SEMESTINYA cinta baru yang datang membuat penyanyi terkenal Nash Lefthanded terkedu kerana tidak sangka dianugerahkan cinta sehebat ini.Kisah cinta Nash dengan Betty Banafe yang baru hendak berputik dan sedang menuju ke tahap selesa adalah sesuatu yang tidak dijangka oleh ramai rakan artis. "Setelah berita itu tersebar luas, memang ramai yang menelefon saya. Ada yang mengucapkan tahniah dan mendoakan kesejahteraan saya," kata duda anak empat ini.Bagi Nash, cerita cintanya bersama Betty adalah titik baru yang indah dan cukup dihargainya."Saya sedar saya lebih berusia dari Betty dan tentu sekali saya yang lebih matang. Cinta orang tua macam saya memang amat berbeza sekali."Bagi saya tidak perlu ada perasaan cemburu lagi. Kita berdua sudah matang dalam soal hidup. Saya percaya kelonggaran yang diberikan pada Betty tidak akan disalahgunakan kerana dia seorang wanita yang cantik, bijak dan pandai mengawal diri."Tetapi yang paling penting, saya yakin jodoh itu adalah ketentuan tuhan. Tidak perlu ada kongkongan dalam perhubungan kami. Walau pun dia muda dan jelita, dia boleh pergi mana-mana, saya tak perlu mengongkong dia...," kata penyanyi yang terkenal dengan lagu 'Pada Syurga Di Wajahmu'.Bagi ayah penyayang ini, cinta juga tidak perlu dilafazkan dengan sewenang-wenangnya."Cukuplah sekadar saya tahu dan dia tahu. Saya selalu ingatkan Betty supaya taat pada tuhan, setia pada yang dikasihi."Walaupun dia ingin keluar dengan orang lain, itu bukan satu isu. Perhubungan antara kami bukan satu ikatan yang boleh membuat saya mengongkong Betty. Kalau pun selepas ini, Betty temui lelaki yang lebih baik pun, saya tetap akan restui walaupun....," kata Nash seperti dalam nada beralah.Memang sukar untuk menyelami hati seorang lelaki yang telah gagal berumahtangga sebanyak dua kali ini.Nash sendiri seperti tidak mahu membayangkan apa kesudahan hubungan mesranya dengan Betty."Saya akan pergi umrah dalam masa terdekat dan akan mendoakan yang terbaik untuk kami sekeluarga," kata Nash yang kini giat dalam dunia perniagaan.Sambungnya lagi,"Saya pasti setelah kisah kami berdua tersebar, ia banyak menyukarkan kehidupan seharian Betty yang mempunyai ramai peminat. Saya minta maaf seandai semua ini menganggu rutin hidup Betty."Tapi saya amat terharu dengan doa peminat-peminat yang datang bertalu-talu. Baru lah saya tahu masih ramai yang inginkan saya bahagia," kata Nash.Jelas sekali, Nash amat bersyukur dengan cinta baru yang ditemuinya lewat bibit-bibit perjuangan di Persatuan Karyawan itu."Terima kasih di atas segala doa untuk kesejahteraan kami berdoa. Tapi saya juga sedar kita tidak boleh lari dari takdir dan ketentuan."Kasih saya terhadap Betty tulus. Saya juga tidak ada masalah dan halangan untuk terus menyayangi Betty, walaupun sebagai adik, sahabat, kekasih mahu pun pasangan yang akrab selagi hayat kami ada," kata Nash bagai menutup erat kisah manisnya bersama buah hati baru yang bernama Betty Banafe itu.