suria

Dian Sastrowardoyo Nikah Indra Hari Ini

SELEPAS mengikat tali pertunangan pada Februari lalu, aktres Indonesia Dian Sastrowardoyo akan bernikah dengan Indraguna Sutowo hari ini.

Menjelang majlis pernikahan di rumahnya semalam, terdapat upacara siraman dihiasi terung dan pisang.

Bukan terung dan pisang sahaja yang menghiasi gerbang rumah Dian di Jl Bangka Raya, Kemang, Jakarta Selatan malah ada juga kelapa, ubi kayu dan pelbagai buah-buahan.

Selain itu, terdapat juga dua helai daun kelapa muda kuning turut diletakkan di depan rumah bapa saudara Dian yang memang sudah lama menjadi tempat tinggal bintang filem 3 Doa 3 Cinta itu.

Terdahulu, upacara siraman Dian semalam berlangsung secara tertutup untuk media. Pintu gerbang rumah tertutup rapat. Para tetamu undangan yang datang dibenarkan masuk melalui pintu kecil setelah menunjukkan kad undangan.

Di depan pintu rumah kelihatan lima pengawal berpakaian safari. Sayup-sayup terdengar alunan lagu-lagu gamelan Jawa dari dalam rumah.

Salah seorang sahabat Dian, Wulan Guritno menyaksikan upacara siraman tersebut. Menurut Wulan, Dian menjalani upacara siraman itu dengan serius mengikut adat istiadat orang Jawa.

"Majlisnya sangat mengikut adat. Setelah siraman, terdapat rangkaian adat iaitu majlis makan beradap yang begitu mengikut adat," kata Wulan kepada detikhot setelah menyaksikan upacara siraman di kediaman bintang filem Ada Apa Dengan Cinta itu.

Dalam majlis itu, Dian kelihatan cantik. Dia juga tampak gembira dan terharu.

Menurut Wulan, Dian terlihat begitu cantik mengenakan kebaya hijau saat siraman. Resepsi menjelang pernikahan itu dilakukan penuh teratur.

"Dian mengenakan pakaian adat Jawa iaitu Kebaya Payet dan kondean langsung mengingatkan kepada waktu akad nikah saya dulu," jelas Wulan.

Wulan juga melihat raut wajah Dian ketika melakukan upacara siraman. Kata Wulan, Dian begitu terharu namun tampak berseri-seri.

"Saya lihat mukanya berseri-seri dan dia sangat gembira," kata Wulan.

Sebagai sahabat, Wulan juga memberikan nasihat kepada Dian tentang kehidupan berumah tangga.

Artikel Berikut

Artikel Lain