Anang melancarkan album, 'Separuh Jiwaku Pergi' pada tahun lalu. - Foto THE STAR Oleh LOW LAY PHON SEJAK bercerai dengan Krisdayanti (KD) dan hidup bertiga dengan kedua anaknya, penyanyi dan komposer terkenal Indonesia, Anang Hermansyah merasa pintu rezekinya lebih terbuka luas. Ada sahaja rezeki yang datang tanpa diduga.Antaranya adalah saat dia ditawarkan menjadi bintang iklan sabun cuci baju. Bukan sahaja Anang, malah kedua-dua anaknya, Titania Aurelie Nurhemansyah dan Azriel Akbar Hermansyah juga turut serta dalam penggambaran iklan itu. "Single parent ini membuka pintu rezeki yang berbeza kepada saya untuk memulakan karier baru dengan membintangi iklan sabun cuci baju," kata Anang kepada detikhot ketika ditemui di studio muziknya di kawasan Radio Dalam, Jakarta Selatan, kelmarin.Tawaran berlakon iklan itu datang ketika Anang menyambut ulang tahunnya ke-41 pada 18 Mac lalu. Bos dari syarikat sabun cuci itu mengucap selamat dan bertanyakan hadiah yang diinginkan Anang di usianya yang sudah 'berkepala empat' itu"Saya jawab, aduh tidak mahu yang besar-besar, beri saya pekerjaan sahaja pak. Dia menjawab, ya tunggu lagi satu minggu," begitu Anang mengajuk percakapannya dengan lelaki itu.Selepas itu Anang dan anak-anaknya terus ditawarkan menjadi bintang iklan. Bukan itu sahaja, lagu lama Anang, Timang-timang turut dijadikan jingle iklan tersebut."Saya mahu terima tawaran itu kerana konsep pembuatan iklan itu berkaitan dengan kehidupan kita sehari-hari," jelas Anang.