SEBUAH akhbar mingguan hujung minggu lalu melaporkan yang Zizie Izette Abdul Samad seorang yang suka berterus-terang sebelum ini. Cuma sekarang tidak lagi apabila dikaitkan dengan gosip pernikahannya dengan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin.Kata Zizie dalam laporan yang sama: “Tanyalah Datuk jika mahu kepastian.” Pada muka depan akhbar Inggeris pula, Bung Moktar mengakui yang mereka sudah berkahwin tetapi minta orang ramai supaya menghormati privasi.Itu Ahad, 20 Disember 2009. Bagaimanapun lebih kurang seminggu itu, pelbagai cerita dan spekulasi muncul mengenai pernikahan mereka apabila masing-masing mengunci mulut. Kalau ada pun, kenyataan yang sinis dan sipi tetapi tetap berbaur bahan untuk dibuat spekulasi.Tiga hari (17 Disember) sebelum itu, beberapa akhbar utama melaporkan Bung Moktar seperti merendah diri."Saya tidak cukup handsome untuk dia,” jawapan ringkas Ahli Parlimen Kinabatangan itu, sekali gus menafikan beliau sudah menikahi Zizie seperti yang diperkatakan ramai.Bagaimanapun keesokannya, media melaporkan lagi berita susulan tentang pernikahan yang cuba disorok ini seperti di dalam Berita Harian yang menggunakan tajuk 'Rakan sahkan nikah pelakon, Bung Moktar tak mengaku.'Rakan karibnya, Datuk Mohamad Aziz yang juga Ahli Parlimen Sri Gading, mengesahkan pernikahan mereka."Dah selamat... saya doakan beliau bahagia. Saya sempat berpesan kepada Bung Moktar jangan berahsia lagi... biar semua kawan tahu kerana ucapan tahniah adalah doa," katanya.Biarpun baik Bung Moktar atau Zizie masih merahsiakan tarikh perkahwinan dan lokasi, spekulasi terus tersebar yang mereka diijabkabulkan pada 16 atau 17 Disember lalu berdasarkan Zizie yang mengambil cuti dua hari berkenaan daripada penggambaran siri Suraya.Artikel kali ini bunyinya macam menganalisis laporan akhbar tetapi tiada hasrat ke arah itu kerana sebelum melanjutkan kata-kata berikutnya, Aditya rasa lebih elok ada sedikit pembuka yang lebih jelas untuk pengikut ruangan ini lebih memahami apa yang cuba diperkatakan di sini.Tiada sedikitpun ingin membantah atau berkecil hati tetapi gelagat selebriti kita masih sama biarpun suami lain-lain. Banyak sangat yang perlu dirahsiakan daripada pengetahuan ramai.Itu hak mereka tetapi sebagai selebriti, tahu-tahu sajalah, lagi disimpan atau rahsia, selagi itulah spekulasi timbul. Lebih-lebih lagi melibatkan orang kenamaan dan ternama seperti Bung Moktar dan Zizie.Mereka dikatakan cuba merahsiakan pembinaan masjid itu atas dasar untuk menjaga hati pihak tertentu seperti kata Bung Moktar sebelum ini: “Ini bukan masa terbaik untuk saya membuat komen. Saya perlu melindungi hati banyak pihak dan saya tidak mahu melukai hati sesiapa."Kata-kata itu juga membangkitkan spekulasi kononnya 'hati yang perlu dijaga' itu adalah isteri pertamanya.Dalam menulis perihal ini, Aditya tersenyum dengan satu lagi kenyataan, kali ini daripada ibu Zizie, Khaty Fauziah dalam Harian Metro bertarikh 17 Disember 2009 yang tetap merestui jika memang sudah ditakdirkan Bung Moktar menjadi pasangan hidup anaknya itu."Zizie sudah mula bercinta sejak usia 14 tahun dan dia juga sudah berjumpa dengan ramai lelaki tapi nampaknya dia masih belum bertemu jodoh."Justeru, sebagai ibu saya terima jika ditakdirkan Tuhan, Zizie berkahwin dengan suami orang atau menjadi isteri kedua kerana siapalah kita untuk menolak ketentuan Tuhan," katanya.Bagaimanapun, dia menafikan anak gadisnya itu sudah dilamar ahli parlimen berkenaan."Sebenarnya tidak ada