Farid dan Diana dikatakan sedang asyik dilamun cintaJEJAKA berusia 27 tahun ini hanya tersenyum apabila diminta berbicara tentang subjek cinta. Dari riak wajahnya yang ceria itu, jelas terpancar hatinya kini memang sah dimiliki 'seseorang', siapa lagi jika bukan aktres comel, Diana Danielle.Sesekali diusik tentang cinta barunya itu, Farid Kamil hanya ketawa. Seboleh mungkin, dia mahu mengunci mulut dari bercakap tentang percintaannya dengan bintang muda berusia 18 tahun itu. Farid tidak langsung menafikan, mahupun mengiyakan hal itu. Namun begitu, umum sedia maklum kedua-dua pelakon ini memang sedang asyik dilamun cinta, apatah lagi Diana sendiri pernah membuat pengakuan dia dan Farid memang mempunyai hubungan istimewa."Memang perkara itu betul...saya tak nafikan dan sebenarnya saya memang tidak jangka langsung. Farid adalah lelaki yang baik. Dia seorang yang 'cool', itulah yang membuatkan saya cukup kagum dengannya," kata Diana ketika ditemubual awal bulan lepas.Berbeza dengan Diana, Farid pula nampaknya lebih selesa menyimpan kemas kisah cintanya itu. Mungkin juga pengalaman lalu telah membuatkan aktor berusia 27 tahun ini tidak mahu terlalu menggembar-gemburkan hal peribadinya."Saya tidak mahu jadi selebriti yang sentiasa mencanangkan kisah cinta. Apa yang boleh saya katakan, Diana adalah seorang gadis yang bijak. Selebihnya, saya rasa belum bersedia untuk komen," ujar Farid, ringkas.Kisah cintanya dengan bekas kekasih kepada pengarah dan pelakon Syamsul Yusof itu mula tersebar tidak lama dulu, sewaktu Diana sedang menjalani Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).Ketika khabar angin itu bertiup, ramai yang tidak pasti sejauhmana kebenaran hubungan mereka itu, apatah lagi Farid juga sebelum ini telah digosipkan menjalinkan hubungan cinta dengan seorang lagi aktres muda, Lisa Surihani.Malah, tidak pasti pula bagaimana Farid dan Diana dapat 'menjalinkan' hubungan memandangkan Diana sedang menjalani PLKN selama tiga bulan sejak Mac lalu dan pastinya sukar untuk berhubungan.Ditanya lanjut tentang hubungan itu, sambil tersenyum Farid menjawab:"Saya tak mahulah komen, kita cakap tentang karier saja, ye," kata aktor yang pernah menjalinkan hubungan cinta dengan pelakon Irma Hasmie tidak lama dulu.Filem Estet 'pecah rekod' FaridJika dulu, Farid tidak pernah terfikir dia akan menjayakan mana-mana filem atau drama yang memerlukannya menari, selain filem Anak Mami Kembali yang menyaksikan pelakon ini terlibat di dalam sedikit babak tersebut.Namun, ternyata filem Estet arahan pengarah terkenal Mamat Khalid telah 'memecah' rekod karier lakonannya kerana menampilkan banyak babak menari yang perlu dilakukan oleh Farid, bersesuaian dengan konsep filem itu yang mempunyai banyak pengaruh filem Tamil."Awal-awal lagi saya sudah beritahu Mamat bahawa saya tidak tahu menari. Tetapi dia minta saya tidak terlalu risau kerana saya akan dilatih untuk menari. Memang amat mencabar, tetapi sebagai pelakon, saya rasa memang perlu melakukan pelbagai perkara."At least, filem Estet ini telah membuka ruang untuk saya cuba benda baru seperti menari. Malah, saya juga akan menari dan menyanyi pada Festival Filem Malaysia ke-22 di Kota Kinabalu, Ogos depan untuk filem ini," katanya.Selain Farid, turut membintangi filem yang akan ditayangkan sekitar akhir tahun ini ialah Rosyam Nor, Shashi Tharan, Jasmine Michael, Kenchana Devi, serta penampilan penyanyi Alleycats, David Arumugam yang pertama kalinya beraksi di layar perak.Secara ringkasnya, kisah Estet bermula apabila Estet Cinta Manis digemparkan dengan berita mengenai perlawanan bola sepak yang akan diadakan bersama Estet Red Cobra yang telah 20 tahun tidak diadakan.Pertandingan antara dua estet itu sebenarnya diwujudkan semula atas satu tujuan tertentu.