suria

Afdlin, Din Beramboi, Bob Lokman tarikan utama Raja Lawak 4!

Antara individu penting dalam RajaLawak 4 dari kiri: Bob Lokman, Afdlin Shauki, Pengurus Saluran Astro Prima, Nizam Sani, Zizan dan Johan Raja Lawak. - foto THE STAR oleh SAMUEL ONG
Antara individu penting dalam RajaLawak 4 dari kiri: Bob Lokman, Afdlin Shauki, Pengurus Saluran Astro Prima, Nizam Sani, Zizan dan Johan Raja Lawak. - foto THE STAR oleh SAMUEL ONG
Antara individu penting dalam RajaLawak 4 dari kiri: Bob Lokman, Afdlin Shauki, Pengurus Saluran Astro Prima, Nizam Sani, Zizan dan Johan Raja Lawak. - foto THE STAR oleh SAMUEL ONG

SELEPAS menobatkan kumpulan Sepah sebagai juara Raja Lawak musim ketiga, Astro meneruskan lagi inisiatifnya bagi mencari pelapis dalam bidang komedi menerusi satu-satunya pertandingan realiti untuk mencari bakat lawak di Malaysia iaitu Raja Lawak yang kini memasuki musim keempat.

Walaupun masih mengekalkan konsep pertandingan yang sama, Raja Lawak musim keempat ini bakal menampilkan sedikit kelainan apabila mendapat kerjasama tiga pelawak serba boleh iaitu Afdlin Shauki, Din Beramboi dan Bob Lokman.

Menurut Pengurus Saluran Astro Prima, Nizam Sani, kombinasi juri bagi musim keempat ini dilihat sebagai pilihan terbaik dan melalui kredibiliti mereka juga dapat meningkatkan lagi rating rancangan ini dengan membawa para juri terlibat sebahagian dalam persembahan bukan sekadar memberi kritikan sahaja.

"Kami melihat kombinasi juri pada musim keempat ini sebagai pilihan terbaik dan percaya kredibiliti mereka mampu mengangkat hiburan komedi ke satu peringkat yang lebih tinggi.

"Pengalaman mereka dalam bidang seni juga merupakan satu bonus dalam menghujahkan kritikan-kritikan yang bernas pada setiap minggu.

"Selain itu kami ingin membawa para juri terlibat sebahagian dalam persembahan bukan sekadar memberi kritikan sahaja sebaliknya turut berlakon untuk memberi impak dalam Raja Lawak musim keempat ini.

"Kita juga berharap rating rancangan ini akan lebih meningkat contohnya dengan penampilan Afdlin Shauki penonton yang tinggal di kawasan bandar akan lebih ramai yang menonton rancangan ini," katanya pada sesi santai Raja Lawak bersama media di restoran Marche Movenpick, The Curve baru-baru ini.

Bob Lokman yang turut hadir mengatakan dia begitu mengagumi juri American Idol, Simon Cowell kerana mampu memberikan kritikan yang jujur dan menjadi seorang juri yang berlakon di dalam rancangan tersebut.

"Saya sebenarnya agak risau untuk menjadi juri di mana jika saya memberikan kritikan yang jujur ianya mungkin akan melemahkan semangat peserta dan pada masa yang sama penonton jadi tidak suka.

"Setiap apa kritikan saya sebenarnya bukanlah untuk penampilan tetapi untuk mengajar peserta agar menjadi yang terbaik dalam berbagai situasi.

"Saya amat mengagumi Simon Cowell kerana dia merupakan seorang juri yang serba boleh, dia mampu memberikan kritikan yang jujur dan pada masa yang sama dia boleh berlakon di dalam rancangan tersebut untuk menjadikannya lebih menarik," jelasnya.

Bagi Afdlin Shauki pula dia mengambil peluang ini untuk mencungkil bakat-bakat baru untuk diserapkan dalam produksinya dan memberi peluang kepada mereka menunjukkan bakat yang mereka ada.

"Saya menggunakan peluang ini untuk mencari bakat-bakat baru untuk diserapkan ke dalam produksi saya dan saya berada di dalam posisi membantu karier pelakon-pelakon baru yang bagus pada penilaian saya.

"Jadi saya akan cuba ketengahkan bakat mereka sama ada melalui hasil kerja saya mahupun melibatkan mereka di dalam program-program Astro.

"Bagaimanapun saya sudah bersedia untuk terus menyiksa bakal-bakal peserta Raja Lawak musim keempat tetapi dengan cara melawak juga, kita tidak boleh terlalu keras, tetapi perlu beri kritikan yang jujur agar mereka sedar kedudukan mereka," katanya yang teruja dipilih menjadi juri.

Pemenang tempat kedua dan ketiga Raja Lawak musim pertama, Johan dan Zizan sekali lagi akan menggalas tugas bagi mengacarakan program ini tiga tahun berturut-turut dan memperlihatkan cabaran kesemua peserta dalam merebut gelaran Raja Lawak Astro.

Sesi ujibakat akan memulakan penjelajahannya bermula di Plaza Kotaraya, Johor Bahru pada 17 dan 18 Oktober, Kompleks Bukit Jambul, Pulau Pinang pada 24 dan 25 Oktober, Megamall Kuantan, Pahang pada 31 Oktober dan 1 November, Plaza Alam Sentral, Shah Alam pada 7 dan 8 November dan One Borneo, Kota Kinabalu, Sabah pada 14 dan 15 November.

Kesemua sesi ujibakat akan bermula pada jam 10 pagi hingga 6 petang. Raja Lawak musim keempat akan mula menemui para penonton pada 26 Disember 2009 pada jam 8.30 malam di saluran Astro Prima.

Artikel Lain