ura-urapun pihak Datuk Bung ingin melamar Zizie lagi. Saya juga tidak tahu dari mana pihak media mendapat cerita Zizie dilamar. Saya juga malu untuk bertanya kepada Datuk Bung sendiri bagaimana pihak media mendapat cerita berkenaan."Saya cuma tahu mereka baru saja berkawan dan Zizie juga belum memberitahu saya jika dia ada perancangan untuk berkahwin dengan Datuk Bung."Sebenarnya bukan Zizie saja yang kenal Datuk Bung, saya juga sudah mengenalinya sejak dulu. Tapi saya tidak tahu pula jika Zizie dan Datuk Bung ada perancangan untuk berkahwin," katanya.Kata Khaty, dia juga tidak tahu-menahu bilakah pihak Datuk Bung akan menghantar rombongan meminang Zizie.Ini antara yang keluar daripada mulut Khaty yang juga seorang pelakon. Aditya tersenyum sendirian selepas kenyataan bertarikh 17 Disember itu berlainan benar dengan apa yang dinyatakan pada pembuka artikel ini, yakni pengakuan Bung Moktar terhadap pengesahan pernikahannya dengan gadis berusia 31 tahun itu.Pelakon memang kena pandai berlakon, baik di dalam layar mahupun di luar. Mudah untuk menjiwai watak apa saja dan di mana jua berada. Tahniah!Apa-apapun alasan, kalau sudah jodoh, ia tetap bersatu juga. Cuma dalam hal ini, berterus-terang adalah lebih baik daripada terus mencipta pembohongan demi pembohongan. Bukan menuduh tetapi daripada apa yang diteliti sepanjang minggu lalu, itu yang tersimpul. Berdolak-dalih menyembunyikan kebenaran atas alasan menjaga hati pihak lain.Artis kita masih sama, tiada bezanya dulu dan sekarang. Baik muda mahupun yang sudah beruban. Tidak perlu kita menyatakan hukum kerana semuanya sudah besar untuk menilai.Usah salahkan orang media untuk mengorek cerita kerana itu kerja mereka terutama yang melibatkan manusia dari kalangan public figure.Pembaca boleh nilai sendiri dan sebagai penulis, Aditya tidak mempunyai kuasa untuk menyatakan salah atau tidak. Sebaliknya perkembangan ini mampu kita jadikan contoh terbaik untuk kita terus menapis lumpur untuk mendapatkan permata.Contoh juga boleh kita fokuskan kepada kontroversi perkahwinan rahsia Faizal Ramli, juara Akademi Fantasia 4. Faizal berkahwin senyap-senyap dengan seorang pelakon pembantu yang sama-sama berlakon dalam filem Momok The Movie.Memang mengejutkan kerana tiada perkhabaran gosip yang membawa angin yang jelas tentang perkembangan pemuda kelahiran Terengganu itu. Bagaimanapun penyorokan itu terbongkar dan Faizal mengakui sudah berjabat tangan dengan tok kadi sejak Februari lalu.Turut dinyatakan yang keluarganya sudah merestui perkahwinan itu. Bagaimanapun baru-baru ini, keluarganya pula tampil di media menyatakan yang mereka hanya mengetahui 'berita bahagia' itu Oktober lalu, yakni kira-kira lapan bulan selepas diijabkabulkan.Walaupun keluarganya gembira dengan perkembangan itu tetapi yang jelas di sini ada dua kenyataan berbeza.Aditya malas nak lebih-lebihkan tetapi Faizal juga sudah rasmi menjadi artis yang suka membuatkan masyarakat berteka-teki dan membuat spekulasi. Mungkin inilah dunia artis yang semakin membuatkan Aditya faham dengan dunia mereka.Tidak pasti, apakah dengan berbohong itu jalan paling selamat untuk melindungi sesuatu? Cuma Aditya seorang yang tidak boleh menerima pembohongan kerana sejak dulu lagi suka berterus terang dan mungkin kerana itu juga, dua kes yang dijadikan iktibar tersebut membuatkan Aditya tersentuh.Artis sebegini memungkinkan membuatkan masyarakat memandang semakin sempit. Nampaknya Aditya tidak boleh jadi artis kerana terlalu telus dan lut sinar!