suria

Chef Wan: Pembeli harus pilih buku resepi daripada penulis yang betul!

Chef Wan semasa pelancaran buku resepi terbarunya, ‘Sajian Tradisi bersama Chef Wan’ baru-baru ini. -foto THE STAR oleh SHAARI CHE MAT
Chef Wan semasa pelancaran buku resepi terbarunya, ‘Sajian Tradisi bersama Chef Wan’ baru-baru ini. -foto THE STAR oleh SHAARI CHE MAT
Chef Wan semasa pelancaran buku resepi terbarunya, ‘Sajian Tradisi bersama Chef Wan’ baru-baru ini. -foto THE STAR oleh SHAARI CHE MAT

DENGAN lambakan buku resepi sekarang, mungkin ramai yang sukar untuk membuat pilihan buku resepi yang benar-benar membantu mereka dalam bidang masakan.

Bagi penulis buku resepi dan tukang masak profesional, Chef Wan, dia berpendapat setiap buku yang diterbitkan di pasaran sekarang harus dimanafaatkan dengan betul oleh pembeli di luar sana.

“Bagi saya, tiada masalah jika buku-buku itu dihasilkan oleh chef yang profesional atau tidak.

“Pembeli harus pilih buku daripada penulis yang betul. Misalnya, buku-buku saya semuanya laris ‘best seller’ di Malaysia,” kata Chef Wan semasa pelancaran buku resepi terbarunya, ‘Sajian Tradisi bersama Chef Wan’ baru-baru ini.

Jelas Chef Wan atau nama sebenarnya Redzuawan Ismail, bahan di dalam buku tersebut merupakan antara ilmu yang perlu dikongsi dengan orang lain.

“Allah bagi bakat kepada saya untuk memasak dan menulis buku jadi saya perlu turunkan ilmu ini kepada orang lain.

“Apa yang saya letak dalam makanan, samalah seperti apa yang saya tulis dalam buku saya..kalau tak ibarat saya berjalan dalam kegelapan.

“Pada saya, takkan rugi kita berkongsi resepi dengan orang lain kerana Allah akan ganti dengan berpuluh lagi rezeki kepada saya.

“Kekadang, menimbun-nimbun idea yang tiba-tiba keluar..Insya-Allah, saya akan menerbitkan buku seterusnya iaitu mengenai resepi makanan laut kerana sebelum ini saya telah pergi ke Barcelona, Sepanyol.

“Tempat di sana merupakan negara kedua terbesar yang kaya dengan makanan laut di dunia,” cerita Chef Wan.

Menurutnya, penerbitan buku resepi ‘Sajian Tradisi bersama Chef Wan’ ini merupakan buku kedua dan menjadi salah satu inisiatif kebajikan tahunan Avon Cosmetics (M) Sdn. Bhd. yang dinamakan ‘Ihsan Aidilfitri’ sempena bulan Ramadhan.

Kerjasama antara Avon dan Chef Wan bermula tahun lepas dengan terbitan buku resepi ‘Sajian Aidilfitri bersama Chef Wan’ di mana buku tersebut telahpun diiktiraf sebagai Buku Kutipan Amal Terbaik di Gourmand Award 2009 yang berlangsung di Paris baru-baru ini.

“Tahun lepas, saya telah mengeluarkan buku resepi untuk membuat kuih-kuih raya tetapi tahun ini lebih kepada resepi lauk tempatan.

“Ikutkan saya ada lebih 200 resepi dalam simpanan tetapi saya hanya muatkan sebanyak 60 resepi dan akan pecahkan kepada beberapa volume yang lain,” jelasnya.

Tahun ini, usaha kebajikan ini berterusan dengan penerbitan ‘Sajian Tradisi bersama Chef Wan’ yang mengandungi 60 resepi lauk-pauk dari pelbagai negeri di seluruh Malaysia.

Antaranya, Ayam Kuzi Kelantan, Ikan Keli Lemak Cili Api Negeri Sembilan, Sambal Sotong Peranakan Melaka dan Gulai Patin Masak Tempoyak Perak.

Selain itu, Chef Wan juga berkongsi resepi-resepi kesukaannya seperti Sambal Udang Petai, Sup Kambing, Kurma Daging dan Ayam Masak Merah.

Resepi-resepi istimewa ini merupakan koleksi peribadi Chef Wan yang dikumpul sejak remaja ketika mula menceburkan diri dalam bidang masakan.

Semasa majlis pelancaran itu, Chef Wan sempat menyediakan tiga jenis masakan untuk santapan tetamu yang hadir iaitu Kerabu Pucuk Paku, Sambal Sotong Peranakan dan Ikan Patin Tempoyak.

“Makanan Melayu ni bukannya tak sihat tetapi kita yang tidak pandai untuk pelbagaikan cara memasak dengan kaedah merebus atau salai yang kurang menggunakan minyak,” tutur Chef Wan sambil tangannya laju menyediakan makanan itu.

‘Sajian Tradisi bersama Chef Wan’ boleh didapati di butik kecantikan Avon seluruh negara bermula 16 Ogos ini dengan harga RM21.90 di Semenanjung Malaysia manakala RM25.20 bagi Sabah dan Sarawak.

Chef Wan begitu cekap dalam menyediakan makanan dan kepandaiannya berceloteh membuatkan ramai penonton yang tidak jemu dan terhibur dengan aksinya di dapur.

Malah kini siapa yang tidak kenal Chef Wan, seorang chef yang baru sahaja diiktiraf sebagai Selebriti Chef Terbaik di Dunia di Gourmand Award.

Namanya kini semakin dikenali hingga ke serata negara jadi tidak hairanlah jika dia dijemput oleh ‘King of Arab Chef’ iaitu Chef Ramzi dari Beirut untuk membuat rakaman program masakan di sana.

“Saya akan memperkenalkan makanan Malaysia yang biasa dinikmati semasa bulan puasa dan dijangka akan bertolak pada Khamis ini,” kata bapa kepada pelakon Serina Redzuawan ini.

Anak keduanya itu bakal mendirikan rumah tangga pada Januari tahun depan.

Ditanya tentang persiapan yang telah dilakukan, Chef Wan berkata dia hanya menyerahkan tugas tersebut kepada perunding perkahwinan Datuk Faridah Hashim.

“Saya bukannya tak tahu-menahu tentang perkahwinan tetapi saya lebih suka serahkan segala urusan kepada Datuk Faridah Hashim yang akan membuat majlis perkahwinan Rina (Serina) bertemakan ‘garden wedding’.

“Majlis resepsi Rina akan dibuat pada 2 Januari di Hotel Royale Chulan manakala majlis berinai kecil dan besar akan dibuat di rumah kami di Sungai Koyan, Raub.

“Saya hanya menjemput dalam 650 orang tetamu semasa majlis resepsi nanti dan dalam 40 orang kawan-kawan saya dari luar negara seperti New York, Spain dan Switzerland akan turut serta dalam majlis itu.

“Majlis itu hanya dilakukan dalam suasana yang sederhana dan diraikan oleh keluarga terdekat,” kata Chef Wan.

Tambahnya, dia tidak menginginkan majlis resepsi itu ibarat suatu pesta keraian tetapi lebih seimbang.

“Saya cuma inginkan majlis perkahwinan Rina berjalan dengan sempurna, cantik dan tidak terlalu besar dan majlis itu juga tidak menjemput VIP, kerabat atau menteri.

“Kita juga hendak mengelakkan pembaziran. Saya juga akan rancang dengan pihak hotel untuk menyediakan masakan yang mengikut sajian istana,” ujar Chef Wan yang ternyata begitu teliti dalam memastikan majlis perkahwinan satu-satunya anak perempuannya itu.

Serina dan pasangannya, Gavin atau nama Islamnya Salahudin akan diijabkabulkan pada 1 Januari depan di kampung halamannya di Sungai Koyan, Pahang.

Artikel Lain