suria

'Berkorban Apa Saja' Di TV9, Singkap Kisah Artis Hidup Bersendirian

RAIKAN Aidil Adha anda bersama kami di TV9. Pelbagai rancangan menarik telah disusun khas buat penoton setia kami sepanjang sambutan Ail Adha ini dan kesemuanya mempunyai unsur-unsur pengorbanan, kasih sayang dan ikatan kekeluargaan menerusi Nasi Lemak Kopi Aidil Adha, Layar Aidil Adha dan juga animasi khusus buat adik-adik semua.

Setiap rancangan yang disediakan adalah sesuai untuk ditonton seisi keluarga dan secara tidak langsung mengeratkan silaturrahim dan ukhuwah sesamam manusia.

Rancangan istimewa yang disediakan sepanjang sambutan Aidil Adha ini bermula sehari sebelum Aidil Adha iaitu pada hari Khamis, 26 November 2009 iaitu :

DEDIKASI NASYID 26 Nov 2009, 9.30 mlm-11.00 mlm

Ia merupakan sebuah platform bagi penonton untuk mengucapkan ’Selamat Hari Raya Haji’ kepada mereka yang sedang menunaikan rukun Islam yang kelima – para Haji dan Hajah. Ia termsauklah ucapan daripada isteri kepada suami, anak-anak kepada ibu dan bapa mereka, saudara mara, sahabat handai dan tidak lupa juga kepada jiran tetangga. Malah kepada mereka juga boleh berkongsi pengalaman mereka ketika menunaikan Haji kepada penonton.

KULIAH AIDILADHA 27 Nov 2009, 6 pagi - 7.00 pagi

Kuliah Aidiladha akan menemui penonton dalam dua episod iaitu pada 19 dan 20 Disember bersama penceramah khas daripada Lembaga Tabung Haji iaitu Ustaz Mohd Hasnil Abu Bakar.

NASI LEMAK KOPI O AIDIL ADHA 27, 28 & 29 Nov 2009, 8.00 pagi-10.00 pagi

Program bual bicara selama dua jam ini akan dikendalikan oleh pengacara berpengalaman iaitu Aziz Desa, Sharifah Shahirah, Farrah Adeeba, Syarifah Nur, Abu Talib Husin dan Nurul Khusna Uma.

Antara topik-topik yang akan dibincangkan adalah berkaitan dengan sambutan dan aktiviti-aktiviti menarik yang dijalankan sempena Hari Raya Aidiladha serta membincangkan pengertian pengorbanan yang sebenar.

Turut dimuatkan adalah sambutan Aidiladha di Mekah dan berita terkini rakyat Malaysia mengerjakan Haji di sana.

CORETAN DI TANAH SUCI 26 Nov 2009, 10.00 pagi-10.30 pagi

Memaparkan kisah benar mengenai pengalaman-pengalaman mereka yang pernah menunaikan Haji di Mekah untuk dikongsi bersama penonton setia TV9.

USTAZ ZAMRI BERCERITA – ISTIMEWA AIDIL ADHA 26 Nov 2009, 10.30 pagi-11.30 pagi

Ustaz Zamri akan bercerita kepada anak-anak ditemani oleh beberapa kanak-kanak di studio tentang Nabi Ibrahim a.s. yang sanggup mengorbankan anaknya Nabi Ismail a.s. kerana cintanya kepada Islam walaupun hati baginda sayu dan sedih.

Penceritaan Ustaz Zamri ini juga akan dimuatkan dengan visual-visual serta animasi yang bersesuaian untuk menarik minat kanak-kanak.

LAYAR AIDIL ADHA Selangkah Ke Syurga 27 Nov 2009, 11.30 pagi-1.30 ptg

Pak Jalil bekerja sebagai seorang pekebun dan mempunyai dua orang anak iaitu Farhan dan Farhana. Isteri Pak Jalil telah meninggal dunia dan kini Pak Jalil menjalani kehidupan di kampung seorang diri.

Dia menyimpan niat untuk menunaikan fardhu haji dan dia telah menyimpan duit yang dikumpul bersama arwah isterinya. Farhan dan Farhana tidak setuju dengan niat Pak Jalil. Farhan memberikan alasan bahawa Pak Jalil sudah tua.

Oleh kerana merajuk dengan apa yang dikatakan oleh anaknya dia pergi ke tabung haji dan menguruskan segala-galanya sendiri. Oleh kerana masalah kewangan, Farhan meminta pertolongan daripada Pak Jalil. Walaupun berat akan tetapi Pak Jalil dengan rela hati memberikan duit simpanan ke Mekah kepada Farhan.

Pada suatu malam, Pak Jalil bermimpi berjumpa seorang lelaki berbaju putih dan memberi pesanan kepada Pak Jalil bahawa dia akan ke Mekah. Pada keesokan harinya, Pak Jalil ditemui tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia.

Pelakon : Jalil Hamid, Ijoy Azahari, Watie (Elite), Zamarul Hisham

BERKORBAN APA SAJA 27 Nov 2009, 7.00 mlm-8.00 mlm

Sebuah dokumentari yang mengisahkan tentang kehidupan artis yang kini hidup bersendirian tanpa pasangan seperti Ziela Jalil, Norish Karman dan Maizawati.

Pengorbanan yang terpaksa mereka harungi dan turut dimuatkan kisah-kisah sedih, suka dan duka mereka menempuh kehidupan harian yang hanya ditemani oleh cahaya mata mereka yang tersayang. Turut dimuatkan bagaimana mereka membahagikan masa antara karier dan juga rumahtangga. Pada masa yang sama terpaksa mengharungi segala gosip yang pastinya mengguris hati dan perasaan.

KISAH GADIS ANGKUH DAN KERAS KEPALA 28 Nov 2009, 11.30 pagi-1.30 ptg

Reya berasal dari keluarga kaya dan merupakan anak tunggal. Dia sangat dimanjakan oleh ibu bapanya. Perangainya tidak disenangai oleh orang sekeliling kerana bersikap angkuh dan sombong. Suatu hari dia terlanggar seorang pemuzik jalanan bernama Temon. Sebagai ganti rugi, Reya telah mencampakkan wang ke Temon namun Iwang, rakan Temon ingin mengembalikan wang tersebut semula tetapi tidak dilayan oleh Reya yang sombong itu.

Kelakuan Reya semakin menjadi-jadi sehingga dia sanggup mengupah orang untuk memukul pensyarahnya kerana menegur sikapnya yang semakin menjadi-jadi. Sementara di rumah, pihak polis telah menangkap bapa Reya kerana terlibat di dalam kes rasuah. segala kekayaannya telah disita. Reya dan ibunya Nindya sangat terkejut. Akhirnya mereka terpaksa menumpang menumpang di rumah pembantu rumahnya yang kecil dan buruk.

Reya berasa amat malu. Suatu ketika Nindya jatuh sakit dan Iwang telah membantunya dan menolong Reya yang sering berada di dalam keadaan mabuk akibat tertekan. Akhirnya Reya mulai insaf apabila Iwang membawanya ke rumah kebajikan dan melihat kehidupan anak-anak yang kurang bernasib baik di sana. Pelakon : Richa Novisha, Handika Pratama, Berliana Febrianti

SELUHUR NAZAR 29 Nov 2009, 11.30 pagi-1.30 ptg

Drama ini mengisahkan tentang Fatimah, seorang ibu tunggal yang bernazar untuk mengorbankan seekor lembu sempena Aidiladha. Suatu hari tanpa diduga, dia telah dirompak dan ketika bergelut untuk menyelamatkan diri, kepalanya telah dipukul oleh perompak dan dibiarkan di tepi jalan. Keadaan Fatimah yang kritikal dan koma telah mendesak anak-anaknya untuk menunaikan hajat terakhir ibu mereka. Pelakon : Elly Suriati, Syafie Naswip, Rozita Che Wan, M. Rajoli dan Zed Zaidi

WARKAH UNTUK IBU 30 Nov 2009, 9.30 mlm -11.30 mlm

Sebuah drama mengisahkan tentang seorang bapa yang cuba untuk menjadi seorang ibu setelah kematian isteri di dalam satu kemalangan berhadapan dengan dugaan dan cabaran membesarkan anak-anaknya. Sejak kematian isteri tercinta, Nordin telah tidak menyambut Hari Raya Haji hamper lima tahun. Anak-anaknya mulai memendam perasaan.

Malah Nordin sentiasa sibuk dan mengabaikan tanggungjawabnya terhadap anak-anak. Bagi Nordin, itulah pengorbanannya terhadap anak-anak supaya mereka hidup dalam penuh keselesaan. Suatu malam Nordin begitu terkejut kerana anak-anaknya tiada di rumah. Apabila masuk ke bilik mereka, Nordin sedih membaca surat yang ditulis oleh anak-anaknya.

Apabila membaca luahan anak-anaknya barulah Nordin sedar kesilapannya kerana memahami perasaan mereka dan menghargai pengorbanan yang dilakukan oleh mereka terhadap bapa tersayang mereka.

Pelakon : Rusdi Ramli, Ahmad Ezzarin Loy, Farhana Qisrina, Ridhuan Hashim

KHILAF 8 Disember 2009, 10.00 mlm-12.00 mlm

Jeffry seorang mekanik berusia lingkungan 30an, telah melarikan diri dari buruan polis, kerana dia antara suspek yang terlibat dalam kes kecurian kereta-kereta mewah. Atas bantuan Ijas, Jeffry bersembunyi di rumah yang disyorkan oleh Ijas.

Jeffri tiba pada lewat malam di kampong tersebut dan berehat di kawasan lapang berhampiran masjid. Ketukan cermin kereta oleh Wak Aji membuatkan Jeffry tersedar dari tidurnya. Wak Aji mengajaknya solat subuh tetapi Jeffri berbangsa Cina dan beragama Kristian. Wak Aji memohon maaf.

Zulaiqah muncul di masjid bersama anaknya Aishah berusia enam tahun. Jeffry jatuh hati terhadap Zulaiqah terutamnya ketika dia membaca Al-Quran. Kebaikan penduduk kampung telah membuatkan Jeffry terbuka hati untuk memeluk Islam. Hashim bekas suami Zulaiqah kurang senang dengan Jeffry terutamanya apabila mendapat tahu Jeffy telah jatuh hati kepada Zulaiqah.

Suatu hari Jeffry mendapat tahu Aisyah dimasukkan ke hospital kerana jantung dan perlukan pemindahan segera.Setelah membuat pemeriksaan, hanya jantung Jeffry sahaja yang sesuai. Jeffry berkorban memberikan jantungnya kepada Aishah.

Sebelum menjalani pembedahan, Jeffry telah memberikan diari peribadinya kepada Zulaiqah untuk dibaca. Di dalam diari itu mengandungi segala catatan tentang dirinya yang sebenar dan luahan perasaan cintanya terhadap Zulaiqah.

Setelah Zulaiqah membaca diari Jeffry, dia benar-benar terharu dengan sinar Islam dan perasaan cinta Jeffry terhadapnya. Setelah 6 jam berlalu, akhirnya pembedahan pemindahan jantung Aishah telah selamat dijalankan, namun nyawa Jeffry tidak dapat diselamatkan.

Setelah pemergian Jeffry dan melihat pengorbanan yang dibuat oleh dia, membuatkan orang-orang kampung terutama yang membencinya sebelum ini rasa menyesali segala tindakan dan tanggapan mereka pada Jeffry.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain