suria

Suami Anita Sarawak cedera dilibas perompak bersenjatakan parang

Suami Anita Sarawak, Mahathir Abdullah menerima 10 jahitan akibat luka sepanjang lapan sentimeter di belakang kepalanya akibat dilibas parang oleh perompak di hadapan rumah ibu tiri isterinya, Datin Umi Kalthum di Taman Melawati, Hulu Klang semalam.

KUALA LUMPUR: Suami penyanyi Anita Sarawak cedera di belakang kepala akibat dilibas parang oleh perompak di hadapan rumah ibu tiri isterinya di Taman Melawati, Hulu Klang Jumaat.

Kejadian itu menyebabkan Mahathir Abdullah terpaksa menerima 10 jahitan akibat luka sepanjang lapan sentimeter di belakang kepalanya.

Anita, 56, atau nama sebenarnya Ithnaini Mohd Taib berkata kejadian itu berlaku pada kira-kira pukul 5.30 petang ketika beliau dan suami serta pemandu mereka menunggu ibu tirinya yang juga pelakon veteran Datin Umi Kalthum di hadapan rumahnya untuk berbuka puasa di Kompleks Studio Merdeka, Hulu Klang.

"Pemandu kami yang ketika itu berada di luar pagar rumah untuk memanggil mummy, secara tiba-tiba didatangi empat lelaki bermotosikal dan mereka mengacukan parang ke arahnya.

"Kejadian itu sebenarnya tidak disedari oleh saya dan suami hinggalah perompak terbabit mengarahkan pemandu kami untuk membuka bonet belakang, mungkin untuk mencari barangan berharga," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pusat Perubatan Prince Court di Jalan Tun Razak di sini.

Beliau berkata Mahathir kemudiannya keluar dari kereta setelah merasakan ada yang tidak kena dan bergelut dengan seorang daripada lelaki terbabit.

"Mahathir juga sempat mencekak leher perompak terbabit sebelum dilibas dengan parang di kepala. Mahathir bagaimanapun tetap melawan dengan mengacukan kipas lipat milik saya yang disangka pistol oleh perompak terbabit.

"Saya yang ketakutan cuba meleraikan pergelutan itu dan merayu kepada perompak terbabit agar tidak mencederakan Mahathir dengan menjerit 'adik jangan'. Mereka yang tergamam kemudiannya beredar sebaik melihat wajah saya," katanya.

Anita berkata beliau hanya menyedari kepala suaminya itu berdarah sebaik beliau keluar dari kereta dan terus mengarahkan pemandu menghantarnya ke hospital.

Sementara itu, Mahathir ketika ditemui pemberita selepas menerima rawatan, berkata apa yang difikirkannya ketika kejadian itu ialah untuk menyelamatkan isteri dan pemandunya.

"Mujurlah, mummy tidak keluar rumah lagi ketika itu. Kalau tidak, tidak tahulah apa yang akan berlaku," katanya yang dirawat sebagai pesakit luar.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Abd Jalil Hassan ketika dihubungi berkata pihaknya belum menerima laporan dari pasangan terkenal itu. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain