suria

Zizan Nin sempat bacakan surah Yassin untuk arwah ibu

PELAKON dan model Zizan Nin sempat menemankan arwah ibunya tidur semasa malam pertama dia dimasukkan di wad di Hospital Tengku Ampuan Jemaah, Sabak Bernam pada 29 September lalu.

"Saya rasa sebak dan sayu semasa melihat dia (arwah ibu) mendapatkan bantuan pernafasan.

"Saya memang tak tidur setelah melihat keadaannya waktu itu.

"Saya hanya bersendirian di sisinya membacakan surah Yassin, berbisik di telinganya dan sekadar menatap wajahnya puas-puas," cerita Zizan penuh syahdu seolah-olah sudah dapat menjangka yang ibunya tidak akan hidup lama lagi.

Kenangan itu pastinya akan dikenang oleh Zizan sebelum ibu tersayang, Bibi Kalsom Md Sidek, 61, menghembuskan nafas terakhir di wad itu di samping tujuh orang anaknya kira-kira pukul 9 pagi semalam.

Jenazah ibunya dikebumikan di Tanah Perkuburan Parit Satu, Sungai Besar dalam pukul 3 petang semalam.

“Saya redha dengan ketentuan-Nya. Ibu saya sudah lama menderita penyakit radang paru-paru sejak empat tahun lalu cuma pada minggu terakhir puasa baru penyakit itu serius.

“Semasa malam pertama dia dimasukkan di wad, saya sempat temankan dia tidur...,” luahnya menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar oleh Pengarah Urusan Aquila Emas, Syarizan Md. Isa.

Zizan yang masih mempunyai ayah, Johari Rahmat, 57, berkata dia tetap akan meneruskan kerjaya seninya walaupun hatinya masih sedih atas pemergian ibunya itu.

“Saya, pelakon Tony Eusoff, Fauziah Nawi dan Farah Alia akan berada di Bukit Mertajam Country Resort, Pulau Pinang untuk menjayakan program karnival bersama keluarga.

“Program itu bertujuan untuk mengumpul dana untuk biasiswa kepada pelajar miskin,” beritahunya mengenai aktiviti anjuran Perbadanan Perpustakaan Negeri Pulau Pinang dan alumni Sekolah Menengah Convent Bukit Mertajam itu.

Dalam pada itu, Zizan berkata dia ingin mengambil peluang untuk merakamkan ucapan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam membantu menguruskan jenazah ibunya.

"Antaranya pihak Hospital Tengku Ampuan Jemaah, penduduk Taman Sri Endah Sungai Besar, saudara mara, sahabat handai yang telah menguruskan jenazah arwah ibu saya serta rakan media dan artis yang tidak putus-putus memberi kata-kata semangat kepada saya," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Lain