suria

TV3 sajikan konsert Sudirman sempena kemerdekaan negara

Dari kiri: Hermond Cheng, Datuk Johan Jaafar, Datin Seri Rosmah Mansor, Datin Rodziah Arshad dan Datuk Seri Farid Ridzuan.-foto TV3
Dari kiri: Hermond Cheng, Datuk Johan Jaafar, Datin Seri Rosmah Mansor, Datin Rodziah Arshad dan Datuk Seri Farid Ridzuan.-foto TV3
Dari kiri: Hermond Cheng, Datuk Johan Jaafar, Datin Seri Rosmah Mansor, Datin Rodziah Arshad dan Datuk Seri Farid Ridzuan.-foto TV3

MENJELANG Hari Kemerdekaan, lagu-lagu patriotik 'Kenali Malaysia Cintai Malaysia', 'Tegakkan Bendera Kita' dan '31 Ogos' yang sering berkumandang di corong-corong radio dan televisyen bukan sahaja merupakan halwa telinga bahkan menyemarakkan patriotisme rakyat.

Penyanyinya tidak lain, tidak bukan adalah Allahyarham Sudirman Hj Arshad (25 Mei 1954 - 22 Februari 1992), nama yang cukup gah di persada seni tanah air.

Malah, Allahyarham mendapat jolokan penghibur nombor satu Negara dan Elvis Malaysia. Bakat semulajadi sebagai penghibur versatile sudah sebati dalam dirinya malah dia juga terkenal sebagai penyanyi yang menerapkan nilai-nilai positif dan semangat patiriotik melalui dendangan lagu-lagunya.

Justeru untuk membangkitkan kenangan bersama bintang lagenda ini dan menerapkan semangat perpaduan ‘1Malaysia’, TV3 akan menyiarkan ‘Sudirman, One Thousand Million Smiles’ pada tanggal 31 Ogos 2009, jam 10.00 pagi.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Rangkaian Televisyen, Media Prima Berhad, Datuk Seri Farid Ridzuan, konsert terakhir Allahyarham Sudirman yang diadakan di Melaka, 9 Mac 1991 belum pernah ditunjukkan kepada umum mahupun disiarkan di mana-mana sebelum ini.

"Konsert yang diadakan sempena dengan Kemerdekaan ini bukan sahaja menunjukkan keupayaan dan bakat beliau yang luar biasa malah beliau turut mempelawa penonton pelbagai kaum untuk bersama-sama naik ke pentas menjayakan konsert tersebut.

"Semangat perpaduan yang ditunjukkan oleh Allahyarham Sudirman amat sesuai sekali dipertontonkan kepada khalayak Malaysia sejajar dengan konsep ‘1Malaysia’ yang kini diperkenalkan oleh YAB Perdana Menteri kita,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas tayangan khas sempena Merdeka, "Sudirman, One Thousand Million Smiles" di Sri Pentas TV3, hari ini.

Hadir sama, isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor yang juga Penaung Bersamamu TV3, kakak kepada Allahyarham, Datin Rodziah Arshad, Pengerusi Eksekutif Media Prima Berhad, Datuk Johan Jaafar, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Datuk Seri Farid Ridzuan dan Pengurus Besar EMI Records Malaysia, Hermond Cheng.

Farid memberitahu, setelah rundingan dilaksanakan, keluarga Allahyarham tidak keberatan membenarkan pihak kami menyiarkan konsert ini. "Selain daripada mengingati jasa dan bakat Allahyarham, ini juga merupakan inisiatif kami untuk meningkatkan hasil derma tujuan kemasyarakatan untuk disalurkan kepada golongan sasar.

"Pihak EMI, pemegang hakcipta lagu-lagu Sudirman bersedia mendermakan RM1 pendapatan dari jualan DVD dan VCD untuk dimasukkan ke dalam Tabung Bersamamu (TV3),” katanya.

Walaupun Allahyarham telah lama meninggalkan kita, Farid berkata, "Allahyarham tetap seorang bintang lagenda yang masih terpahat di fikiran kita semua. Arwah ialah ikon konsep One Malaysia selari dengan konsep dengan dibawa dalam konsert terakhirnya."

"Sempena Hari Kemerdekaan ini, marilah kita hayati lagu-lagu dan mesej yang tersirat dalam lagu One Thousand Million Smiles dendangan Allahyarham," kata Farid.

Menyoroti sejarah lalu, kesungguhan Allahyarham Sudirman untuk memperjuangkan semangat cintakan Negara dengan menghasilkan album patriotik pada mulanya mendapat maklumbalas yang tidak memberangsangkan dari pihak rakaman syarikat EMI dan penerbitnya S. Atan.

Pihak pengurusan pada masa itu tidak yakin dan bimbang masyarakat tidak dapat menerima album tersebut dan mengakibatkan penjualan album tersebut menjadi merosot.

Namun, demi menunaikan impian Allahyarham yang berhasrat mempunyai satu album patriotik, terhasillah album ABADI (1982) yang memuatkan lagu-lagu patriotik seperti Warisan, Punch Card, Kehadiranku, 31 Ogos dan Tegakkan Bendera Kita.

Sayangnya, album itu tidak mendapat sambutan sebagaimana album komersilnya yang lain. Namun, tidak siapa menyangka, album patriotik Sudirman ini terus mendapat perhatian sehingga ke hari ini.

Setahun sebelum pemergian beliau ke Rahmatullah, Allahyarham Sudirman sempat mengadakan konsert sempena sambutan Hari Kemerdekaan pada 9 Mac 1991 bertempat di Melaka Bandaraya Bersejarah.

Konsert patriotik ini sungguh istimewa di mana selain menyampaikan lagu-lagu patriotik, Allahyarham Sudirman yang berkebolehan menyanyikan pelbagai bahasa mempersembahkan kareografi menarik yang turut dijayakan oleh para peminat pelbagai bangsa ketika menyampaikan lagu Kantonis yang bermaksud ‘I’m A Singer’, dan lagu Tamil bertajuk ‘Puthiya Vaanam’.

Sememangnya elemen ‘1Malaysia’ ini telahpun diterapkan oleh beliau sehingga berjaya memartabatkan nama beliau ke peringkat antarabangsa.

Sehubungan itu, TV3 atas dasar tanggungjawab sosialnya tidak menghampakan peminat setianya untuk menerbitkan satu program khas bersempena kemerdekaan ini dengan memberi tema ‘Sudirman, One Thousand Million Smiles’.

Tema program ini diambil sempena tajuk lagu yang menobatkannya sebagai "Best Performer" in Asia Music Award pada tahun 1989 di dalam pertandingan bertempat di Royal Albert Hall, London, mengalahkan Leslie Cheung (Hong Kong Megastar) dan Anita Sarawak (Singapore Diva).

Program yang disiarkan selama satu jam ini telah disunting semula dengan memaparkan persembahan hebat penghibur nombor satu Malaysia menyampaikan lagu-lagu warisan bangsa seperti Kenali Malaysia Cintai Malaysia, Tegakkan Bendera Kita, 31 Ogos, Bapak, Warisan, 'I'm A Singer' (Lagu Kantonis), Milik Siapakah Gadis Ini, Puthiya Vaanam (Lagu Tamil) dan One Thousand Million Smiles.

Dalam pada itu, Hermond Cheng berkata, pihaknya memerlukan masa kira-kira sebulan untuk mengedit audio dan visual asal konsert Allahyarham.

"Ini kerana rakaman asal adalah dalam bentuk VHS. Jadi, kami memerlukan masa untuk 'membersihkan' rakaman asal tersebut," katanya.

VHS ialah singkatan kepada 'Video Home System' iaitu alat rakaman pita video yang dihasilkan pada 1970-an.

Mengenai bagaimana dia terpanggil untuk menyerahkan rakaman tersebut kepada TV3, Hermond berkata, Virinder Singh - pemilik tunggal Saudara Usaha Dagang Industri (sebelum kematian Allahyarham Sudirman, ia dikenali sebagai 'Sudirman Usaha Dagang Industri') - ialah pihak sebenar yang berurusan dengan TV3.

Virinder ketika dihubungi berkata, dia memang ingin menghantar pita tersebut lebih awal kepada stesen-stesen televisyen tempatan.

Bagaimanapun katanya, rancangannya itu tidak dapat dilaksanakan sehingga kini kerana halangan-halangan tertentu yang tidak dapat dielakkan.

"Sekarang, semuanya menjadi. Konsert terakhir Allahyarham Sudirman itu memang mendukung konsep 1Malaysia kerana dia menyanyikan lagu Cina dan Tamil.

"Lagipun, kita hampir menyambut Hari Kemerdekaan. Jadi, memang kena pada masa dan tempatnya," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain