KUALA LUMPUR: Amir Feisal Ariff Mohamad Shukri, peguam yang mewakili Nasreen Ngasri atau Darling membuat permohonan untuk meminda pembelaan dan tuntutan balas terhadap saman rakan kongsi pelakon dan penerbit itu, Mohd Ridzuan Mat Husin di hadapan penolong kanan pendaftar Parvin Hameedah Natchiar di Mahkamah Hakim Pengurus Sivil, Kompleks Mahkamah Aras 3, Jalan Duta pagi tadi.Sebelum ini, Mohd Ridzuan mendakwa Nasreen telah melakukan pecah amanah berhubung dengan bayaran untuk tiga buah drama arahannya. Amir Feisal yang mewakili Nasreen berkata, pihaknya telah membuat permohonan untuk meminda pembelaan dan tuntutan balas."Pada masa yang sama, pihak Mohd Ridzuan telah meminda writ dan penyata tuntutan. Jadi, hari ini merupakan perbicaraan permohonan oleh kedua-dua pihak," katanya ketika ditemui di luar pejabat pendaftar.Kedua-dua Nasreen dan Mohd Ridzuan tidak hadir ke mahkamah hari ini.Amir memberitahu, kes pengurusan pra-bicara akan didengar pada 16 November ini di depan Timbalan Pendaftar.Sementara itu, peguam Mohd. Ridzuan (plaintif), Izyan Darlina Balia Yusof berkata, pihaknya telah memfailkan permohonan untuk meminda saman yang dikemukakan terdahulu."Tarikh bicara kes belum ditetapkan oleh mahkamah lagi," katanya yang tidak dapat mengesahkan sama ada kes itu dapat dibicarakan pada tahun depan.Darling dan Mohd Ridzuan sebelum ini bersetuju memiliki jumlah perkongsian sebanyak 50 peratus setiap seorang dalam syarikat Nasridz Pictures Sdn. Bhd. yang dimiliki secara bersama.Pada 29 Mei lalu, Mohd Ridzuan pada sidang akhbar dengan ditemani peguamnya, Jefree Zain Affendi memberitahu, beliau telah membuat dua laporan polis dan memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, 23 April lalu kerana mendakwa Darling melakukan pecah amanah yang melibatkan bayaran untuk tiga buah drama arahannya."Sepatutnya setiap bayaran untuk drama terbitan kami dimasukkan ke bank yang dilantik syarikat. Tetapi Darling didapati membuka akaun baru tanpa pengetahuan saya."Dia telah memasukkan bayaran untuk tiga buah drama arahan saya itu yang sepatutnya menjadi milik syarikat dan akan dibahagikan sama rata antara saya dan dia ke dalam akaun baru itu," kata Mohd Ridzuan.Apa yang amat dikesalkan menurut Mohd Ridzuan, Darling turut menerbitkan tiga buah drama lagi di bawah nama syarikat yang sama tanpa pengetahuannya."Setiap keputusan yang diambil harus mengambil kira pandangan saya, tetapi Darling mengetepikan saya dan buat keputusan sendiri," katanya.Justeru, Mohd. Ridzuan menegaskan, beliau terpaksa melakukan sesuatu dengan membuat dua laporan polis dan memfailkan saman terhadap Darling.