suria

Chef Wan akan hasilkan 'Ensiklopedia Masakan Melayu' yang pertama

Setelah menghasilkan beberapa buku masak yang bertaraf 'best seller', Wan sedang giat menyiapkan manuskrip ensiklopedia masakan Melayu - foto THE STAR oleh ABDULLAH SUBIR
Setelah menghasilkan beberapa buku masak yang bertaraf 'best seller', Wan sedang giat menyiapkan manuskrip ensiklopedia masakan Melayu - foto THE STAR oleh ABDULLAH SUBIR
Setelah menghasilkan beberapa buku masak yang bertaraf 'best seller', Wan sedang giat menyiapkan manuskrip ensiklopedia masakan Melayu - foto THE STAR oleh ABDULLAH SUBIR

AGAKNYA selebriti Chef Wan tidak pernah kenal erti penat. Dalam usia 52, dia masih bertenaga dan rancak meneruskan segala macam aktiviti hingga menuntutnya berjaga sampai ke pagi.

Siapa pun yang mendengar tukang masak terkenal ini berceloteh akan kagum dengan penat jerih dan kebijaksanaannya merangka dan memeta perjalanan kerjayanya selama 20 tahun.

Dan setiap kali bertemu, ada saja perkhabaran baru tentang projek dan aktiviti Chef Wan yang sibuk menjelajah ke sana sini ini.

Rasanya, Wan orang yang paling bijak tentang 'time management' kerana semuanya dilakukan sendiri tanpa seorang pengurus. Hanya seorang pemandu peribadinya, Rustam saja yang membawanya ke merata tempat untuk menguruskan segala kerjanya seperti yang tercatat dalam jadual hariannya yang ketat.

Setelah menghasilkan beberapa buku masak yang bertaraf 'best seller', Wan sedang giat menyiapkan manuskrip ensiklopedia masakan Melayu.

Kata Wan, belum ada lagi catatan tentang evolusi makanan kita.

"Semua ensiklopedia pasal makanan adalah dalam bahasa Inggeris. Ianay perlu dibukukan kerana makanan Malaysia banyak dipengaruhi pengaruh Jawa, Sunda, Minangkabau, Siam, Portugis, Cina, India sehinggalah terciptanya masakan Baba-Nyonya.

"Generasi baru perlu tahu bagaimana makanan kita berkembang. Orang India yang datang sebagai buruh, Cina sebagai pelombong membawa sekali budaya pemakanan. Pedagang-pedagang dari 'silk road' semuanya membawa pengaruh mereka sendiri.

"Menariknya makanan tersebut berkembang bercampur dengan masakan setempat. Masakan Cina di Malaysia lebih kaya dari negara China sendiri. Macam roti canai di Malaysia, di India, tak ada roti canai.

"Begitu juga dengan mi Bandung sedangkan kalau kita ke Bandung kita tidak jumpa pun makanan tersebut," kata ayah kepada pelakon jelita Serina dan Chef Nazri.

Menurut Wan, orang dulu bijak menggunakan bahan makanan dari persekitaran.

"Mereka guna akar kayu bila diketuk berbau seperti bawang putih dan memasak di dalam buluh," kata Chef Wan yang baru pulang dari Kundasang, Sabah.

Selain ensiklopedia, Chef Wan juga mahu menulis masakan halal Cina dan buku seni jamu selera.

"Seni menjamu selera bukan saja akan menyentuh pasal menu saja tapi juga acara majlis dan kunduri-kendara. Wan juga akan menghasilkan buku mengenai etika meja makan, cara menyusun pinggan mangkuk, mengenai linen dan China ware," kata Wan yang juga ikon beribu-ribu program masakan, pelakon, penghibur, motivator, penulis dan ahli perniagaan.

Ghairah bercerita tentang aspirasinya mahu ‘menjual’ Malaysia lewat dunia gourmet, Chef Wan turut melahirkan kekesalannya tentang sikap acuh tak acuh sesetengah pihak tentang promosi makanan Malaysia.

Sambil membuka cermin mata jenama Pradanya, Chef Wan berkata dia tidak memandang mudah tugasnya sebagai duta masakan Malaysia.

Walaupun popularitinya sudah tersebar ke serata pelosok Asia dan juga di Eropah dan Amerika, Wan masih belum puas.

"I take my work very seriously. Banyak perkara yang boleh kita lakukan dengan makanan. Food can bring us together. Tak payahlah nak gaduh-gaduh pasal originality makanan. Perkara macam tu takkan selesai. Lebih elok kita tumpukan dengan promosi makanan Malaysia saja," jelas Wan yang kelihatan santai dengan kemeja biru lembut Jean Paul Gaultier dan jeans berjenama.

Tak lama lagi chef tersohor ini akan menubuhkan sebuah akademi masakan bertaraf dunia yang diberi nama 'C.A.C.A' (Chef Wans Asian Culinary Academy) untuk pelajar-pelajar yang ingin belajar memasak pada tahun hadapan.

Wan sudahpun menandatangani MOU dengan Taylors College Universiti dan menyiapkan modul khas bagi pelbagai masakan Asian. Akademi ini akan siap beroperasi di Taylors College School of Hospitality pada pertengahan tahun hadapan.

"Sekolah ini akan ditempatkan di bangunan 5 blok dan pengambilan pelajar pula akan melibatkan 5,000 pelajar dari seluruh dunia. Sekolah ini juga akan menempatkan sebuah restoran Asian," jelas Wan yang bersengkang mata untuk menyiapkan modul dan kurikulum untuk akademi itu.

Pada waktu yang sama, Wan akan meluaskan empayar perniagaan restoran di bawah jenama 'Chef Wan Restaurant'. Rakan kongsi Chef Wan bukannya orang asing tapi Datuk Steven Sim, pemilik dan ketua Pegawai Eksekutif 'Secret Recipe Cakes and Cafe Sdn Bhd'.

Rangkaian restoran ini akan diuruskan oleh anak Chef Wan, Chef Nazri.

Perbincangan ke arah dua projek mega ini sudah hampir sampai ke penghujungnya dan kini hanya tunggu masa saja untuk menjalinkan usahasama.

Gelaran selebriti chef terbaik di dunia "The Best Celebrity Chef In The World" di 'World Gourmand Cookbook and Media Awards 2009' di Comedie Francaise near Palais Royal pada Julai lalu, menjadikan kehidupan Chef Wan menjadi bertambah rancak.

Hinggakan untuk menguruskan perkahwinan anak gadisnya Serina, Chef Wan terpaksa mengupah khidmat beberapa orang termasuk wedding planner dan beberapa pembantu khas untuk urusan perkahwinan.

Walaupun perbelanjaan untuk majlis kahwin 3 malam ini terpaksa dirahsiakan kerana tidak mahu dikatakan riak atau menunjuk, yang pasti majlis kahwin Serina akan meriah dengan kehadiran 10 Chef terkenal di seluruh dunia.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain