suria

9 pasangan selebriti bakal gamatkan pentas Sehati Berdansa 3

Enot mempamerkan tariannya pada sesi pengenalan barisan pasangan selebriti yang menyertai Sehati Berdansa musim ketiga - foto THE STAR oleh RAJA FAISAL
Enot mempamerkan tariannya pada sesi pengenalan barisan pasangan selebriti yang menyertai Sehati Berdansa musim ketiga - foto THE STAR oleh RAJA FAISAL
Enot mempamerkan tariannya pada sesi pengenalan barisan pasangan selebriti yang menyertai Sehati Berdansa musim ketiga - foto THE STAR oleh RAJA FAISAL

SEMBILAN pasangan selebriti tanahair bakal beraksi untuk merebut gelaran juara Sehati Berdansa musim ketiga tidak lama lagi, setelah pasangan Vanidah Imran dan Rashidi Ishak serta Lisdawati dan Fauzi Nawawi masing-masing dinobatkan juara bagi musim pertama dan kedua.

Setelah proses pencarian dan penelitian dibuat oleh pihak Astro sejak bulan April lalu, sembilan pasangan suami isteri ini akhirnya dipilih untuk menyertai musim baru program realiti berbentuk tarian ini dan mereka adalah pelakon Anita Baharom dan suaminya, Mohamad Ismadi; pelakon Didie Alias dan Nor Isham; pelakon Dira Abu Zahar dan Ash; pelakon Enot dan Zainul Abidin; penyanyi Isma AF dan Zulkefli Majid; bekas pemain hoki kebangsaan Mirnawan Nawawi dan Noorah Mokhsin; penyanyi kumpulan Lips, Oshin dan Mohd Firdaus; pengacara dan pelakon, Sazzy Falak dan Nazril Idrus; serta penyanyi Syed Hussein (Sein Ruffedge) dan Noor Diyana.

Kesemua pasangan selebriti ini akan dibimbing oleh koreografer masing-masing yang terpilih pada musim ini iaitu Bayu yang akan membentuk persembahan untuk pasangan Sein, Emma (Anita), BB (Didie), Ezrey (Dira), Anuar (Enot), Markyong (Isma), Dayana (Mirnawan), Lilly (Oshin) dan Papa J (Sazzy).

Sembilan pasangan selebriti ini telah dipertanggungjawabkan untuk melakukan persembahan terbaik pada setiap minggu di atas nama badan-badan kebajikan yang terpilih.

Pasangan yang tersingkir pada setiap minggu akan menyumbangkan wang tunai terkumpul kepada badan-badan kebajikan masing-masing yang mereka wakili. Jumlah wang akan meningkat selagi pasangan itu masih kekal di dalam pertandingan tersebut.

Badan-badan kebajikan yang terlibat bagi musim ini ialah Persatuan SLE Malaysia (Anita), Persatuan Epilepsi Malaysia (Didie), Persatuan Thalassemia Malaysia (Dira), Yayasan Paru-Paru Malaysia (Enot), Persatuan Klef Bibir dan Lelangit Malaysia (Isma), Persatuan Kanak-Kanak Spastik Selangor dan Wilayah Persekutuan (Mirnawan), Persatuan Angin Ahmar Kebangsaan Malaysia (Oshin), Persatuan Parkinson Malaysia (Sazzy) dan Persatuan Albinisma Kuala Lumpur dan Selangor (Sein).

Mengulas mengenai pemilihan sembilan pasangan selebriti ini, kata Pengurus Saluran Astro Ria, Khairul Mizan Shagul, dia akui ramai selebriti lain pernah menyuarakan hasrat untuk menyertai program popular ini.

Namun, kata Khairul, pihak penerbitan perlu meneliti banyak perkara sebelum memilih peserta-peserta yang akan menyerikan Sehati Berdansa musim terbaru ini.

"Banyak perkara yang perlu kami ambil kira antaranya tujuan mereka ingin menyertai program ini, sama ada ikhlas atau tidak.

"Dan yang paling penting ialah komitmen mereka terhadap program ini kelak kerana mereka perlu mengorbankan kerja mereka untuk berlatih menari dan melawat rumah kebajikan yang mereka wakili.

"Lebih kurang 30 pasangan selebriti telah kami letak dalam senarai pendek dan akhirnya kami memutuskan untuk ambil sembilan pasangan saja. Setiap tahun, kami tidak pernah meletakkan bilangan tertentu berapa peserta yang akan diambil.

"Kali ini, setelah mengadakan perbincangan dengan pihak produksi, kami merasakan nombor sembilan adalah bagus dan disebabkan itu kami memilih sembilan peserta berbanding musim-musim terdahulu yang lebih ramai," kata Khairul.

Menurutnya lagi, semua pasangan selebriti itu telah mula memberikan komitmen terhadap Sehati Berdansa sebelum bulan Ramadan lalu yang mana mereka telah terlibat dengan penghasilan promo program ini.

