suria

Dua 'Alif' atur strategi untuk bangkit semula!

Aliff Aziz (kiri) dan Alif (Oiam)
Aliff Aziz (kiri) dan Alif (Oiam)
Aliff Aziz (kiri) dan Alif (Oiam)

KEDUA-DUANYA adalah produk kelahiran program realiti. Muhammad Alif Mohd Satar atau Alif merupakan pemenang tempat ketiga One In A Million musim pertama (OIAM) manakala bakat kelahiran Singapura, Aliff Aziz pula mula mengukir nama menerusi program Anugerah, yang cukup popular di negara itu.

Masing-masing punya kemampuan mengumpul peminat tersendiri. Aliff Aziz berjaya mencuri tumpuan peminat-peminat di Malaysia menerusi lagu Sayang Sayang yang ternyata berjaya melonjakkan namanya kira-kira dua tahun lalu.

Alif OIAM pula dilihat cukup menyerlah di dalam bidang pengacaraan seperti Remaja dan tidak lama lagi, Idola Kecil musim kedua pula akan menyaksikan anak muda berusia 19 tahun ini tampil sebagai hosnya.

Meskipun 'tersasar' sedikit cabang seninya yang pada awalnya lebih ke arah bidang nyanyian, Alif tidak pernah kesal apatah lagi rezekinya dalam bidang pengacaraan menunjukkan petanda yang cukup positif.

Namun, apa yang pasti, dua bintang muda ini mempunyai misi tersendiri untuk meneruskan minat mendalam mereka di dalam bidang seni. Akui dua 'Alif' ini, perjalanan mereka dalam arena ini masih jauh dan lantaran itu, mereka perlu bijak menyusun agenda untuk terus bertahan.

Aliff hampir pernah putus asa

Lagu Sayang Sayang ternyata membawa tuah buat penyanyi berusia 18 tahun ini. Ditambah pula berada di bawah label Sony BMG Music Entertainment, Aliff bersyukur laluannya untuk menempa nama di negara ini tidak begitu berliku.

Namun, tidak dinafikan, sebaik 'meletup' dengan single pertamanya itu, nama Aliff agak 'suram'. Sambil tersenyum, Aliff akui, sepanjang lebih kurang enam bulan lalu, dia memang tidak mempunyai undangan 'show' yang banyak.

Malah, dalam nada perlahan, Aliff berkata, dia pernah hampir berputus asa dengan 'nasib' yang menimpa dirinya hampir setahun lalu.

"Saya sendiri tidak pasti di mana silapnya. Syarikat pengurusan saya di Singapura mempunyai ramai artis dan mereka merasakan apa yang mereka buat untuk 'push' saya dalam bidang ini sudah mencukupi.

"Saya memang kecewa ketika itu dan pernah putus asa, tetapi saya terfikir, mengapa perlu saya berbuat demikian. Jadi, sepanjang tempoh itu, saya memang benar-benar 'berehat'.

"Akhirnya, setelah tamat kontrak baru-baru ini, saya nekad untuk keluar dan saya bertuah kerana kini berada sepenuhnya di bawah Sony BMG Music. Ketika ini, saya hanya berharap untuk buat yang terbaik demi karier saya," kata Aliff yang kini berada di Kuala Lumpur untuk memenuhi undangan 'show'.

Tambahnya lagi, dia dan Sony BMG Music juga sedang di dalam perancangan untuk menghasilkan album keduanya tidak lama lagi.

"Buat masa ini, kami masih dalam proses perbincangan. Untuk album kedua nanti, mungkin konsepnya tetap akan dikekalkan, cuma kita akan selitkan lebih elemen moden.

"Bagi saya, album pertama yang dikeluarkan dua tahun lalu adalah lebih kepada eksperimental. Dan saya tidak menyangka respon peminat terhadap lagu Sayang Sayang amat memberangsangkan.

"Malah, lagu itu sebenarnya mula mendapat perhatian ramai sebelum peminat di Malaysia mengenali siapa Aliff Aziz. Sambutan terhadap nada dering lagu itu juga amat menggalakkan.

"Saya tak nafikan, album saya itu mempunyai banyak lagu yang bagus, cuma mungkin Sayang Sayang lebih 'kuat'," katanya yang juga masih mempunyai pengikut tersendiri di Singapura.

Ditanya sama ada dia terfikir untuk menetap di Kuala Lumpur selepas ini, apatah lagi kariernya kini diuruskan sepenuhnya oleh Sony BMG Music Entertainment, kata Aliff, ketika ini, dia belum merancang untuk berbuat demikian.

"Saya kena melihat dulu bagaimana 'demand' untuk saya di sini. Mungkin saya akan berbuat demikian, tengoklah macam mana nanti. Buat masa ini, saya tidak kisah berulang-alik," kata Aliff yang bersemangat untuk menaikkan semula karier nyanyiannya.

Alif mengharap magis album sulung

Langkah awalnya di dalam arena ini ialah menerusi nyanyian. Namun, ternyata rezeki Alif sebaik menyertai OIAM nampaknya lebih berpihak pada bidang pengacaraan.

'Remaja' adalah salah satu program yang telah membuktikan kemampuan penyanyi ini sebagai pengacara. Meskipun pernah berada di bawah syarikat rakaman Power Records dan mempertaruhkan single Adikku Pandai Menari, namun tidak dinafikan karier pengacaraan Alif lebih menyerlah ketika itu.

Sehinggalah muncul single Akan Tiba yang dinyanyikannya sebagai lagu tema drama bersiri Rona Roni Makaroni, nama Alif terus kembali 'naik' sebagai penyanyi.

"Sewaktu berada dengan syarikat rakaman itu, saya masih lagi tercari-cari arah sebagai penyanyi. Dan sebab itu saya mencuba nasib dalam bidang pengacaraan. Saya akui, bidang itu juga memang menyeronokkan.

"Bila muncul dengan single Akan Tiba ciptaan Amylea AF, memang saya gembira melihat respon ramai terhadap lagu itu. Pada awalnya, ketika Amylea minta bantuan saya untuk nyanyikan lagu itu sebagai lagu tema drama, saya hanya terima kerana sekadar membantu kawan.

"Tetapi ramai pula yang menyukainya...mungkin kerana melodi lagu itu yang lain dari yang lain. Dalam hal ini, saya akui Amylea memang seorang komposer yang berbakat besar," kata Alif yang juga pernah berlakon di dalam sebuah drama bersiri.

Alif yang kini juga mempertaruhkan single keduanya, Jangan Nakal, berkata, dia bakal tampil dengan album sulungnya sekitar September ini terbitan Sony BMG Music Entertainment.

"Tinggal dua buah lagu saja yang belum dirakamkan. Album ini menampilkan konsep pop dan 'easy listening'. Audi Mok adalah salah seorang komposer yang turut menyumbang lagu dalam album ini.

"Sejujurnya, memang saya amat 'excited' dengan album ini dan tidak sabar melihat respon ramai kelak," katanya.

Ujar Alif lagi, dia juga tidak kisah dengan perkembangan karier nyanyiannya yang dilihat bergerak agak 'perlahan' berbanding penyanyi-penyanyi seangkatannya.

"Bagi saya, ia adalah permulaan yang baik walaupun bermula dengan perlahan. Saya suka cara seperti ini. Buat apa nak terkejar-kejar kerana saya yakin, jika caranya betul, karier juga boleh dipertahankan," kata Alif yang masih ligat menerima undangan menjayakan persembahan.

Artikel Lain