suria

Zila Bakarin: Saya Seperti Artis ‘Tenggelam Timbul'

SEPANJANG menceburi dunia lakonan ini, aktres seksi Zila Bakarin sering ditawarkan watak antagonis.

Malah, dia bagaikan sudah tiada pilihan untuk menolak setelah diberikan kepercayaan untuk melakonkan watak perempuan jahat oleh kebanyakan produser dan pengarah.

Jelas ibu kepada Kaseh itu, jika dia menolak untuk melakonkan watak tersebut seolah-olah dia menolak rezeki.

“Kalau saya mahukan perubahan, apa yang saya boleh lakukan. Takkan saya nak paksa produser untuk mengikut segala kemahuan saya.

“Bagi saya, dalam dunia lakonan ini, kita akan rasa turun naiknya. Kalau kita jatuh, orang tak hargai pun.

“Jadi, saya berserah. Watak apa yang ditawarkan, saya 'sebat' sahaja,” katanya yang baru selesai penggambaran drama 13 episod ‘Pulangnya Karina’ yang akan disiarkan di RTM.

Zila akui, bukan banyak tawaran lakonan yang diterimanya. Lebih-lebih lagi, pendapatannya hanya diraih melalui duit lakonan.

“Saya cari makan melalui lakonan. Jadi, mahu tidak mahu, saya tak boleh kata nak kurangkan berlakon selepas berkeluarga.

“Lagipun, saya tak dapat banyak tawaran berlakon. Sekarang, saya rasa diri saya dah seperti stok artis ‘tenggelam timbul’ yang bukan ‘suam-suam kuku’ tetapi dah hampir nak ‘sejuk’,” luahnya dalam nada seloroh.

Atas kesedaran dunia artis yang tidak boleh menjamin masa depannya, pelakon drama ‘Siong’ menerusi slot Lagenda di TV3 itu sedang berkira-kira untuk mengusahakan perniagaan berkaitan kecantikan.

“Suatu hari nanti, saya nak buka kedai menjual pakaian dan aksesori serta salon.

"Kalau nak buka salon, nampaknya saya kena mengambil kursus dandanan dulu,” cerita pelakon filem No Problem itu penuh ceria.

Sementara itu, Zila juga seronok bercerita mengenai anaknya, Kaseh yang berusia 10 bulan.

Zila akui Kaseh adalah segala-galanya dalam hidupnya kini. Kadangkala, dia percaya puterinya itu mampu memahami perasaannya saat dia dilanda masalah.

“Saya dapat rasa, walaupun masih kecil dan seperti tidak mengerti apa-apa, Kaseh boleh faham perasaan saya.

“Misalnya, semasa dia baru dilahirkan, dia sentiasa menangis dan meragam sehingga saya tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Saya pun turut menangis.

“Selepas itu, saya beritahu dia: ‘Kaseh, jangan buat mama macam ni. Kalau ada apa-apa, tunjuk kat mama.’

"Kemudian, terus dia diam. Esoknya, baru saya tahu dia sakit perut pada hari itu.

“Selain itu, kalau saya ada penggambaran, saya selalu pesan kepadanya supaya jangan nakal-nakal.

"Jadi, apabila saya bertanya kepada adik saya yang menjaganya, dia kata Kaseh tidak meragam dan tidur mengikut waktunya,” cerita Zila lagi.

Artikel Sebelum

Artikel Lain