WALAUPUN kes penceramah bebas dan penyanyi Akhil Hayy ditahan berceramah tanpa tauliah oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah berlalu tiga tahun lalu, dia berkata sehingga sekarang kes itu bagaikan berkubur begitu sahaja."Kes saya tidak pernah disebut sehingga saya hubungi kawan-kawan. Mereka kata tidak ada apa-apa masalah dan Jais tidak tahu nak dakwa apa.. "Jadi, saya nasihatkan janganlah susahkan insan-insan seperti kami yang nak berdakwah ini. Cukup-cukuplah, pergilah ke tempat-tempat maksiat yang cukup banyak. Bila disuruh ke tempat maksiat, mereka kata tak cukup kakitangan."Sehingga sekarang saya perlu mengadap JAIS dahulu sebelum memberikan ceramah kerana sudah mengikut ‘standard’ mereka. Tapi saya hargai pihak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) kerana saya mendapat kerjasama yang baik dengan mereka."Tidak lama lagi, saya dan Astro akan bekerjasama dengan Jawi untuk melakukan sebuah program tetapi tidak boleh dimaklumkan lagi kerana masih dalam perbincangan," ujarnya ketika dihubungi.Ini kerana baru-baru ini pihak JAIS pernah mendakwa yang ‘ustaz rock’ itu pernah ditahan atas kesalahan melanggar Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor 2003 di bawah Seksyen 119 (1) kerana mengadakan ceramah tanpa tauliah di Seksyen 8, Shah Alam.Malah, JAIS juga tidak pernah mengeluarkan sebarang tauliah terhadap Akhil untuk menjalankan sebarang aktiviti ceramah atau khutbah agama di negeri itu.Isu tauliah penceramah agama hangat diperkatakan baru-baru ini apabila Bahagian Penguatkuasaan JAIS menahan bekas Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin kerana mengadakan ceramah tanpa tauliah di Taman Seri Ukay, Hulu Klang pada 1 November lalu.Justeru, Akhil sempat meluahkan harapannya agar enakmen tauliah yang dikuatkuasakan di negeri Selangor sebelum ini dibubarkan."Saya ditahan oleh JAIS dan dibawa ke balai polis untuk disoal siasat semasa hendak memberikan ceramah di sebuah surau baru di Taman Puncak Alam, Seri Kembangan. Mereka (JAIS) buat saya seperti penjenayah."Mereka dakwa saya dan belum dibuktikan saya bersalah. Belum tentu juga saya bersalah kerana itu baru dakwaan. Jadi orang buat spekulasi sedangkan orang tak tahu sebab-musabab saya ditahan."Mereka tidak tahu yang mengajar agama di Selangor perlu ada tauliah, sebaliknya lebih memfokuskan saya ditahan oleh JAIS dan polis. Jadi ia memberikan reputasi buruk kepada maklumat dan pandangan orang ramai."Jadi, kalau rasa enakmen ini perlu dibubarkan, kita bubarkanlah dan perhatikanlah orang yang betul-betul perlu ditahan. Kalau ditahan, apa hujahnya..adakah ajarannya sesat, menyeleweng akidah dan sebagainya," katanya lagi.Bekas vokalis kumpulan D’ Riyadh ini bercerita yang dia terkejut dengan penahanannya sebelum ini kerana turut serta dalam majlis itu adalah Datuk Ismail Khamus dan bekas Mufti Selangor Allahyarham Datuk Ishak Baharom."Allahyarham Datuk Ishak pun pernah dilarang untuk memberi ceramah di negeri Selangor setelah beliau tidak menjadi mufti..sama seperti bekas Mufti Perlis Dr Asri."Kalau seseorang yang dikenali itu boleh memberikan sesuatu kepada masyarakat dan diundang untuk menyampaikan ceramah di surau baru untuk menarik orang ramai, jadi saya tiada masalah untuk itu."Apabila saya tiba di sana , sudah ada dua buah van JAIS dan kereta peronda polis. Saya hanya bersalam dengan mereka dan ingatkan mereka mahu turut serta dalam ceramah itu. Rupa-rupanya, ada isu lain."Masalahnya, apabila kita pergi atas permintaan orang...bayangkan bekas mufti tak boleh beri ceramah di negeri sendiri..Saya tak tahu apa agenda sebenar JAIS."Anak-anak kecil dan ibu-ibu yang hendak mendengar ceramah dan mungkin ada anak-anak yang baru hendak mengenal pentas masjid dan surau serta berdampingan dengan ustaz yang mereka senangi...bayangkan tiba-tiba JAIS dan polis bawa penceramah ini ke balai polis. Apa moralitinya yang sebenar?"Jadi, adakah Datuk Ismail Khamus sesat, adakah Datuk Harun Din sesat, adakah Datuk Nik Aziz sesat termasuk Allahyarham Datuk Ishak Baharom sesat..," ceritanya.Akhil turut mempersoalkan di mana kewibawaan untuk menghapuskan ajaran sesat sedangkan enakmen untuk mendapatkan tauliah itu turut menghalang ‘orang yang tidak sepatutnya’ dipersoalkan tauliahnya."Negeri Selangor yang buat enakmen seperti itu. Negeri lain pun nak jaga ajaran sesat juga, tetapi tiada enakmen seperti itu. Jadi, janganlah tahan orang yang nak beri ceramah ini dalam masjid dan surau."Kalau kita nak beri ajaran sesat, kita beri ceramah di tempat gelap atau di rumah-rumah. Saya sudah 15 tahun berdakwah, nak berkongsi ilmu di tempat terang."Kononnya enakmen ini digunakan untuk mengawal penularan ajaran sesat dan diakui perkara itu perlu tetapi tidakkah ada budi bicara apabila mereka lihat tokoh agama mengajar...yang akhirnya ditahan dengan polis dan disoal siasat bagaikan penjenayah."Jangan ‘double standard’ kan perkara ini. Jangan sebab kita ada kuasa, kita hendak menghukum orang yang baru hendak mengenal orang ramai ini untuk berkongsi ilmu yang berdasarkan hadis."Orang juga hendak tahu tentang agama berdasarkan pengalaman seorang penyanyi," ujar suami bekas penyanyi dan pelakon Waheeda ini.Akhil turut mencadangkan agar tauliah agama bukan sahaja perlu dimohon oleh penceramah malah mana-mana ahli politik."Misalnya, kalau nak tauliah, minta tauliah agama kepada ahli politik sekali kerana setiap percakapan mereka dalam dewan parlimen dan di mana-mana merupakan dakwah," akhirinya.