Ain terpaksa mengangkat beg meninggalkan pentas AF8 selepas tersingkir pada minggu kesembilan. - Foto THE STAR Oleh SAMUEL ONGKUALA LUMPUR: Peserta terakhir yang tersingkir dari Akademi Fantasia musim kelapan (AF8) semalam, Ain berasa bersalah kepada para pengundinya."Tidak dapat dinafikan saya sangat kecewa sebab semua peserta pun ingin pergi ke final. "Tetapi perasaan saya sekarang semacam rasa bersalah kerana pengundi yang menyokong saya ingin lihat saya ke final tetapi saya tidak dapat teruskan."Itulah perasaan saya sekarang tetapi sekurang-kurangnya saya sampai ke minggu kesembilan. Saya sudah rasa puas," katanya pada sidang akhbar sejurus AF8 minggu kesembilan berakhir.Konsert akhir AF8 dijadualkan berlangsung di Stadium Putra, Bukit Jalil pada 22 Mei ini.Ain tersingkir ekoran memperolehi undian terendah menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) iaitu 12.94 peratus.Sementara itu, Shahir meraih undian tertinggi iaitu 31.58 peratus diikuti Adira (14.62 peratus), Daus (14.28 peratus), Iwan (13.3 peratus) dan Maulana (13.28 peratus).Ain atau nama sebenarnya, Nadiawaty Ainul Basir, 24 tetap bersyukur dapat bertahan hingga ke minggu kesembilan.Ini kerana katanya, AF8 memberikan suatu pengalaman pembelajaran dan menjalani kehidupan di akademi yang tidak dapat dilupakan."Walaupun masa singkat, tetapi ia memberikan pengalaman manis. Tersingkirnya saya tidak bermakna berakhir kerjaya muzik saya."Sebaliknya, ia adalah satu permulaan saya melangkah ke luar dan bersedia untuk cabaran akan datang," katanya yang hanya menyanyi di majlis perkahwinan serta menghiburkan kawan-kawan sebelum menyertai AF8.Dengan berbekalkan single dan klip video Menanggung Sepi dan pengalaman manis di akademi, Ain tidak pulang dengan tangan kosong.