AKTOR Badrul Muhayat direman empat hari mulai hari ini bagi membantu siasatan kes mengasari isterinya, Julia Daud, 28, minggu lalu.Pelakon berusia 41 tahun itu ditahan polis di sebuah restoran di Taman Nirwana di Ampang sekitar pukul 11 malam tadi. Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abd Jalil Hassan berkata, pihaknya telah menerima maklumat daripada orang awam yang melihat Badrul di restoran itu."Beberapa anggota kami terus ke restoran berkenaan dan menahan suspek yang memberi kerjasama ketika itu," katanya.Menurut beliau, pihaknya akan memohon perintah reman dikenakan ke atas Badrul bagi membantu siasatan dua kes memukul dan menyerang.Terdahulu, mStar Online melaporkan aktor Badrul Muhayat masih enggan memberi sebarang kenyataan mengenai perkembangan terkininya.Ketika dihubungi mStar Online malam tadi, Badrul sekadar memberitahu dia sedang sibuk menguruskan beberapa urusan peribadi termasuklah membuat laporan polis."Saya sedang menguruskan beberapa urusan peribadi termasuklah hal keluarga dan laporan polis."Saya sangat sibuk malam ini dan tidak dapat beri komen lanjut berhubung berita yang tersebar," katanya.Mendengarkan jawapan ringkasnya, mStar Online cuba memujuk aktor itu untuk mengulas lanjut. Bagaimanapun, dia menolak untuk memberi sebarang komen."Malam ini (semalam) tidak sesuai untuk saya beri apa-apa komen tentang berita itu. Saya sangat sibuk berurusan di balai polis."Saya belum sedia untuk beri apa-apa komen lanjut. Cuba hubungi saya semula esok (hari ini)," jelasnya sebelum menamatkan perbualan.Menurut laporan sebuah akhbar tabloid semalam, isterinya Julia bersama kedua-dua anaknya Siti Norbatrisyia, 2, dan Rohidayat, dua bulan kini berada di kampungnya di Sungkai, Perak, untuk menenangkan fikiran selepas kejadian itu.Justeru, bunyi tangisan anak kecil yang kedengaran di hujung talian ketika perbualan itu berlangsung sedikit sebanyak menimbulkan tanda tanya adakah Badrul sudah pun menemui keluarganya semula.Dalam laporan mStar Online semalam, Badrul begitu berang dengan laporan diterbitkan beberapa akhbar tempatan yang mendakwa dia bertindak kejam terhadap isterinya.Badrul menyifatkan laporan itu sebagai sesuatu yang melampau dan hanya diperbesarkan daripada fakta sebenar yang berlaku.