Ditanya sama ada populariti turut menjadi elemen penting di dalam pemilihan peserta bagi program ini, ujar Khairul, dia tidak menafikan faktor tersebut turut menjadi kriteria penting selain komitmen yang akan diberikan.

"Memang populariti mengikut bidang masing-masing adalah penting. Tetapi apapun, komitmen adalah elemen paling penting. Sebenarnya, kami juga ada bertanya pada Datuk Siti Nurhaliza sama ada dia berminat untuk sertai, tetapi dia tidak ada masa.

"Begitu juga dengan beberapa nama-nama besar lain," kata Khairul yang menambah, pihak Astro masih belum memutuskan tentang hadiah yang bakal diterima oleh juara kelak.

Seperti musim-musim terdahulu, persembahan setiap pasangan selebriti ini akan diadili dengan sistem pemarkahan sebanyak 50 peratus oleh juri-juri profesional dan 50 peratus lagi menerusi undian penonton. Pasangan yang menerima markah terendah pada setiap minggu akan disingkirkan.

Episod pengenalan iaitu Kenali Sehati Berdansa akan bersiaran pada 17 dan 18 Oktober ini, disusuli dengan program mingguan Detik Sehati Berdansa bermula 19 Oktober pada setiap Isnin hingga Khamis yang mana ia akan memaparkan sorotan penting harian pasangan selebriti.

Sesi latihan dan rakaman di sebalik tabir pula akan dipaparkan menerusi Di Sebalik Sehati Berdansa yang akan disiarkan setiap Jumaat bermula 23 Oktober ini manakala Malam Sehati Berdansa yang akan menyaksikan pasangan selebriti beraksi setiap minggu pula akan mula ditayangkan pada 24 Oktober, setiap Sabtu.

Keputusan penyingkiran akan menyusul pada keesokan harinya pada setiap minggu untuk mengetahui pasangan mana yang bakal tersingkir.

Musim ini menyaksikan gandingan Fahrin Ahmad dan Scha yang menggantikan tempat Linda Onn, sebagai pengacara ntuk Malam Sehati Berdansa manakala Awal Ashaari pula akan mengendalikan Debaran Sehati Berdansa, Di Sebalik Sehati Berdansa, Detik Sehati Berdansa dan Kenali Sehati Berdansa.

KOMEN PESERTA:

Sazzy:

"Pihak Astro sebenarnya sudah 'approach' saya dan Nazril sejak musim pertama lagi, tetapi saya tidak mahu. Musim ini juga mereka sekali lagi hubungan kami, tetapi tetap saya mengatakan tidak. Mereka cuba juga dapatkan kami, kali ini menerusi seorang produser yang rapat dengan kami iaitu.

"Saya kemudiannya menghubungi Kak Vee (Vanidah) dan tanya kenapa dia dan suaminya sertai Sehati Berdansa dulu. Dia akui program ini bagus dan dia sendiri rasa ingin lakukan sekali lagi. Akhirnya setelah berfikir, kami pun bersetuju untuk sertai."

Isma AF:

"Ketika di Akademi Fantasia dulu, saya hanya belajar asas-asas tarian saja, tetapi sedikit-sebanyak saya rasa ia mampu membantu saya dalam program ini. Apa yang saya lihat, Sehati Berdansa ini amat bagus kerana dapat meluangkan masa yang lebih dengan pasangan masing-masing."

Didie Alias:

"Dulu kami asyik ketawakan aksi pasangan yang masuk sehati Berdansa. Tak sangka pula kali ini Astro hubungi kami dan ajak kami sertai musim terbarunya kerana menurut Astro, mereka ingin menyuntik elemen humor dalam musim ini. Mulan-mulanya, suami agak keberatan untuk sertai.

"Tetapi setelah kami melawat badan kebajikan yang bakal kami wakili baru-baru ini, kami lebih bersemangat untuk sertai. Apa yang pasti, kami tidak mahu terlalu memikirkan tentang persaingan."

Mirnawan:

"Ini adalah satu peluang yang baik untuk saya dan isteri luangkan masa yang banyak antara satu sama lain kerana sebelum ini masing-masing memang sibuk dengan urusan sendiri...saya sibuk di padang hoki dan isteri pula sebagai pramugari.

"Pada masa yang sama, kami juga gembira kerana dapat beramal kepada mereka yang memerlukan. Sememangnya ini adalah satu cabaran baru buat kami. Kami akan cuba lakukan yang terbaik dan selebihnya terserahlah kepada juri dan penonton."

Enot:

"Saya adalah peserta yang 'terkecil' dan paling 'comel' dalam program ini. Apapun, saya tidak terfikir langsung tentang kemenangan. Apa yang saya dan suami lakukan ini adalah untuk kebajikan dan sekaligus untuk habiskan masa bersama kerana selama ini kami asyik sibuk bekerja saja."

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain