tenang bersyukur Tuhan masih mengurniakan rezeki kepadanya melalui bakatnya dalam menggubah lagu.

"Ini anugerah yang Tuhan berikan kepada saya. Kini, saya telah membuat perubahan untuk menguruskan 17 orang artis kerana kalau uruskan seorang artis sahaja, nanti artis itu akan manja," ujar Julfekar dalam nada sinis.

Antara artis baru yang diuruskan oleh Julfekar adalah kumpulan Akasia (Gangstarz), Rahayudin dan beberapa bekas peserta My Starz LG.

"Saya tak 'down' dengan keadaan sekarang tetapi lebih kuat untuk hadapinya. Saya tak boleh kalah dengan keadaan seperti ini,” tegasnya yang enggan bercerita lagi tentang kes yang berlaku antaranya dengan Farawahida.

Katanya, “Buat masa ini, saya tak mahu cerita tentang kes ini kerana saya baru selesai berurusan dengan polis dan mahkamah. Biarlah pihak yang berkuasa menyelesaikannya.”

Baru-baru ini, polis telah mengambil telefon bimbit dan merekodkan keterangan Julfekar kira-kira lapan jam berhubung dakwaan ugutannya mahu menyebarkan video serta gambar lucah Farawahida setelah penyanyi itu membuat laporan pada 1 Julai lalu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan iaitu melakukan ugutan untuk menyebabkan kematian atau kecederaan.

Sebelum ini, Farawahida telah membuat dua laporan polis di Balai Polis Klang pada 6 November tahun lalu dan Taiping, Perak (9 Februari).

Perang besar antara kedua-duanya bermula apabila Julfekar mendakwa Farawahida masih mempunyai kontrak pilihan setahun dan telah melanggar perjanjian itu setelah menyepikan diri sejak Februari lalu.

Penyanyi lagu 'Persoalan Cinta' itu dikatakan pernah menghantar surat sebanyak dua kali untuk keluar daripada pengurusan MASB pada Februari dan awal Jun lalu, namun permintaannya ditolak memandangkan kuasa menamatkan kontrak pilihan bergantung kepada MASB.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain