Penyanyi rap dan komposer terkenal, Wyclef Jean bimbang dengan kejadian gempa bumi yang melanda negara kelahirannya, Haiti. - Foto AP PENYANYI rap yang juga bekas ahli kumpulan Fugees, Wyclef Jean menyeru rakan-rakan dan para peminatnya agar mendoakan keselamatan kaum keluarganya yang masih berada di bumi kelahirannya, Haiti, ekoran kejadian gempa bumi yang melanda kepulauan Carribean itu, Selasa lalu.Penyanyi dan komposer terkenal itu, sinonim dengan penglibatan aktifnya dalam pengumpulan dana kebajikan untuk tanah airnya itu menulis kenyataan itu di akaun Twitternya selepas berita malapetaka itu mula tersebar di serata Amerika pada tengah hari kelmarin. "Haiti telah dilanda gempa bumi yang dahsyat. Sila hubungi kaum keluarga anda di sana," demikian menurut kemaskini Twitternya.Jean kemudiannya, mengemaskini semula laman itu kurang daripada sejam dengan menulis, "Haiti baru sahaja dilanda gempa bumi pada 5.9 skala Richter, wahai sahabat dan manusia sejagat, berdoalah untuk kesejahteraan bumi itu."Jean turut memohon sumbangan kewangan daripada orang ramai untuk disalurkan kepada badan kebajikannya, Yale Haiti agar dapat membantu mangsa-mangsa terlibat.