suria

Takdir cinta Akhil-Waheeda

Akhil Hayy dan Waheeda selamat diijabkabulkan. foto The Star oleh NORAFIFI EHSAN
Akhil Hayy dan Waheeda selamat diijabkabulkan. foto The Star oleh NORAFIFI EHSAN
Akhil Hayy dan Waheeda selamat diijabkabulkan. foto The Star oleh NORAFIFI EHSAN

PERKAHWINAN bukan untuk dicerca, sebaliknya diharap oleh mana-mana pasangan agar direstui oleh semua pihak. Itulah juga yang tersemat di hati penyanyi dan penceramah bebas, Akhil Hayy, 40, dan Waheeda, 30, yang selamat dinikahkan semalam, di Masjid Ar Rahimah Kuala Kubu Baru.

Segala spekulasi dan kontroversi yang melanda mereka selama dua tahun ini diharapkan oleh pasangan ini akan berakhir jua setelah mereka diijabkabulkan. Namun, siapalah mereka untuk menutup mulut orang jika pelbagai tohmahan akan terus menyusul biarpun kedua-duanya kini sudah sah bergelar suami isteri.

Waheeda sendiri yang ditemui sehari sebelum berlangsungnya majlis pernikahan mereka, tersenyum lesu tatkala subjek ini diutarakan. Tuturnya, biarkan saja persepsi negatif terus dilemparkan kepada dirinya dan Akhil andai itu yang mereka mahukan.

Bagi penyanyi dan pelakon berusia 30 tahun ini, dia sudah tidak mahu memikirkan tentang semua kontroversi yang singgah terhadapnya selama ini. Tidak perlu dia tampil membuat pelbagai pendedahan kerana kata Waheeda, apa saja penjelasan pasti akan disalahertikan oleh sesetengah pihak.

"Saya ingin memikirkan masa depan saya selepas ini. Saya sudah tidak terlibat lagi dalam dunia seni dan setelah bergelar isteri, saya ingin tumpukan sepenuh perhatian pada keluarga," ujar pemilik nama NorWahidah Abd Wahab ini, sambil mengukir senyuman manis.

Akhirnya, tanggal 16 Ogos menyaksikan pasangan ini selamat disatukan dengan ikatan perkahwinan. Hanya dengan sekali lafaz, Akhil atau nama sebenarnya, Akhil Abdul Hayy sah bergelar suami kepada Waheeda.

Kira-kira 200 tetamu yang rata-ratanya terdiri daripada ahli keluarga, saudara-mara serta kenalan rapat kedua-dua belah pihak hadir menyerikan majlis bersejarah mereka itu. Malah, dua anak Akhil iaitu Siti Nur Maisarah, 12 dan Mohd Syarif Idayatullah, 11, turut hadir menyaksikan hari bahagia bapa mereka dan 'Aunty Wawa'.

"Seronok lihat Abah kahwin dengan Aunty Wawa hari ini," luah anak sulung Akhil, Maisarah yang kelihatan cukup ceria menerima kehadiran Waheeda di dalam keluarganya.

Bukan saja anak-anak Akhil, malah perasaan gembira turut lahir dalam diri ibu Waheeda, Asri Othman, 58, yang kelihatan cukup sebak dan gagal menahan tangisan ketika memberikan ucapan buat anak perempuannya itu setelah selamat diijabkabulkan.

"Saya doakan semoga dia bahagia, panjang jodohnya dan kekal abadi hingga akhir hayat. Segala gosip yang berlaku, bukan ditentukan oleh kita. Setiap hari, saya mendoakan yang terbaik untuknya.

"Saya selalu berdoa, 'jika jodohnya memang dengan Akhil, biarlah penamatnya seperti ini (perkahwinan)'. Dan nampaknya, memang sudah ditakdirkan jodohnya dengan Akhil," katanya.

Pada majlis tersebut, Waheeda menerima mas kahwin berjumlah RM80 serta tujuh dulang hantaran berbalas 11 dulang oleh pihaknya. Tiada wang hantaran diberikan, sebaliknya Waheeda dan ibubapanya hanya meminta senaskhah Al-Quran daripada pihak lelaki.

"Ini memang permintaan bapa saya juga. Lagipun, saya tidak mahu perkahwinan ini membebankan sesiapa. Malah, saya rasa ia lebih afdal kerana Al-Quran adalah pelengkap segala-galanya," katanya.

