Kemenangan besar Erma Fatima menerusi drama 'Tersasar Di Jalanmu' yang menggondol enam anugerah ASK 2009 adalah kejayaan yang sudah dijangkanya sejak awal lagi - foto THE STAR oleh SAMUEL ONGKEMENANGAN besar Erma Fatima menerusi drama 'Tersasar Di Jalanmu' yang menggondol enam anugerah termasuk Drama Terbaik, Lakon TV Terbaik dan Pengarah Terbaik Drama di Anugerah Skrin 2009 (ASK 2009) malam kelmarin adalah kejayaan yang sudah dijangkanya sejak awal lagi.Menurut Erma, walaupun dia sama sekali tidak menduga karyanya bakal menempa kemenangan besar itu, namun nalurinya berkata bahawa dia tidak akan pulang dengan tangan kosong. Dengan riak wajah yang tenang dan rendah diri, Erma mengakui sudah terdetik di hatinya dia akan membawa pulang sesuatu dari ASK 2009."Sejujurnya, saya memang sudah dapat rasa yang drama ini akan menang sesuatu malam ini (semalam)."Malah, ketika saya bertolak ke sini selepas meninjau sesi latihan teater 'Natrah' di Istana Budaya, memang sudah terdetik di hati drama ini akan menang sesuatu tapi sama sekali tidak jangka akan menang besar," ujar Erma seraya tersenyum.Menyedari hakikat, drama itu kurang nilai komersil kerana dibarisi oleh pelakon-pelakon yang bukan terdiri daripada wajah-wajah penghias majalah selain jalan cerita yang berat dan serius, Erma bagaimanapun amat terkejut dengan pemilihan karya itu sehingga menang besar."Saya akui drama ini tiada tarikan komersil kerana hanya dibarisi oleh pelakon tidak ternama dan tiada wajah yang cantik tapi kekuatannya terletak pada nilai kemanusiaan, kekeluargaan dan paparan kasih sayang yang ditonjolkan."Melihatkan persaingan drama-drama yang berentap, saya tidak menduga drama saya akan diangkat sebagai karya terbaik. Apa pun, saya amat bersyukur dengan rezeki ini."Mungkin kemenangan ini disebabkan oleh kekuatan jalan cerita itu sendiri," jelas Erma yang menghasilkan drama itu sempena dengan kempen masalah sosial remaja untuk yayasannya.Ketika diaju soalan apakah erti kemenangan 'Tersasar Di Jalanmu' kepada dirinya, isteri kepada pengarah Bade Hj Azmi ini berkata kejayaan drama itu sangat istimewa buat dirinya.Malah, Erma turut mendedikasikan kemenangan itu kepada komuniti yang tinggal di Lorong Haji Taib."Kemenangan ini bukan sahaja istimewa buat saya dan seluruh produksi drama. Malah, lebih istimewa, saya dedikasikan kejayaan ini khas buat komuniti di Lorong Haji Taib."Kerjasama dan komitmen yang mereka berikan sepanjang pembikinan drama ini amat saya hargai. Maka, kemenangan ini adalah untuk mereka," ungkap Erma yang mendapat inspirasi untuk menghasilkan 'Tersasar Di Jalanmu' selepas melihat sendiri situasi sebenar dan keadaan penghidupan komuniti di Lorong Haji Taib.Menurut Erma lagi, drama 'Tersasar Di Jalanmu' yang berkisar kepada permasalahan sosial yang bermaharajalela di kawasan Lorong Haji Taib, Kuala Lumpur itu diangkat atas dasar tanggungjawab sosialnya sebagai penggiat seni untuk memberikan mesej dan gambaran sebenar mengenai masalah itu buat anak bangsa terutamanya Melayu."Saya buat drama ini istimewa untuk orang Melayu. Sesungguhnya masalah sosial yang berlaku di Lorong Haji Taib bukan sesuatu yang asing dan baru buat kita. Namun, sehingga hari ini keadaan itu masih terus berlaku."Memang saya akui, tiada apa sangat yang mampu saya ubah terhadap keadaan kehidupan mereka di sana melalui penghasilan naskhkah ini, tapi sekurang-kurangnya saya ingin memaparkan realiti kehidupan itu secara visual."Pemilihan Lorong Haji Taib hanya sebagai platform untuk saya menvisualkan masalah sosial yang melanda terutamanya kepada golongan remaja. Semoga ada pihak yang akan mendapat iktibar dan manfaat daripada paparan ini," kata Erma mengakhiri perbualan.