suria

Awal malu cerita kisah cinta

Awal Ashaari kini sudah menemui cintanya setelah tiga tahun menutup pintu hatinya kerana kegagalan lalu dalam percintaan. - foto THE STAR oleh MOHD SAHAR MISNI
Awal Ashaari kini sudah menemui cintanya setelah tiga tahun menutup pintu hatinya kerana kegagalan lalu dalam percintaan. - foto THE STAR oleh MOHD SAHAR MISNI
Awal Ashaari kini sudah menemui cintanya setelah tiga tahun menutup pintu hatinya kerana kegagalan lalu dalam percintaan. - foto THE STAR oleh MOHD SAHAR MISNI

PELAKON dan pengacara, Awal Ashaari atau nama sebenarnya Ahmad Awaluddin Ashaari, 28, mengaku bahawa dia kini telah menemui seseorang yang istimewa di dalam hatinya setelah tiga tahun menutup pintu hatinya dari menerima cinta.

Awal yang ditemui ketika menghadiri majlis berbuka puasa anjuran Astro di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) mengatakan hubungan cinta bersama wanita yang enggan didedahkan identitinya itu baru sahaja berputik dua bulan lepas.

Sebaliknya Awal hanya mengatakan wanita tersebut hanya bekerja di dalam bidang yang sama dengannya cuma bukan dari golongan artis.

"Secara jujurnya, memang saya sudah ada seseorang yang istimewa... tapi kami masih lagi dalam proses untuk sesuaikan diri antara satu sama lain.

"Kami dah kenal lama, sejak tahun 2006 lagi... saya pernah mengorat dia tapi tak dapat... lepas tu lama jugak saya merajuk langsung tak berhubung dengan dia lagi.

"Mungkin sudah jodoh, baru sekarang pintu hati dia terbuka untuk menerima saya dan memberi respon pada saya.

"Baru dua bulan lepas kami bersama kembali dan semuanya berlaku secara semulajadi dimana dia datang pada waktu yang tepat atau mungkin juga saya yang datang pada waktu yang tepat.

"Tapi semuanya saya serahkan pada tuhan untuk tentukan jodoh kami berdua," kata Awal yang menahan malu untuk menceritakan tentang percintaannya.

Malah Awal turut mengatakan wanita pilihannya itu juga memenuhi kriteria wanita idamannya.

"Bagi saya dia begitu memenuhi kriteria wanita idaman saya, dia seorang yang 'independent' dan dia juga bukan seorang yang romantik.

"Dia seorang wanita yang tidak terlalu menunjuk-nunjuk yang dia sayangkan saya tetapi saya tahu dia sayangkan saya.

"Dia juga lebih kasar daripada saya dan saya lebih manja daripada dia... Saya pun jenis yang tak boleh dengan perempuan yang mengada-ngada ni... saya jadi rimas," kata selebriti yang berasal dari Kampung Baru, Kuala Lumpur ini.

Awal juga kini telah bersedia untuk memikul tanggungjawab yang lebih besar dalam hidupnya dengan memiliki keluarganya sendiri kerana dia semakin bimbang dengan umurnya yang semakin meningkat.

"Saya sekarang pun dah 28, Awal 'target' untuk kahwin pada umur 30 tahun tetapi sekarang saya sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab itu.

"Dulu-dulu mak saya selalu kata, kalau nak kahwin pastikan kita ada rumah dulu, ada kereta dulu dan kena ada duit sendiri... takkan nak bagi anak dara orang makan pasir.

"Sekarang ni saya rasa semua tu dah lengkap, saya dah ada duit, rumah dan kereta... jadi saya dah bersedia untuk memiliki keluarga sendiri," kata Awal.

Awal bertambah sibuk di bulan Ramadan

Biarpun sudah menemui cintanya, tetapi Awal perlu meneruskan aktiviti hariannya dengan jadual yang padat di bulan puasa ini.

"Bulan puasa ni saya lebih sibuk dengan jemputan berbuka puasa bersama anak-anak yatim, selain itu saya juga sibuk dengan perniagaan butik yang diusahakan oleh Dynas dan saya iaitu Dna CelebrityStyle dan saya ada buka kiosk menjual sandal wanita dan lelaki yang Awal usahakan bersama adik saya di The Curve.

"Saya juga baru selesai 'shooting' filem 'Niyang Rapik' dua bulan lepas di Tasik Kenyir dan sekarang ni sedang dalam proses 'dubbing'.

"Selain itu saya akan mengacarakan sebuah rancangan yang dipanggil 'Rentak Bolly' di Astro B4U dimana rancangan ini berbentuk Bollywood tetapi dalam Bahasa Melayu. Rancangan ini akan disiarkan pada hari jumaat ini jam 7 malam," jelas Awal.

Awal juga bakal mengacarakan program 'Sehati Berdansa' musim ke-3 dan akan digandingkan bersama Fahrin Ahmad dan seorang lagi pengacara wanita yang belum lagi diketahui calonnya.

"Saya juga bakal mengacarakan 'Sehati Berdansa' musim ke-3 kali ini bersama dengan Fahrin dan seorang pengacara wanita.

"Jika sebelum ini saya hanya berada di belakang takbir sahaja... kali ini saya telah di bawa ke depan untuk mengacarakan program ini.

"Tetapi saya masih tidak tahu kedudukan sebenar saya sama ada berganding dengan Fahrin atau pengacara wanita tersebut namun tahun ini saya tetap kena kerja lebih," kata Awal.

Artikel Sebelum

Artikel Lain