Senyuman manis terukir di bibir Waheeda ketika satu demi satu tetamu datang memberikan ucapan tahniah. Baginya, bukan masa untuk memandang ke belakang lagi. Malah, tutur Waheeda, dia berharap perkahwinan ini juga akan lebih merapatkan hubungan keluarga kedua-dua belah pihak.

"Saya mengambil nasihat Dr.Fadzilah Kamsah yang pernah cakap pada saya, cabaran yang dilalui sebenarnya akan diberikan ganjaran yang besar kelak.

"Saya dan Akhil juga tidak merancang untuk pergi berbulan madu, tetapi ingin menggunakan masa yang ada untuk melawat saudara-mara dan eratkan lagi silaturrahim," katanya yang menambah majlis itu bukan dibuat secara 'rahsia'.

Tambahnya, lokasi tersebut dipilih kerana rakan baik Akhil di situ ingin menikahkan mereka sendiri dan bukannya dengan niat untuk mengelak daripada diketahui ramai.

"Insya-allah, kami akan adakan sebuah resepsi pada 31 Oktober nanti di Dewan Bukit Jelutong, Shah Alam dan akan jemput lebih ramai tetamu," katanya yang turut teruja untuk menjadi ibu kepada anak-anak Akhil dan pada masa yang sama, bersedia untuk menimang cahayamata andai dikurniakan rezeki.

Akhil, menerusi perkahwinan dengan bekas isterinya, Maizawati Zainal, telah dikurniakan empat orang anak. Siti Nur Maisarah dan Mohd Syarif Idayatullah yang merupakan anak sulung dan anak kedua tinggal bersama Akhil setelah pasangan itu bercerai dengan talak satu pada 15 Julai lalu di Mahkamah Rendah Syariah Ipoh.

Meskipun baru sebulan bercerai, Akhil bagaimanapun mempunyai alasan tersendiri jika ada yang mempersoalkan mengapa terlalu cepat dia kembali mendirikan rumahtangga.

"Ini adalah jodoh. Kita tak boleh ramal apa yang akan terjadi. Jodoh dan pertemuan adalah urusan Allah. Sebelum ini pun, terlalu ramai yang bertanya bila kami akan berkahwin. Jadi hari ini, kami buktikan dan berharap ia dapat menutup segala spekulasi.

"Selebihnya, terserahlah kepada masyarakat kerana manusia boleh bercakap apa saja. Apa yang boleh saya katakan, ini bukan secara kebetulan dan bukan juga satu perancangan sangat pun," kata Akhil.

Bercerita bagaimana terbitnya perasaan cinta terhadap penyanyi yang popular dengan lagu Wassini itu, kata Akhil:

"Sebelum ini, memang saya bercakap pada media bahawa saya senang dengan Waheeda. Cuma, untuk menggerakkannya ke arah itu (cinta), saya hanya serahkan kepada Allah.

"Tetapi, mustahil lah perkahwinan ini terjadi kalau bukan kerana cinta. Allah bukakan hati saya untuk menerima Waheeda dan dia ditakdirkan menjadi isteri saya," ujarnya yang menambah, pada awalnya mereka merancang untuk bernikah pada 21 Ogos, sehari sebelum Ramadan.

Mengimbas semula kontroversi yang melanda mereka sejak dua tahun lalu, mereka pada awalnya dikatakan telah berkahwin dan Waheeda menjadi isteri kedua Akhil. Ketika itu, masing-masing menafikan tentang perkara tersebut dan menegaskan mereka hanya berkawan baik.

Namun, kisah itu semakin panas sekitar Mei lalu apabila Maizawati Zainal mengaku tentang pergolakan rumahtangganya dan Akhil. Malah, Waheeda turut dikaitkan sebagai punca tersebut.

Antara yang didedahkan oleh Maizawati, dia pernah menyatakan persetujuan membenarkan Akhil berkahwin lagi dan bersedia hidup bermadu setelah suaminya itu mengaku tentang hubungannya dengan Waheeda.

Namun, dia tidak tahu apa status hubungan suaminya dengan Waheeda ketika itu kerana katanya, Akhil sendiri sudah tiga bulan tidak pulang ke rumah dan hanya mengikuti perkembangan kisah suaminya itu menerusi media.

Maizawati kemudiannya nekad untuk bercerai dan mereka akhirnya sah bercerai bulan lalu.

Ditanya sama ada bekas isterinya itu turut mengetahui tentang perkahwinannya dengan Waheeda, kata Akhil:

"Saya tidak mahu komen. Dia tidak ada kena-mengena."

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain