suria

Syamsul Bergenang Air Mata Di Majlis Pratonton 'KL Drift 2'

Syamsul hampir menitiskan air mata kerana sebak mendengar kata perangsang daripada bapanya, produser Datuk Yusof Haslam di majlis pratonton filem Evolusi KL Drift 2, kelmarin. - Foto oleh AZHAR MAHFOF
Syamsul hampir menitiskan air mata kerana sebak mendengar kata perangsang daripada bapanya, produser Datuk Yusof Haslam di majlis pratonton filem Evolusi KL Drift 2, kelmarin. - Foto oleh AZHAR MAHFOF
Syamsul hampir menitiskan air mata kerana sebak mendengar kata perangsang daripada bapanya, produser Datuk Yusof Haslam di majlis pratonton filem Evolusi KL Drift 2, kelmarin. - Foto oleh AZHAR MAHFOF

BUKAN mudah untuk melihat seorang lelaki menitiskan air matanya, apatah lagi di depan orang ramai. Namun, pengarah dan aktor muda, Syamsul Yusof hampir menitiskan air matanya ketika berucap di majlis pratonton filem terbarunya, Evolusi KL Drift 2, kelmarin.

Ketika tampil untuk berucap di hadapan hadirin sebelum tayangan filem bermula, Syamsul tidak dapat menyembunyikan perasaan sebak dan tergenang air matanya selepas mendengar ucapan daripada bapa tercinta, penerbit filem Datuk Yusof Haslam.

Menurut Syamsul, hatinya sebak dan tersentuh dengan kepercayaan dan kata-kata perangsang ayahnya terhadap usaha dan kerja keras yang dilakukannya selama ini.

Kata-kata keramat itu bagaikan pemangkin semangat buatnya untuk terus berjuang dan menghasilkan karya seni yang lebih baik dari masa ke semasa.

"Terus terang saya katakan, saya sebak dan terharu apabila mendengar ucapan papa (Yusof Haslam) tentang kepercayaan dan sokongannya terhadap saya.

"Walaupun ketika bekerja kami sering bertentangan pendapat, tapi papa sentiasa memberi ruang dan peluang kepada saya untuk berkarya dengan bebas.

"Sokongan itu bagaikan pemangkin semangat buat saya untuk terus bekerja keras dan menghasilkan filem yang lebih bermutu di masa hadapan," ujar Syamsul dalam nada yang tersekat-sekat sambil mengawal emosi.

Syamsul yang memanjatkan kesyukuran atas restu dan sokongan berterusan daripada ibu bapanya turut berjanji untuk mengarahkan tiga buah filem lagi dalam tahun ini. Filem terbarunya, Khurafat baru sahaja menamatkan penggambaran, baru-baru ini.

"Insya'Allah, saya akan buat tiga filem dalam tahun ini. Itu matlamat saya. Filem seram pertama saya, Khurafat baru sahaja selesai penggambaran. Saya mensasarkan untuk buat dua lagi filem tahun ini," katanya.

Di majlis itu juga, Syamsul yang turut bertindak sebagai penulis skrip dan pelakon utama, sempat berkongsi pengalamannya sepanjang pembikinan filem Evolusi KL Drift 2.

Ujarnya, pengalaman mengarahkan filem itu begitu mencabar kemampuannya. Sebagai pengarah, dia bukan sahaja terpaksa bijak menerajui proses penggambaran, malah turut berhadapan dengan cabaran besar untuk menamatkan penggambaran mengikut rangka masa yang ditetapkan.

"Sebagai pengarah, saya bukan sahaja mengetuai pembikinan Evolusi KL Drift 2. Malah, saya dan krew perlu bijak memastikan penggambaran berlangsung dalam rangka masa yang telah ditetapkan.

"Pembikinan filem ini menelan belanja yang tinggi, sebanyak RM2.5 juta. Saya telah diamanahkan untuk menyiapkan filem dalam tempoh 40 hari, jika tidak kos akan terus meningkat.

"Bayangkan kami terpaksa bekerja lebih 18 jam sehari sepanjang 40 hari. Jika ikutkan, mungkin penggambaran berlanjutan hingga 60 hari untuk mencapai tahap kepuasan saya.

"Memandangkan kami berdepan dengan kekangan bajet, mahu tidak mahu saya terpaksa juga siapkan filem ini dalam waktu yang ditetapkan," kata Syamsul lagi.

Selain Syamsul, filem sekuel KL Drift ini turut menampilkan Farid Kamil, Scha Al Yahya, Aaron Aziz, Shaheizy Sam, Remy Ishak dan ramai lagi. Evolusi KL Drift 2 yang berdurasi satu jam setengah bakal menemui penonton bermula 25 Mac ini.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain