suria

Yuna: Aizat saingan saya

PENYANYI Yuna atau nama sebenarnya Yunalis Zarai yang menduduki lima tempat teratas dalam pertandingan Muzik-Muzik separuh akhir mengganggap Aizat sebagai saingannya.

“Aizat amat berbakat dan saya mengaguminya. Dialah saingan saya pada malam ini,” kata Yuna selepas pertandingan itu pada malam Jumaat yang lalu.

Aizat, menyanyikan lagu berjudul Kau Aku juga merupakan antara lima penyanyi yang mendapat markah yang tertinggi malam itu.

Manakala Yuna menyanyikan lagu Dan Sebenarnya hasil ciptaannya sendiri.

Tiga lagi tempat teratas diduduki oleh Alyah yang menyanyikan lagu Tak Mungkin Kerna Sayang, kumpulan Hujan yang mempersembahkan lagu Aku Scandal serta kumpulan One Nation Emcees yang menyanyikan lagu Raja Gelek.

Yuna, seorang graduan Undang-Undang dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) itu juga meluahkan rasa syukurnya kerana tidak menyangka akan terpilih menduduki lima tempat teratas.

“Saya berlatih selama tiga hari untuk menyiapkan diri. Pada mulanya memanglah saya berasa gementar kerana ini kali pertama saya membuat persembahan dalam pertandingan yang besar seperti ini,” jelas Yuna sambil tersenyum lebar.

Ditanya apakah kekuatan lagunya itu sehingga terpilih pada malam tersebut, Yuna berkata ia mungkin disebabkan susunan lagunya agak ‘simple’ dan mudah bagi orang untuk menerima lagu tersebut.

“Saya gembira kerana lagu saya ada pengikutnya sendiri,” tambah gadis yang berumur 23 tahun itu.

Sementara itu, Yuna mengakui pertandingan Muzik-Muzik yang ke-24 pada kali ini memang sengit kerana tiada pengagihan kategori.

“Konsep kategori terbuka pada kali ini memang sesuai kerana ini menggalakkan para peserta untuk membuat persembahan secara lebih kreatif lagi,” kata penyanyi yang berasal dari Alor Setar ini.

Semua penyanyi yang lagu mereka kekal dalam carta Muzik-Muzik perlu bersaing sesama sendiri. Terdapat 30 buah yang dipertandingkan dalam pertandingan Muzik-Muzik pada kali ini.

Sementara itu, penyanyi ini berkata, dia mencipta lagu tersebut ketika masih menuntut di menara gading lagi.

“Ketika itu kawan saya sedih kerana baru berpisah dengan kekasihnya. Walaupun kecewa, rakan saya itu cuba menyembunyikan perasaannya.

“Pada masa itulah saya terfikir untuk menghiburkan hatinya dengan menyanyi sambil bermain gitar. Inspirasi datang dengan sendiri di kala saya menghabiskan masa bersama rakan saya yang kecewa itu,” jelas gadis itu lagi.

Artikel Lain

Pelakon Lan Zailan meninggal dunia