BUKAN mudah untuk mencari pasangan hidup yang mempunyai persefahaman dan mampu mengharungi susah senang bersama. Walaupun adakalanya dirasakan serasi, namun belum tentu pilihan itu adalah yang terbaik untuk menjadi teman sehidup semati.Dan atas alasan itu, Zed Zaidi akui sanggup hidup solo selagi tidak bertemu seorang wanita yang benar-benar mampu bergelar isteri kepadanya. Pengalaman berkasih dan putus cinta sudah pernah dilaluinya dan lantaran itu, Zed akui ingin lebih berhati-hati dalam soal jodoh. Disebabkan itu, tutur pelakon berusia 29 tahun ini, dia sama sekali tidak mahu meletakkan sasaran bila dirinya akan mendirikan rumahtangga."Sejujurnya, saya memang tidak suka letak sasaran pada umur berapa saya akan berkahwin. Saya tidak mahu rasa tertekan. Lagipun, saya lelaki dan tidak kisah sangat tentang usia yang sesuai untuk mendirikan rumahtangga."Cuma, apa yang pasti, saya memang masih 'single' dan sedang mencari wanita yang sesuai. Saya akui, saya memang cerewet dalam hal ini."Saya ingin mencari seorang yang profesional...yang ada karier sendiri. Dan saya mahukan seorang isteri yang bukan saja memahami karier saya, tetapi boleh 'back up' antara satu sama lain," ujar Zed yang ditemui pada majlis buka puasa artis-artis Aquila Emas, baru-baru ini.Akui pelakon yang juga bergelar usahawan ini, dia memang berkawan dengan ramai wanita dan tidak dinafikan, ada diantaranya juga pernah menarik perhatian jejaka ini.Namun, katanya, dalam tempoh perkenalan itulah yang akan menentukan sama ada wujud persefahaman atau tidak dia antara kedua-duanya yang mana ujar Zed, perkara itulah yang amat sukar ditemuinya sehingga kini."Saya pernah bercinta selama 10 tahun, tetapi akhirnya putus. Pengalaman seperti ini membuatkan saya kena sentiasa berhati-hati. Perkahwinan bukanlah perkara main-main."Buat masa ini, memang ramai yang saya jumpa. Tapi itu tidak bermaksud saya 'playboy'. Tidak semestinya bila kita dilihat dengan perempuan berlainan, kita ialah 'playboy'."Apa yang penting, saya 'single' dan tidak ganggu rumahtangga orang. Mungkin juga saya masih belum bertemu 'seseorang' kerana saya terlalu fikir tentang kerja saja."Tambahan pula, saya bukanlah seorang yang sosial. Tapi, saya percaya, untuk mendapat yang terbaik, kita kena berusaha," kata Zed yang kini sibuk menjalani latihan untuk pementasan Impak Maksima The Musical di Esplanade, Singapura pada 17 dan 18 Oktober nanti.Ditanya tentang perkembangan terkininya, kata Zed, selain sibuk dengan sesi latihan Impak Maksima, dia juga baru selesai menjalani penggambaran filem Niyang Rapik dan terbabit dalam filem Semerah Cinta Stilleto.Selain tawaran berlakon yang tidak putus-putus, Zed juga semakin ligat mengusahakan bisnes tiga syarikat miliknya; D Zed Resources Sdn Bhd yang mengendalikan pelbagai jenis perniagaan antaranya maruku, produk kopi dan termasuklah pengurusan acara, DMB Kembara Sdn Bhd (membekalkan barangan peralatan di universiti) dan Bintang Dahlia Sdn Bhd (pengurusan hartanah).Namun begitu, kata Zed, dia bernasib baik kerana dibantu syarikat pengurusan, Aquila Emas, yang banyak menguruskan jadual seninya."Selama empat tahun saya melihat bagaimana Aquila Emas menguruskan artis-artisnya seperti Zizan Nin yang mana saya akui memang bagus."Tahun ini, baru saya menyertai Aquila Emas setelah lama bergerak sendiri dan saya rasa ini langkah yang bijak memandangkan saya sendiri tidak menang tangan menguruskan aktiviti seni dan bisnes," katanya.Dalam pada itu, ditanya tentang kehadiran Syawal tidak lama lagi, ujar Zed, seperti tahun-tahun sebelum ini, dia akan pulang berhari raya di kampungnya sebelah ayah dan ibunya di Mentakab, Pahang pada Hari Raya pertama dan akan kembali ke Kuala Lumpur pada hari yang sama.Namun, menariknya setiap kali Aidilfitri, Zed akan mengadakan 'tour' di beberapa buah negeri termasuklah di bahagian utara, pantai timur dan selatan untuk mengunjungi keluarga-keluarga angkatnya."Sejak bergelar artis, saya memang mempunyai ramai keluarga angkat. Kebanyakannya saya kenali ketika mengadakan penggambaran. Dan sudah beberapa tahun saya selalu buat 'tour' dalam bulan Syawal untuk bertemu mereka."Selalunya, saya buat 'tour' ini bersama rakan-rakan selama seminggu," ujar Zed.