suria

Hafiz AF: Salahkah saya bercinta?

Hafiz tidak menyangka walaupun belum setahun bergelar anak seni, dia sudah berdepan dengan pelbagai cerita yang kurang enak tentang dirinya
Hafiz tidak menyangka walaupun belum setahun bergelar anak seni, dia sudah berdepan dengan pelbagai cerita yang kurang enak tentang dirinya
Hafiz tidak menyangka walaupun belum setahun bergelar anak seni, dia sudah berdepan dengan pelbagai cerita yang kurang enak tentang dirinya

SETELAH bergelar seorang artis sejak menjuarai program realiti popular, Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7) pada Mei lalu, Mohd Hafiz Mohd Suip atau Hafiz sudah mula merasai cabaran dan dugaan mengharungi bidang seni ini.

Kata Hafiz, dia tidak menyangka walaupun belum setahun bergelar anak seni, dia sudah berdepan dengan cerita yang kurang enak tentang dirinya.

Jejaka berusia 19 tahun ini akui agak kesal dengan perkhabaran yang mengatakan dia seperti sudah hilang fokus di dalam karier seninya dan sering dilihat terlupa lirik ketika menjayakan persembahan.

Malah, lebih mengecewakan Hafiz ialah apabila ada pihak yang mengatakan antara punca berlakunya semua itu adalah kerana dirinya ketika ini sedang asyik bercinta.

"Saya tidak faham macam mana khabar angin ini boleh tercetus. Bukan ingin mendabik dada, tetapi setakat ini hanya sekali saja saya pernah terlupa lirik iaitu sewaktu buat persembahan di bulan Ramadan lalu.

"Saya masih ingat, ketika itu saya menyanyikan lagu raya berjudul Yok Raya dan memandangkan lagu itu masih baru bagi saya, jadi saya terlupa sedikit lirik lagu tersebut. Tetapi tidak pernahlah saya lupa lirik ketika persembahan lain.

"Jadi bila timbulnya cerita seperti ini, memang ia mengejutkan saya. Saya hanya bersabar dan ambil perkara ini sebagai satu teladan," kata Hafiz yang sedang popular dengan lagu Masih Jelas ini.

Anak kelahiran Sarawak ini juga turut menafikan dia sedang asyik bercinta sehingga kurang memberikan tumpuan terhadap kariernya yang baru saja bermula itu.

"Saya tidak bercinta dan tidak ada kekasih pun ketika ini. Dan kalau benar pun, salahkah saya bercinta? Saya juga seperti manusia lain mempunyai perasaan. Tapi ingin saya jelaskan diri, saya tidak akan sesekali campur aduk antara kerja dan kehidupan peribadi.

"Saya tidak mahu jejaskan karier sendiri dan hampakan peminat. Apapun, semua yang berlaku ini tidak membuatkan saya patah semangat. Saya tahu, inilah harga yang perlu dibayar apabila menceburi bidang ini," ujar Hafiz.

Cuba menyelami hati jejaka ini, sengaja soalan tentang kisah 'cintanya' terus diajukan, apatah lagi dia dikatakan sebenarnya memang sudah mempunyai hubungan istimewa dengan seorang gadis bernama Fifi.

Tidak menafikan memang mengenali gadis itu, namun kata Hafiz, hubungan yang terjalin tidak lebih atas dasar persahabatan.

"Dalam ramai-ramai kawan perempuan saya, tidak tahulah mengapa nama Fifi yang dikaitkan dengan saya sedangkan tidak pernah sekali pun kami keluar berdua. "Saya tidak nafikan, mula mengenalinya sebelum sertai AF lagi dan kami berkenalan pada awalnya menerusi laman web Facebook.

"Dia pernah berlakon sikit-sikit juga dulu. Bagi saya, dia memang seorang perempuan yang baik dan cantik, tetapi tidaklah sampai ke tahap kami bercinta," katanya.

Menurut Hafiz lagi, dia tidak mahu terburu-buru mencari kekasih, lebih-lebih lagi usianya juga masih muda.

"Masih jauh perjalanan saya dan sejujurnya, buat masa ini saya tidak mahu lagi memikirkan tentang hubungan istimewa. Lagipun, susah nak cari seorang perempuan yang boleh menerima saya dengan hati yang ikhlas, bukan kerana saya artis.

"Biarlah tentang jodoh itu tuhan saya yang tentukan," kata Hafiz yang kini berada di Kuching, Sarawak untuk menjayakan sebuah persembahan di sana.

Artikel Sebelum

Artikel Lain