Engku Emran Engku Zainal Abidin telah meletakkan jawatan sebagai CEO Surai FM dan bakal memimpin organisasi media yang lain. -Foto THE STAR oleh S. S. KANESANPETALING JAYA: Peneraju Suria FM, Engku Emran Engku Zainal Abidin hari ini mengesahkan bahawa beliau telah menerima tawaran sebagai ketua pegawai eksekutif (CEO) sebuah organisasi media tempatan. Engku Emran berkata beliau dilantik sebagai CEO sebuah syarikat media yang disifatkannya sebagai "very exciting". "Cakap-cakap itu memang betul. Malah saya telah mendapat tawaran itu pada awal bulan Ogos. Saya telah membuat keputusan untuk mengambil tawaran tersebut pada September lalu selepas berbincang dengan keluarga dan berfikir semasak-masaknya," katanya kepada mStar Online. Sebelum ini, sudah kedengaran desas-desus yang menyatakan beliau akan meninggalkan Suria FM. Engku Emran bagaimanapun enggan mendedahkan nama organisasi media berkenaan kerana pengumuman rasmi mengenainya masih belum dibuat oleh majikan barunya itu. "Ia bukan stesen radio tetapi organisasi media dalam bentuk yang lain," katanya lagi sambil menambah bahawa hasratnya untuk meletakkan jawatan telah disuarakan kepada Lembaga Pengarah Suria FM pertengahan bulan lepas. Ditanya sama ada penghijrahan beliau adalah untuk menggantikan CEO yang bersara di organisasi baru itu, Engku Emran berkata, organisasi baru itu tidak mempunyai CEO. Beliau menyifatkan penghijrahannya sebagai suatu keputusan yang amat sukar kerana Suria FM yang diketuainya hampir empat tahun bagaikan anaknya sendiri. Malah katanya, staf Suria FM adalah satu famili yang amat dihargainya. Mengenai penggantinya di Suria FM, Engku Emran berkata beliau tidak dapat mendedahkan calon-calonnya walaupun terlibat dalam proses pemilihan. "Saya serahkan keputusan ini kepada Lembaga Pengarah Suria FM," katanya yang berterima kasih kepada Lembaga Pengarah Suria FM, Kumpulan The Star Publictions dan para media yang telah membantu meletakkan Suria FM antara stesen radio utama negara kini. Engku Emran berharap Suria FM akan terus berkembang maju di bawah pucuk pimpinan yang baru.Berhubung rancangan serta pembaharuan yang bakal dibawa di organisasi baru itu, Engku Emran berkata beliau mempunyai beberapa idea tertentu."Saya tidak mahu terburu-buru untuk melakukan perkara yang baru kerana saya harus menilai syarikat itu dari semua sudut. Yang penting apa-apa keputusan yang saya akan buat nanti telah dikaji selidik dan difikirkan semasak-masaknya."