MENJULANG sesebuah trofi atau anugerah sememangnya boleh dikira sebagai pencapaian terbaik seseorang artis, namun begitu ia bukanlah kayu pengukur kepada kebolehan seseorang pelakon atau penyanyi tanpa mampu memberi impak kepada sesebuah filem atau drama lakonan mereka.Aktres jelita, Betty Banafe mengakui kepuasan berlakon lahir dari dalam dirinya sendiri apabila mampu melakonkan watak tersebut dengan baik dan secara tidak langsung memberi kesan yang mendalam kepada masyarakat yang menontonnya. Walaupun bukan memegang watak utama dalam sesebuah filem atau drama, Betty sentiasa memastikan tanggungjawab terhadap watak yang diberikan tidak dipersiakan begitu sahaja."Pada saya walaupun hanya watak sokongan dan tidak banyak karekter dalam drama atau filem itu, tapi saya mesti memberi impak. Kalau boleh biar watak itu diingati dan mampu memberi kesan."Kebiasaannya saya membaca skrip terlebih dahulu jika skrip longgar saya akan beri cadangan untuk tambah bagi mencantikkan lagi kerekter tersebut."Tapi jika mereka tidak mahu saya menokok tambah, saya lebih rela beri watak tersebut kepada orang lain," ujar gadis kacukan Melayu-Jawa-Arab ini yang pantang diberi skrip longgar.Bermula dengan drama Nur Penyuluh Alam, Betty memberitahu penglibatannya dalam dunia lakonan bukanlah dirancang, lagi pula mendapat tentangan dari arwah bapanya dan lebih parah lagi dia hampir-hampir dibuang Universiti kerana terlalu aktif ketika masih belajar."Saya juga pernah hampir-hampir dibuang Universiti kerana sibuk berlakon ketika itu drama Kiranya Ku Tahu, penggambaran dilakukan di luar negara, nasib baik dekan saya juga seorang pelukis dan memahami aktiviti seni."Dan melihat kepada pencapaian setiap semester saya agak baik, mereka maafkan saya. Saya akui memang sukar untuk bahagikan masa antara berlakon dan belajar," ujarnya yang berjaya menamatkan pengajian dalam bidang Sarjana Muda Komunikasi Massa (dengan Kepujian) dari Universiti Teknologi Mara (UiTM).Betty turut mengakui bentuk wajahnya yang garang menyebabkan dia sering ditawarkan watak-watak antagonis."Saya percaya sebagai seorang pelakon yang baik bukan sahaja mempunyai pendidikan malah kerajinan untuk mengkaji sesuatu watak dan kemahiran mempelbagaikan watak yang diberi."Setakat ini saya belum lagi diberi watak-watak seperti Cinderella atau Puteri Duyung. Sekarang saya baru mencuba-cuba untuk melakonkan watak komedi," ujar Betty yang baru sahaja tamat pengambaran drama Bagi Balik Jandaku .Bercakap tentang cerita cintanya, Betty yang terpengaruh dengan banyak filem cinta, memberitahu dia inginkan seseorang kekasih seperti Prince Charming. Ketika ditanya adakah penyanyi lagenda Nash dari Lefthanded menepati ciri tersebut, dia hanya tersenyum malu."Saya hanya inginkan yang terbaik dalam hubungan itu kalau boleh biarlah yang boleh membimbing dan memanjakan saya," ujarnya sambil tersenyum membayangkan kekasih hatinya.