suria

Duta High5, Adi dan Burn teruja melawat muzium roti

Adifashla dan Burn dipilih sebagai duta High 5 bagi mempromosikan roti perisa tempatan terbaru ini. - foto THE STAR oleh AZLINA ABDULLAH
Adifashla dan Burn dipilih sebagai duta High 5 bagi mempromosikan roti perisa tempatan terbaru ini. - foto THE STAR oleh AZLINA ABDULLAH
Adifashla dan Burn dipilih sebagai duta High 5 bagi mempromosikan roti perisa tempatan terbaru ini. - foto THE STAR oleh AZLINA ABDULLAH

SIAPA sangka anak muda yang suatu ketika dahulu pernah menyertai Akademi Fantasia 1 (AF1) ini mampu meniti kebangkitan di dalam industri hiburan tanah air kita.

Menjadi peserta awal tersingkir dalam pertandingan tersebut malah pembabitannya dalam bidang nyanyian juga agak kurang menggalakkan.

Namun bagi Adifashla Juraimi, 31, atau Adie, semua itu merupakan satu titik tolak buat dirinya menempuhi segala cabaran dalam bidang hiburan ini.

Terbaru penyampai radio Era ini telah dilantik menjadi duta roti High 5 bersama-sama Burn untuk mempromosikan roti terbaru keluaran High 5 yang berperisa tempatan.

Lebih membanggakan, gambar Adie dan Burn terpapar pada bungkusan roti tersebut yang telah mula dipasarkan hari ini.

Menurut Adie sendiri, High 5 dan Era telah bekerjasama dengan menghasilkan kempen bagi mempromosikan roti ini.

"Kempen tersebut hanya untuk mendapatkan pendapat dan pilihan dari para pendengar Era untuk memilih perisa tempatan mana yang terbaik untuk rakyat Malaysia.

"Jadi selama sebulan undian dibuat bagi para pendengar membuat pilihan perisa mana yang sesuai.

"Lima perisa diberi iaitu pisang, kaya marjerin, bandung, coklat dan kacang. Namun setelah undian dikira, perisa bandung mendapat undian tertinggi dan saya rasa bandung juga adalah satu perisa asli rakyat Malaysia," jelas Adie.

Adie juga ada menceritakan dia dan Burn mengambil inisiatif sendiri bagi memberikan kerjasama mereka terhadap kempen ini dengan mencipta sebuah lagu dan menyanyikannya ketika sedang 'on air' di Era.

"Saja je cipta lagu tu, pihak High 5 tak suruh pun, kami saja nak buat gimik jadi kami ambil inisiatif sendiri," jelasnya.

Bagi Adie sendiri, pengalaman manisnya dipilih sebagai duta High 5 adalah apabila dia berpeluang melawat ke kilang High 5 di Bread Town, Shah Alam untuk melihat sendiri proses penghasilan roti tersebut.

"Memang best sangat... kilang tu bersih dan kawalan kebersihan pun ketat. Bukan senang nak masuk macam tu je.

"Masa tu Adie kena pakai uniform khas, sarung tangan, serkup rambut dan penutup mulut. Semuanya 'super clean' dan baiklah di sana.

"Di Bread Town tu pun ada muzium roti jadi kita boleh lihat sejarah roti, jenis-jenis roti di dunia dan macam-macam lagi," jelas Adie yang gembira dengan pengalaman dimilikinya.

Adie juga ada menggalakkan orang ramai untuk datang sendiri ke muzium roti tersebut kerana pelancong dari luar negara juga ramai yang telah mengunjungi muzium itu.

Sementara itu, rakan sekerja Adie, Rueben Thevandran a/l Ramanath atau nama glamornya, Burn menyifatkan pelantikannya sebagai duta High 5' sebagai 'pucuk dicita ulam mendatang'.

Peserta Akademi Fantasia (AF) 1 itu tidak teragak-agak menerima tawaran menjadi duta tersebut memandangkan dia sememangnya suka makanan manis.

"Istimewanya roti High 5 perisa bandung ialah ia adalah sejenis makanan sedangkan kita biasa minum minuman air bandung," ujarnya yang mempunyai lagu hit 'Kasih Ibu'.

Itulah keistimewaan roti tersebut, kata DJ popular radio EraFM yang beroperasi dari 4 petang hingga 8 malam hari bekerja.

Penyampai radio EraFM itu berkata, dia telah menyertai stesen radio tersebut sejak 10 November tahun lalu.

"Sejak berakhirnya AF1, saya mengikuti aktiviti promosi dan aktiviti Astro selama setahun. Selepas itu, saya bekerja sebagai deejay di stesen radio X-Fm (yang dulu dikenali sebagai X-Fresh) selama empat tahun," katanya yang fasih berbahasa Melayu dan Inggeris.

Kefasihan Burn berbahasa Melayu begitu menyerlah sehingga pendengar EraFM sukar membezakan lantunan suaranya adalah dari seorang lelaki India beragama Kristian.

Mengimbau kembali zaman kanak-kanaknya, Burn berkata, dia dibesarkan dengan jiran-jiran berbangsa Melayu.

"Saya bermain wau dan gasing dengan rakan-rakan dari pelbagai bangsa. Kami berinteraksi dengan bahasa Melayu dan secara tidak langsung, saya fasih berbahasa Melayu," katanya.

Artikel Lain