suria

Aditya: Warna Kelam Terus Menyelubungi

ENTAH apalah nasib industri hiburan kita. Lebih ramai yang mencari bala daripada pahala biarpun di atas pasport yang diberikan dengan berlandaskan alasan ingin membantu ahli. Tetapi sebenarnya apa?

Sejauh mana profesionalnya manusia yang bertiketkan karyawan seni dalam menerajui seni dan perjuangan mereka? Bijakkah orang kita yang rata-rata anak Melayu mengepalai deretan persatuan yang kononnya untuk memperjuangkan kepentingan ahli?

Ada pemimpin yang tegar dan berkobar untuk mempertahankan jawatannya selepas dua tiga penggal mentadbir persatuan, kononnya banyak lagi yang mahu diperjuangkan belum selesai. Tetapi apabila diumumkan kalah, cepat-cepat angkat punggung, cabut lari meninggalkan dewan mesyuwarah.

Lebih malang lagi atau dalam erti kata kasarnya, lebih mengaibkan industri khususnya bagi mereka yang berpersatuan, wujudnya pemimpin yang cuba mempertahankan kedudukan mereka dengan memanggil seramai mungkin pengundi walaupun pengundi hantu itu bukan daripada kalangan ahli tulen persatuan. Persatuan pegang boom mestilah daripada mereka yang kerjanya pegang boom, bukan yang tukang solek muka orang.

Sanggup menggadai maruah diri demi sebuah kedudukan. Pemerhati seperti Aditya sering nak muntah dengan ‘kemurnian’ mereka berusaha membela nasib ahli dengan cara begini. Banyak kali juga Aditya mengangkat isu persatuan hiburan di Malaysia di dalam kolum ini dengan pelbagai warna perilaku ahli dan pemimpinnya.

Hati sering tertanya, tidakkah barisan baru yang memimpin sesebuah persatuan hasil daripada undian pengundi hantu itu merasakan ia sebenarnya suatu penipuan untuk diri sendiri? Menang bukan pilihan ahli tulen tetapi diperbanyakkan jumlah undi daripada ahli yang tidak relevan.

Barangkali Aditya silap, mereka sebenarnya tidak kisah dengan keaiban itu atau apa itu maruah kerana yang lebih penting kedudukan.

Bagaimanapun inilah wajah industri kita yang tidak pernah berubah daripada warna kelam ini. Di manakah bersatunya anak seni kita kalau begini keadaannya?

Mereka yang tewas dalam pemilihan pula, dengarnya mahu menubuhkan sebuah lagi persatuan yang diahlikan oleh pekerja yang sama. Perlukah hanya kerana gagal dalam pemilihan itu?

Juga boleh kita lihat usaha sebuah lagi persatuan yang begitu agresif memperjuangkan nasib ahlinya yang caca-marba bidang seninya, yang baru-baru ini mengajak wakil media bertemu pihak kementerian untuk mengadu nasib penyanyi yang didakwa tertipu oleh persatuan pengutip royalti.

Isu Karyawan dan Prism tidak pernah tamat. Sejak dulu lagi, Karyawan cuba untuk mendapatkan hak mengutip royalti bagi penyanyi dan pemuzik juga yang merakamkan suara dan permainan mereka dalam rakaman bunyi sejak kerajaan meminda Akta Hak Cipta pada tahun 2000.

Pindaan ini dilakukan atas keprihatinan pihak kerajaan terhadap anak seni tanah air selepas pindaan 1987 yang memberi hak kepada komposer, penulis lirik dan publisher melalui badan MACP dan wakil syarikat rakaman pula oleh PPM.

Bagaimanapun apabila penyanyi seperti Mawi dan Dayang Nurfaizah cuma mendapat royalti tak sampai RM500 untuk selama kerja empat tahun, Presiden Karyawan bagaikan naik hantu. Secara logiknya Mawi yang dikenali sebagai penyanyi paling popular, ke sana sini membuat persembahan, cuma sebanyak itu saja royaltinya.

Prism pula cuba mempertahankan apa yang didakwa termasuk dakwaan Karyawan yang Pengurus Besar Prism salah guna kuasa dan wang. Dakwaan itu melibatkan kononnya pemimpin Prism itu menggunakan wang persatuan untuk makan angin di luar negara.

Bagaimanapun semua dakwaan, sama ada sahih atau sebaliknya belum terbukti. Masing-masing sudah memberi kenyataan kepada media untuk masyarakat tahu duduk perkara sebenar walaupun sehingga kini masih kelam dalam kekaburan.

Karyawan mahu membawa kes ini ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya Prism disiasat. Dan wakil Prism sudah menyatakan pendirian mereka dan berani berdepan dengan siasatan SPRM.

Ada benarnya juga usaha Karyawan itu tetapi dari sisi peribadi Aditya yang satu lagi, kurang bersetuju dengan Karyawan yang nampaknya seperti suka mencari salah orang.

Bukan menentang tetapi sudah beberapa kali situasi ini berlaku sehingga ada kolumnis yang menyifatkan persatuan ini menggunakan pendekatan bermusuh dalam usaha ‘mencari penyelesaian.’

Karyawan dilihat sebagai terlalu menjaga tepi kain orang. Bukankah lebih elok kalau Karyawan teruskan usaha mulia mereka memperjuangkan nasib ahli daripada menyibuk di gelanggang orang lain? Memang apa yang dibangkitkan Karyawan tentang royalti ciput itu suatu yang murni tetapi biarlah pihak berwajib menyelianya dengan cara mereka.

Sekadar melapor cukuplah, usah sampai nampak bergaduh kerana bimbang nanti, ramai yang memandang serong kepada Karyawan walaupun niatnya putih.

Banyak lagi perjuangan Karyawan yang patut diberi tumpuan seperti mencari duit untuk skim pencen kepada artis veteran yang dibangga-banggakan sangat selama ini.

Namun inilah wajah kita. Seperti yang Aditya katakan sebelum ini, warna kelam begini tidak akan menampakkan perubahan yang mampu menjelaskan kekelaman, malah mungkin lebih hitam awannya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain