PEMBABITANNYA dalam bidang lakonan baru setahun jagung. Malah kemunculan sulungnya di layar perak menerusi filem Jalang baru-baru ini juga mendapat kritikan yang kurang memberangsangkan daripada banyak pihak.Namun, tatkala 'dihujani' dengan kritikan seperti itu, pelakon dan model jelita ini nampaknya tetap memberanikan diri untuk melangkah setapak lagi di dalam bidang ini dan kali ini, dia bergelar penerbit filem pula. Melihat kepada dirinya yang belum cukup berpengalaman di dalam bidang perfileman, pasti ramai yang akan bersikap skeptikal dengan kemampuan dirinya sebagai penerbit. Tetapi, Yasmin Khanif enggan tenggelam dengan kata-kata negatif orang tentang 'kelayakan' dirinya itu.Ujar gadis berusia 21 tahun ini, dia mempunyai misi tertentu di dalam bidang seni ini dan tidak hanya ingin bergelar pelakon selama-lamanya.Lantas, hasrat untuk menubuhkan Yasmin Khanif Production (YKP) dan menerbitkan filem sulungnya, Cempaka, dirasakan satu keputusan yang tepat pada masa ini walaupun sedar ada yang memandang sinis tindakannya itu.Tidak ditaja oleh mana-mana VIP, tetapi tegas Yasmin, YKP ditubuhkan baru-baru ini dengan hasil titik peluhnya sendiri sejak bergelar model iklan bermula usia 14 tahun."Saya sudah berlakon iklan sejak kira-kira tujuh tahun lalu dan melalui hasil simpanan sendiri, saya dapat menubuhkan YKP. Lagipun, ketika itu saya masih bersekolah dan ibubapa masih tanggung hidup saya, jadi memang wang yang saya dapat tidak banyak saya gunakan."Projek pertama YKP adalah filem Cempaka yang akan diarahkan oleh pelakon senior, Hairi Othman. Saya sedar, ramai yang mungkin akan persoalkan kemampuan saya sebagai produser, apatah lagi saya masih mentah dalam bidang ini."Idea ini sebenarnya datang secara kebetulan ketika saya terbabit dengan filem Jalang. Saya berbual dengan orang-orang produksi filem itu termasuklah pemilik De'Baron Production, Tuan Haji Manaf tentang penerbitan filem."Saya bertambah yakin untuk menerbitkan filem kerana mendapat kerjasama daripada tiga pihak..Datuk Ismadi, kenalan saya yang juga merupakan seorang ahli perniagaan telah menjadi pembiaya filem ini, serta kerjasama dengan De Baron Production dan produksi milik Dr. Rozmey, Dr Movie Production yang juga merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Herba Prima Marketing."Jadi, dengan bantuan pihak-pihak ini, saya berani untuk terbitkan filem sulung saya ini. Saya sedar, bukan mudah untuk menjadi penerbit filem, tetapi insya-allah, dengan kepercayaan banyak pihak termasuklah sokongan ahli keluarga, saya akan lakukan yang terbaik," kata Yasmin ketika ditemui pada majlis pelancaran filem tersebut di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), semalam.Filem suspense-thriller yang menelan belanja kira-kira RM3.5 juta ini akan memulakan penggambaran di sekitar Kuala Lumpur dan Sik, Kedah awal bulan depan. Skripnya dihasilkan oleh Imran IsmailIa akan dibintangi sendiri oleh Yasmin membawakan watak Cempaka, Hairi Othman, Aaron Aziz, Iqbal Juara Pilih Kasih, Faizal Hussein, Suhaila Salam dan Azhar Sulaiman.Secara ringkasnya, filem ini mengisahkan tentang perjalanan mayat bernama Hassan sebelum dikebumikan yang mana jenazahnya menempuh pelbagai halangan ketika diuruskan. Pada masa yang sama, ia juga memaparkan tentang kehidupan sosial Cempaka yang bergelumang dengan dosa.Mengulas lanjut tentang filem ini, kata Yasmin, seperti mana wataknya sebagai perempuan 'jalang' di dalam filem pertamanya dulu, Cempaka juga membawa cabaran tersendiri kerana watak itu juga agak 'daring'."Saya memang sukakan cabaran dalam membawakan watak. Walaupun banyak pihak mengkritik lakonan sulung saya di dalam filem Jalang dulu, tetapi saya akan cuba pertingkatkan mutu lakonan saya kali ini."Sebenarnya, saya bersyukur juga kerana selepas muncul di dalam Jalang, saya menerima banyak tawaran membintangi drama. Tetapi ketika itu saya terpaksa menolak tawaran-tawaran tersebut kerana saya perlu menjayakan aktiviti promosi filem itu," katanya.Ditanya perancangan lain yang akan dibuat bersama produksi miliknya itu, ujar Yasmin, buat masa ini, dia hanya ingin memberikan tumpuan terhadap penerbitan filem Cempaka sebelum merancang projek lain."Saya ingin lihat dulu feedback penonton nanti. Kalau mendapat sambutan baik, mungkin saya akan terbitkan lagi filem lain bersama-sama dua produksi yang menjalinkan kerjasama dengan saya ini. Tetapi untuk agenda YKP sendiri, saya ada terfikir untuk menerbitkan drama juga."Tetapi rasanya, masih terlalu awal untuk merancang. Produksi saya juga baru saja beberapa hari ditubuhkan dengan rasminya," kata Yasmin.