suria

'Apa Yang Saya Angankan, Semua Sudah Tercapai' - Shawati

SEJAK kecil, wanita berusia 39 tahun ini memang suka memasang angan-angan yang tinggi. Namun, semua itu bukan hanya angan-angan kosong buat bekas personaliti TV3 ini yang juga sekarang ini merupakan seorang usahawan, pakar motivasi, perunding imej, pengacara dan penulis ini.

Bagi Sharifah Shawati Syed Mohd, dia bersyukur kerana angan-angan itu berjaya membawa dirinya berada di tahap sekarang - berkerjaya tinggi dan memiliki sebuah keluarga yang harmoni.

Bukan mahu mendabik dada terhadap apa yang dimiliki, namun hari ini, kata Shawati, dia sudah boleh tersenyum puas apabila mengenangkan usaha yang diletakkannya selama ini untuk menjadi seorang wanita yang berjaya di dalam apa saja yang diceburinya.

Laluan berliku yang dilaluinya dulu sudah boleh disimpan kemas di dalam dirinya setelah melihat hasil yang dikecapinya kini.

Bermula dengan salon Adamaya (gabungan nama dua orang anaknya, Adam Shafique, 11, dan Wan Maya Letisha, 8) yang dibukanya sekitar tahun 2003 setelah meninggalkan dunia penyiaran, Shawati mula meluaskan kariernya dengan pelbagai projek termasuklah dagangan, pemasaran, motivasi, seminar untuk membentuk imej mahupun penjenamaan, penulisan dan pada masa yang sama masih membabitkan diri sebagai pengacara di majlis-majlis korporat dan sebagainya.

"Bagi saya, walaupun hanya memasang angan-angan, ia tidak salah kerana ia akan mendorong kita ke arah itu dan membuatkan kita melakukan perkara itu tanpa kita sedari sebenarnya.

"Tetapi walau apapun, usaha itu amat penting. Setakat ini, saya bersyukur kerana apa yang saya angankan, semua sudah tercapai. Dan apa yang ingin saya lakukan kini ialah untuk beri semula yang termampu kepada masyarakat.

"Saya akan rasa puas bila dapat membawakan kejayaan kepada orang lain, tidak kiralah dari aspek motivasi yang saya berikan atau apa saja," kata Shawati yang juga telah menghasilkan buku Imej: Diri Anda Aset Anda dan dilancarkan pada April lalu.

Menambah pencapaian peribadinya, yang terbaru, Shawati bakal melancarkan produk yang juga menggunakan nama Adamaya sekitar Januari tahun depan. Produk edaran Adamaya Marketing Sdn Bhd ini meliputi produk penjagaan wajah, rambut, kesihatan, barangan keperluan rumah dan penjagaan kereta.

"Sudah lama saya impikan untuk hasilkan produk sendiri, malah sejak salon saya mula beroperasi dulu. Saya terfikir, apa lagi yang boleh saya buat sebagai bisnes untuk lebih menjana pendapatan.

"Bila saya mendapat idea untuk buat produk sendiri, masalah pula timbul kerana sukar untuk mencari rakan kongsi yang sesuai.

"Hanya pada penghujung tahun lepas saya bertemu dengan seseorang yang membuatkan saya yakin untuk mengambilnya sebagai rakan kongsi apatah lagi dia juga adalah seorang ahli kimia.

"Apa yang ingin saya tekankan di sini, saya sememangnya benar-benar serius dengan bisnes ini. Saya banyak membuat kajian kerana saya tahu, bisnes seperti ini memang mempunyai saingan yang kuat.

"Produk ini juga sudah disahkan oleh Kementerian Kesihatan dan kita juga akan cuba hasilkan produk-produk baru dari semasa ke semasa," kata anak kelahiran Kuala Terengganu ini.

Ujar Shawati, produk-produk tersebut mengambil masa sedikit untuk dilancarkan kerana masih belum mempunyai stokis yang mencukupi. Namun, jualan di internet sudah lama bermula.

Maklumat dan tempahan produk itu boleh dibuat dengan melayari laman web www.adamaya.com.my

Dalam pada itu, ditanya sama ada dia masih menyimpan hasrat untuk kembali aktif di dalam bidang penyiaran, sambil tersenyum Shawati berkata, 'eranya' sudah lama berlalu.

"Saya sudah melaluinya selama bertahun-tahun dan kini masanya untuk saya curahkan ilmu dan pengalaman yang saya kutip di dalam bidang itu kepada penyampai-penyampai yang baru pula.

"Buat masa ini, saya sering dijemput untuk memberikan latihan kepada penyampai-penyampai berita TV3 dan saya seronok dapat berbuat demikian.

"Tetapi baru-baru ini, saya ada juga terlibat sebagai hos untuk program Gadis Melayu, namun program itu hanya 13 episod. Malah, saya masih aktif menjadi hos di majlis-majlis tertentu," ujarnya.

Ditanya pula bagaimana dia membahagikan masa sebaik mungkin antara karier dan keluarganya apatah lagi bila melihat kepada aktiviti hariannya yang padat dengan pelbagai urusan, kata Shawati, setakat ini dia tidak berdepan dengan masalah itu.

Walau sesibuk manapun, tuturnya, dia akan memastikan dirinya meluangkan masa secukupnya bersama suami, Wan Zuukefle Wan Ibrahim, 43, dan dua permata hati mereka.

"Kebiasaannya, saya akan meluangkan masa dengan mereka pada hujung minggu. Tetapi ada juga kadang-kadang saya perlu memberi motivasi atau menjadi hos mana-mana majlis pada hujung minggu.

"Namun, suami dan anak-anak amat memahami. Adam dan Maya faham bahawa apa yang saya lakukan hari ini akan 'diwarisi' oleh mereka juga satu hari nanti. Malah, dalam usia mereka sekarang ini saya juga sudah melatih mereka untuk berfikiran jauh.

"Sehinggakan suami saya pernah menegur saya kerana dia lihat saya seperti sedang memberikan motivasi ketika berbual dengan anak-anak.

"Apapun, saya lihat Adam banyak 'mewarisi' cara saya. Malah, dia amat menjaga ketrampilan diri dan adakalanya dia pula yang mengkritik saya andai kata ada yang dilihat tidak kena pada cara pemakaian saya dan sebagainya," kata Shawati.

Artikel Sebelum

Artikel Lain