USIA muda tidak pernah dianggap penghalang untuk penyanyi dan pelakon ini mengakhiri zaman bujang. Malah, kata Erneelya Elyana Emrizal atau lebih popular dengan nama Elyana ini, dia akui amat teruja menantikan detik untuk bergelar isteri.Gadis berusia 22 tahun ini telah mengikat tali pertunangan dengan kekasihnya, Khairul Anuar Hussin, 34, pada 11 Julai lalu dan menurut Elyana, mereka merancang untuk melangsungkan perkahwinan sekitar awal tahun depan. "Memang kami berhasrat untuk bertunang tidak lebih setahun dan terus mendirikan rumahtangga. Tetapi, sehingga hari ini, belum ada keputusan tetap tentang tarikhnya kerana masing-masing sibuk dengan urusan sendiri."Namun, besar kemungkinan kami akan langsungkan awal tahun depan. Insya-allah, saya pun rasa sudah bersedia untuk menggalas tanggungjawab sebagai isteri."Saya sudah puas 'enjoy' dan sibuk dengan dunia seni sejak di zaman sekolah lagi. Jadi sekarang ini, saya ingin memandang ke hadapan dan memikirkan tentang masa depan saya."Lagipun, saya masih boleh meneruskan karier seni seperti biasa walaupun setelah berkahwin nanti. Jadi tiada masalah untuk saya berkahwin cepat pada usia ini," tutur Elyana dalam nada ceria.Menurut penyanyi yang popular dengan lagu Kalis Rindu ini, buat masa ini, dia hanya membuat persediaan secara kecil-kecilan kerana belum ada kata putus tentang tarikh sebenar hari bersejarahnya bakal berlangsung."Ada lah buat persediaan sikit-sikit. Lagipun ketika ini, saya sedang di dalam proses untuk merakamkan single terbaru. Ibu pula akan mengerjakan haji bulan depan. Jadi, biarlah lepas satu demi satu perkara dulu."Mungkin jika masanya hampir tiba nanti, barulah saya akan cari masa untuk fikirkan semuanya termasuklah konsep perkahwinan," kata Elyana yang turut mempamerkan bakat lakonan hebat menerusi drama Dunia Baru.Bercerita tentang aktiviti seninya pula, ujar Elyana, dia dijangka akan memasuki studio bagi merakamkan single terbarunya dalam masa terdekat ini."Kalau ikutkan, memang selepas raya saya sudah kena masuk studio. Tetapi tak tahulah macam mana kerana ketika ini, saya sedang alami sakit tekak. Mungkin selepas sihat sedikit, baru saya teruskan."Bercakap mengenai single ini, sekali lagi saya akan bekerjasama dengan komposer Aidit Alfian. Kami rancang untuk keluarkan single ini selewat-lewatnya awal tahun depan."Dan kali ini, memang sengaja pihak syarikat rakaman, FMC, cadangkan agar saya tampil dengan single terlebih dahulu, bukannya dengan album penuh."Lagipun sekarang ini memang ramai penyanyi buat perkara yang sama apatah lagi bila melihat senario pasaran album yang memang mengecewakan," katanya.Menyentuh mengenai karier lakonannya pula, ujar Elyana, terbaru dia akan muncul di dalam telefilem sempena Deepavali berjudul Aku, M dan Papa yang akan disiarkan di Astro Ria.Dia juga sedang di dalam pertimbangan untuk beberapa buah projek lakonan lain."Saya pun tidak tahulah mengapa sejak kebelakangan ini tawaran berlakon cukup banyak yang saya dapat, sedangkan saya anggap bidang lakonan ini adalah sekadar sambilan."Mungkin sudah dinamakan rezeki. Namun tidaklah pula saya terima semua tawaran tersebut, jika kena pada masa dan watak yang sesuai, barulah saya akan bersetuju."Saya masih memberikan keutamaan kepada bidang nyanyian, kerana saya ingin orang lebih mengenali saya sebagai penyanyi, bukannya pelakon," tuturnya