suria

‘Aalia’ Guna Konsep Drama Indonesia

Antara pelakon utama Aalia termasuk Fazren (tengah) dan Zaryn (dua dari kanan) ketika sidang media Aalia di Restoran Rebung. - Foto oleh MOHD SAHAR MISNI
Antara pelakon utama Aalia termasuk Fazren (tengah) dan Zaryn (dua dari kanan) ketika sidang media Aalia di Restoran Rebung. - Foto oleh MOHD SAHAR MISNI
Antara pelakon utama Aalia termasuk Fazren (tengah) dan Zaryn (dua dari kanan) ketika sidang media Aalia di Restoran Rebung. - Foto oleh MOHD SAHAR MISNI

DRAMA Indonesia atau lebih dikenali sebagai sinetron semakin mendapat tempat di kalangan penggemar drama tempatan.

Malah ada yang sanggup bergegas untuk pulang ke rumah atau lambat memasak kerana menunggu sehingga selesai drama itu disiarkan di televisyen.

Jadi tidak hairanlah sekiranya ‘demam’ sinetron yang melanda penonton membuatkan stesen televisyen dan pihak produksi cuba menghasilkan drama tempatan yang berkonsepkan sinetron.

Mungkin tidak sehebat sinetron popular seperti Bawang Putih Bawang Merah atau Mutiara Hati, Astro Prima menyiarkan drama tempatan berjudul Aalia yang menggunakan konsep cerita seperti sinetron.

Menurut Pengurus Saluran Astro Prima, Nizam Sani, drama 68 episod itu menggunakan kepakaran pengarah Indonesia yang berasal dari India iaitu Anurag Vaishnav dan dibantu oleh pengarah tempatan, Nazirman Karman (Man Beramboi).

“Drama ini menggunakan konsep yang digunakan dalam sinetron iaitu selang empat episod, akan ada konflik baru. Ia juga akan memperkenalkan karakter baru di saat-saat akhir cerita.

“Walaupun cerita ini diambil dari India, tetapi kita masih mengekalkan budaya Melayu. Selain itu, isu dalam cerita itu juga berkait dengan orang Melayu seperti perebutan tanah dan banyak konflik lagi,” katanya ketika sidang media Aalia di Restoran Rebung, Kuala Lumpur.

Bermula 26 April ini, setiap Isnin hingga Khamis, pukul 9 malam, Astro di bawah kempen payung penjenamaan Astro Megadrama akan menyiarkan Aalia bagi menggantikan drama bersiri Senja Permai.

Aalia mengisahkan tentang Aalia (Zaryn Min), seorang gadis cantik, sopan-santun, taat dan tabah mengharungi cabaran hidup.

Perkahwinannya dengan Shahril (Fazreen Rafi), seorang lelaki yang merahsiakan perkahwinan pertamanya daripada Aalia, tidak disenangi oleh ipar-iparnya kerana sifat cemburu.

Perbalahan kecil mula berkembang besar sehingga Aalia terpanggil untuk masuk campur demi mengamankan keadaan. Ini memperlihatkan watak Aalia yang cekal dan tenang dalam mengharungi kehidupan sehariannya.

Drama terbitan Nusantara Seni Karya Sdn Bhd yang melibatkan 25 pelakon lama dan baru itu telah menjalani penggambaran mulai 1 Mac lalu sehingga 27 Mei ini di sekitar Kuala Lumpur, Port Dickson, Ipoh dan Cherating.

“Aalia dilihat sebagai kesinambungan kepada usaha kami dalam terus menarik para penonton untuk menonton drama bersiri harian seperti Senja Permai, yang telah berjaya menarik perhatian penonton terutamanya dari golongan berkeluarga.

“Daripada 64 episod yang disiarkan, saya berpuas hati dengan 51 episod drama Senja Permai. Walaupun kami turut menyiarkan banyak sinetron, namun drama tempatan lebih mencapai rating tertinggi kerana penonton masih nak tonton local content,” katanya lagi.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain