SELEPAS program Sehati Berdansa, pemenang tempat kelima Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7), Ismaliza Ismail, 30 atau lebih mesra dipanggil Isma kini kembali menumpukan semula perhatiannya dalam bidang seni.Terbaru, Isma kini mula berjinak-jinak dalam bidang lakonan. Tawaran yang dibuat oleh Skop Production Sdn Bhd untuk terlibat dalam drama ‘Gerak Khas’ memberi pendedahan kepadanya dalam bidang lakonan. Walaupun hanya sebagai pelakon undangan untuk salah sebuah episod drama itu yang bakal disiarkan pada Februari depan, Isma menganggap peluang tersebut sebagai satu proses pembelajaran."Saya cuba bidang lakonan ini, mula-mula memang kekok dan malu ditambah berlakon dengan mereka yang memang sudah biasa berlakon saya rasa susah nak buat tapi semakin lama saya mula seronok."Sebelum ini saya pernah berlakon untuk drama ‘Rumah Terbuka Akademi Fantasia’ pada hari raya lalu tapi ketika itu bersama-sama dengan pelajar AF7 yang lain."Berlakon juga salah satu minat saya dari kecil selain bidang nyanyian, dan jika ditakdirkan saya ke bidang lakonan saya terima," ujar Isma yang mengakui jatuh cinta dalam bidang lakonan.Bagaimanapun, keutamaan tetap diberikan kepada bidang nyanyian. Lagu duet bersama suaminya bertajuk ‘Andai Bisa’ sudahpun diputarkan di corong-corong radio.Hasrat ibu kepada lima orang anak untuk mempunyai album bersama suami tercinta, Zulkifli Majid atau Zul masih diperingkat perancangan."Impian saya hendak ada album bersama abang Zul dan kalau boleh mahu nyanyikan semula lagu-lagu Melayu lama. Saya peminat lagu lama seperti Laksamana Raja Di Laut."Lagi pula dulu saya penyanyi lagu-lagu asli, tapi sebelum itu kita tengok dulu penerimaan orang ramai terhadap lagu duet ‘Andai Bisa’ jika positif baru kami teruskan rancangan itu," ujar Isma.Ketika ditanya tentang kehidupannya sejak bergelar artis, Isma berkata tiada apa yang berubah malah hubungan dia bersama suami dan anak-anak semakin rapat.Jika dahulu Isma sering ditemani oleh suaminya ke mana-mana majlis namun kebelakangan ini tidak lagi, kata Isma suaminya kini hanya memantau pergerakannya dari jauh sahaja."Dia pun ada kerjaya sendiri, sudah beberapa bulan dia lepaskan saya sendiri dan pantau dari jauh sahaja."Saya sangat bersyukur mendapat suami yang memahami dan membantu saya dalam urusan kerjaya."Apa yang penting saya tidak akan sia-siakan kepercayaan yang abang Zul beri kepada saya," ujar Isma yang turut memuatkan single terbarunya ‘Berbicara’ dalam album Era Muzik Hits Terkini.Mengulas tentang kes penceraian artis yang banyak berlaku, Isma berharap perkara buruk itu tidak terjadi dalam rumah tangganya yang telah dibina hampir 12 tahun itu.Katanya, jalan penyelesaian terbaik ialah sentiasa saling faham memahami antara satu sama lain dan jauhkan dari berprasangkan buruk."Jika ada masalah kebiasaannya kami selesaikan secapat mungkin, jangan bawa masalah berlarutan sehingga menimbulkan masalah lain pula."Saya sangat sayangkan keluarga saya, sesibuk manapun saya perlu utamakan keluarga terlebih dahulu," ujarnya mengakhiri perbualan.