suria

Betty gigit jari, kereta lesap dalam 10 minit

Betty baru kehilangan kereta yang menjadi miliknya sejak lebih tujuh tahun lalu. -foto The Star LOW LAY PHON
Betty baru kehilangan kereta yang menjadi miliknya sejak lebih tujuh tahun lalu. -foto The Star LOW LAY PHON
Betty baru kehilangan kereta yang menjadi miliknya sejak lebih tujuh tahun lalu. -foto The Star LOW LAY PHON

PETALING JAYA: Kereta Satria GTI berwarna perak milik penyanyi dan pelakon Betty Banafe telah dicuri di sebuah hotel lima bintang di Jalan Conlay pada pukul 4 petang semalam dalam masa 10 minit.

Cerita Betty, dia menyedari kereta bernombor plat WHX 8179 itu telah lesap setelah kembali untuk mengambil pakaian berjenama oleh pereka dari Arab, alat solek dan beg tangan bagi menjayakan persembahan anjuran Malaysian Palm Oil Board (MPOB) di hotel itu pada malam tadi.

“Saya terkejut dan sedih sebab kereta itu saya guna sejak lebih tujuh tahun lalu dan hilang dalam masa 10 minit sahaja.

"Selepas saya meletakkan kereta di tingkat lima hotel itu, saya ‘check in’ bilik. Apabila saya turun semula untuk mengambil barang ‘show’, kereta saya dah tiada.

“Saya dah kunci kereta itu dan rasa mesti di hotel itu mempunyai sindiket curi kereta dan pencuri kereta itu mesti sangat profesional,” katanya ketika menghubungi mStar Online semalam.

Kata Betty, insiden itu menyebabkan kali pertama dia bekerja 'sehelai sepinggang'.

Meskipun masih berada dalam keadaan terkejut, Betty berkata dia tetap akan meneruskan persembahannya di hotel itu malam tadi.

“Saya kena profesional sebab kerja dan tabah untuk meneruskan persembahan ini. Nasib baik ada pereka Carven Ong yang mempunyai butik di hotel itu meminjamkan baju dan kasut kepada saya.

“Insya-Allah, kejadian ini mesti ada hikmahnya dan Allah akan gantikan dengan kereta lain,” beritahunya dalam nada kesal.

Sementara itu, pembantu peribadinya, Noraizi Ahmad (Gee) berkata dia telah membuat laporan polis mengenai kehilangan kereta berharga RM75,000 itu seusai persembahan itu pada pukul 10.30 malam tadi.

“Sekarang, saya sedang menguruskan persembahan Betty dan selepas selesai majlis ini baru kami akan pergi buat laporan polis.

“Tadi, pihak keselamatan hotel itu sudah melakukan penyiasatan di sekitar hotel dan selepas itu tiada tindakan yang diambil.

“Pihak hotel meminta kami untuk membuat laporan polis di luar hotel dalam tempoh 24 jam dari masa kejadian.

“Bagaimanapun, kami sudah memaklumkan kepada polis peronda dengan memberikan nombor plat dan jenis kereta untuk menjalankan operasi mencari kereta itu,” kata Gee yang turut memaklumkan tiada perkhidmatan CCTV yang disediakan di tempat letak kereta di hotel itu.

Artikel Sebelum

Yuna: Aizat saingan saya

Artikel Berikut

Artikel Lain

Pelakon Lan Zailan meninggal dunia