Cat Farish di samping isterinya, Hartini Ramly semasa Malam Gala filem 'Jin Notti' baru-baru ini. -foto mStar oleh SITI AZIRAATAS desakan pasaran industri muzik yang lebih menitikberatkan lagu single sekarang, kumpulan The Fabulous Cats membuat pelbagai percaturan dalam memastikan mereka tidak berkubur begitu sahaja.Pelbagai rencana yang sedang diatur termasuklah membuat sebuah drama realiti ‘My Fabulous Cats’ di mana idea dan skripnya dihasilkan oleh penyanyi utamanya, Cat Farish atau nama sebenarnya, Farish Ramli. “Drama ini mengisahkan tentang bagaimana susahnya saya hendak menubuhkan The Fabulous Cats dan cerita-cerita tentang kami yang diketahui oleh orang luar tetapi bukan daripada mulut saya sendiri.“Turut dimuatkan adalah tentang apa sebenarnya yang berlaku sama ada cerita itu betul atau ditokok tambah oleh pihak tertentu,” kata Cat Farish.Menurutnya, dia akan memulakan drama realiti ini dengan memperkenalkan lima orang anak didiknya yang kesemuanya wanita iaitu Zizi AF7, Wangi dan tiga orang pelakon lain dalam sebuah sidang media di mana dia dan Adib bertindak sebagai produser.“Cerita ini bermula seperti program realiti, ‘Lost’ dan ‘Get Me Out Of Here’. Ia akan menjadi seperti program realiti tetapi skripnya lebih kepada drama. Jadi, sebab itu saya panggil drama realiti,” tambah Cat Farish mengenai drama yang akan disiarkan secara berepisod itu.Jelas Cat Farish, sekarang dia baru sahaja memulakan projek terbarunya ini dan belum boleh putuskan bilakah ia akan dilunaskan.“Sekarang, saya sedang memberikan tumpuan kepada drama realiti ini dan dari situ kita akan mainkan lagu-lagu The Fabulous Cats termasuk lagu-lagu baru artis kami yang akan keluar nanti.“Ia akan menjadi seperti drama separuh muzikal. Saya anggarkan drama realiti ini akan mengambil masa yang lama untuk dilakukan kerana kita perlu fikir sama ada hendak buat sendiri atau dengan bantuan stesen TV.“Semua itu penting sebab saya tahu drama realiti ini boleh dijual. Saya berani kata seperti itu sebab orang lagi suka apabila sesuatu cerita itu direalitikan,” ujarnya mengenai drama yang mungkin akan diterbitkan oleh Metadome Sdn. Bhd.Sejak menceburi dunia lakonan, Cat Farish semakin aktif berlakon dan mungkinkah dia terfikir untuk membikin drama realiti ini kerana penglibatannya dalam industri lakonan?Jawab Cat Farish, “Bukan, tetapi saya mahu membuat drama realiti ini kerana baru-baru ini saya terbaca sebuah artikel tentang The Fabulous Cats yang kurang menyenangkan.“Saya tak jadikan isu itu sebagai alasan untuk marah-marah tetapi lebih menaikkan semangat saya dan melonjakkan nama saya dalam karier ini, bukannya menjatuhkan saya.“Artikel tu tulis ‘Wanita ‘mangsa’ The Fabulous Cats’. Jadi, saya gunakan perkataan ‘mangsa’ itu untuk menjadi nama kelab peminat saya.“Sekarang kelab peminat saya dinamakan MA.NG.SA. Saya jadikan benda (isu) itu sebagai alat untuk saya cari idea lagi dan apa yang saya patut lakukan selepas ini.“Jadi, dari situlah saya terfikirkan idea untuk membuat cerita tentang apa yang saya lalui dari segi keperitan dan kudrat tenaga yang saya gunakan untuk bekerja dari pukul 9 pagi hingga 3 pagi setiap hari tetapi orang lain tak nampak.“Bukan sahaja kehidupan, malah saya nak jumpa anak dan isteri saya pun susah. Bayangkan, saya bekerja dari pagi ke pagi tetapi orang yang tak bekerja macam tu boleh kata macam-macam kepada saya sedangkan mereka ini tidak memberikan apa-apa sumbangan.“Mereka hanya menyanyi dan terus popular. Sebaliknya, saya ni bukan hanya menyanyi tetapi saya buat semua kerja daripada A hingga Z untuk menaikkan nama orang-orang ni dan tiba-tiba saya dikata seperti itu.“Saya pun ada hak untuk bercakap tetapi saya tak nak bercakap banyak. Cuma lihatlah drama realiti ini yang menceritakan tentang kehidupan saya.“Bukannya berniat untuk mengaibkan sesiapa..,” cerita Cat Farish panjang lebar.Selain The Fabulous Cats, antara pelakon yang akan ditarik untuk menyertai drama realiti ini adalah pelakon dan pengacara Sazzy Falak.“Setakat ini, saya nampak Sazzy Falak dan orang-orang yang berbakat sepertinya. Saya tak boleh nak tentukan lagi kerana belum tahu siapa yang akan mengarah drama ini.“Kalau boleh, saya nak Ahmad Idham sahaja yang mengarah atau team-teamnya kerana mereka yang memahami saya,” tuturnya.Bercerita mengenai projek lain, The Fabulous Cats juga sedang merangka untuk menghasilkan lagu single berbanding album penuh.“Sekarang pasaran album menumpukan kepada lagu single, jadi kita fokuskan kepada single baik secara solo, duet atau berkumpulan.“Misalnya, saya meletakkan Wangi untuk menyanyikan sebuah lagu dalam filem 'Niyang Rapik' manakala saya dan Adib menyanyikan lagu untuk filem ‘Semerah Cinta Stiletto’.“Tetapi perkara utamanya masih mengekalkan The Fabulous Cats,” ujarnya.Cat Farish juga membawa isterinya, Hartini Ramly yang kini tampil dengan imej bertudung.Menurut Cat, isterinya itu mula terbuka hati untuk memakai tudung sejak Mac lalu.“Apabila dia kata nak pakai tudung, saya galakkan dia untuk bertudung. Saya juga nasihatkan dia kalau nak bertudung tu kena pakai terus dan bukan sekejap sahaja,” kata Cat Farish yang memegang watak Jinbara dalam filem ‘Jin Notti’.Bercerita mengenai filem itu, dia mula berani untuk melakonkan watak jin yang menunjukkan pusat selepas berlakon sebagai toyol menerusi filem ‘Jangan Pandang Belakang Congkak’.“Ikutkan saya tak selesa untuk melakukan aksi mengorek pusat dan sebagainya tetapi saya terpaksa lakukan sebab karektor itu.“Saya bukan pelawak tetapi saya suka karektor seperti itu yang lawak dan suka buat orang ketawa.“Saya juga sukakan cerita ini dan teruja apabila dapat berlakon dengan Mawi dan Fara Fauzana.“Tetapi saya rasa tak puas dengan karektor itu kerana saya malu untuk menunjukkan badan saya. Jadi, saya tak dapat beri lebih dari itu,” cerita Cat mengenai filem kesembilan lakonannya itu.Filem pertama lakonannya adalah ‘Tipah Tertipu’ yang turut dilakonkan dengan anggota bekas kumpulannya, Ruffedge.Cat Farish turut mengalu-alukan peminat The Fabulous Cats untuk melayari laman web mereka di thefabulouscats.blogspot.com.