suria

Aaron Aziz Jadi Ustaz Untuk Insafkan Diri

TAMPAN dan berbakat besar, sudah cukup membuatkan nama Aaron Aziz begitu 'kukuh' di dalam industri seni tanahair ketika ini.

Meskipun aktor yang berasal dari Singapura ini pada awalnya hanya ingin mencuba nasib sebagai anak seni di Malaysia, namun percaturan Aaron nampaknya membuahkan hasil lumayan. Pelakon berusia 33 tahun ini nampaknya terus laku menjadi sambaran produser-produser filem dan drama.

Biarlah apa saja tanggapan sesetengah pihak yang merasakan Aaron 'lupa diri' apabila namanya lebih gah di negara ini berbanding negara sendiri, sekurang-kurangnya bapa kepada dua orang cahaya mata ini telah membuktikan kemampuan dirinya sebagai pelakon.

Watak-watak seperti gangster, komedi, jejaka romantis dan lelaki ego, semuanya pernah dibawakan oleh Aaron. Tidak dinafikan, pelakon yang merupakan wajah eksklusif Astro ini berjaya mencorakkan apa saja watak yang diberikan kepadanya dengan cukup berkesan.

Inginkan lebih banyak kelainan atau kepelbagaian di dalam watak-watak yang dibawanya, Aaron sanggup memikul cabaran untuk memainkan peranan sebagai seorang ustaz di dalam filem terbitan Yasmin Khanif Production dengan kerjasama De Baron Production dan Dr Movie Production berjudul Cempaka.

Kata Aaron, ini merupakan kali pertama dia cuba membawakan watak 'alim' seperti itu.

"Ketika pertama kali saya ditawarkan watak ini, isteri saya, Diyana bertanyakan pada penulis skirp filem itu, Imran Ismail sama ada saya sesuai atau tidak memegang watak ustaz.

"Tetapi Imran menegaskan, sekarang ini memang sudah ramai pelakon yang membawakan watak 'ustaz muda', jadi tidak timbul isu sesuai atau tidak.

"Cuma sekarang ini, terserah kepada saya untuk mencorakkan watak itu nanti. Tetapi saya memang teruja untuk membawa watak ini, memang jauh berbeza dengan apa yang pernah saya lakonkan sebelum ini.

"Tambahan pula jalan cerita ini memang mempunyai mesej tersendiri. Sekaligus, watak tersebut juga mampu membawa keinsafan untuk diri saya sendiri," kata Aaron yang merupakan duta untuk produk L'oreal Men dan Celcom ini.

Filem suspense-thriller yang menelan belanja kira-kira RM3.5 juta ini akan memulakan penggambaran di sekitar Kuala Lumpur dan Sik, Kedah awal bulan depan. Skripnya dihasilkan oleh Imran Ismail manakala pengarahnya pula ialah pelakon Hairi Othman.

Selain Aaron, filem ini akan dibintangi sendiri oleh pemilik Yasmin Khanif Production iaitu Yasmin sendiri, membawakan watak Cempaka, Hairi Othman, Iqbal Juara Pilih Kasih, Faizal Hussein, Suhaila Salam dan Azhar Sulaiman.

Secara ringkasnya, filem ini mengisahkan tentang perjalanan mayat bernama Hassan sebelum dikebumikan yang mana jenazahnya menempuh pelbagai halangan ketika diuruskan. Pada masa yang sama, ia juga memaparkan tentang kehidupan sosial Cempaka yang bergelumang dengan dosa.

Bagi menjiwai watak tersebut, ujar Aaron, memang dia perlu melakukan kajian yang lebih, terutamanya daripada segi sebutan ayat-ayat Al-Quran.

"Kalau berdasarkan skrip, watak ini tidaklah banyak sangat cabarannya. Tetapi apa yang perlu saya telitikan ialah dari segi sebutan ayat Al-Quran kerana watak ini memerlukan saya mengaji.

"Sebagai orang Islam, memang saya tidak ada masalah tentang mengaji, tetapi saya kena lebih berhati-hati dari segi sebutan...kena baca dengan betul," katanya yang bakal menimang cahaya mata ketiga tidak lama lagi.

Dalam perkembangan lain, pelakon yang pernah membintangi filem Bohsia, Evolusi KL Drift dan Pisau Cukur ini berkata, dia baru saja selesai menjalani penggambaran filem Datin Ghairah bersama pelakon Maria Farida dan sebuah drama bersiri, Tangkal Besi yang bakal disiarkan di Astro Citra.

Filem Datin Ghairah arahan Sabree Fadzil itu dijangka akan ditayangkan tahun depan. Dalam filem tersebut, Aaron membawakan watak sebagai seorang anggota polis yang menyamar sebagai cikgu.

Filem ini berkisarkan tentang seorang datin bernama Gairiah lakonan Maria Farida yang mewarisi harta yang banyak setelah kematian suaminya. Kehidupannya yang kaya-raya membuatkan ramai lelaki ingin mendekatinya.

Datin Gairiah bagaimanapun jatuh hati dengan guru tusyen anaknya lakonan Aaron Aziz.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain