suria

Bahu Fizo Terseliuh Gara Gara Jersi 9

GARA-GARA ingin menghayati watak dalam drama Jersi 9, pelakon Fizo Omar (gambar) terjatuh ketika melakukan aksi bicycle-kick ketika penggambaran drama itu Mac lalu sehingga menyebabkan bahu kirinya terseliuh.

Kata Fizo, kejadian itu berlaku ketika hari hujan apabila dia terpaksa melakukan beberapa adegan untuk membolehkan pengarah mendapat sudut yang diinginkan dalam drama berkenaan.

“Saya tak pakai alat keselamatan. Itulah akibatnya. Kira-kira dua bulan saya mengalami sengal-sengal pada bahu kiri,” katanya kepada pemberita semasa ditemui ketika sesi pelancaran drama bersiri Jersi 9 di Restoran Bora Ombak, Ampang, Selasa lalu.

Jersi 9 bakal bersiaran menerusi TV9 pada setiap Ahad, pada pukul 10 malam, mulai 6 Jun ini.

Menurut Fizo, akibat kemalangan kecil itu dia telah melakukan pintasan X-ray serta mendapatkan rawatan urut secara tradisional untuk menyembuhkan kecederaannya.

Ujarnya, teknik menggelecek bola serta menjaringkan gol ddalam drama berkenaan dilakukan sendiri tanpa menggunakan pelakon aksi ngeri.

“Pergerakan saya agak terbatas gara-gara terseliuh tetapi tidak menjejaskan penggambaran drama berkenaan yang dapat disiapkan kira-kira sebulan,” katanya yang aktif bermain bola sepak sejak berusia 12 tahun.

Mengulas mengenai Jersi 9, Fizo memberitahu, drama itu adalah lakonan pertamanya yang mengisahkan cerita bola.

Katanya, ia juga seperti cerita sebenar kehidupannya apabila dia menyertai akademi bola sepak sehinggalah menjadi pemain bola sepak peringkat negeri dan kebangsaan.

Selain itu, Fizo berkata, drama itu menyelitkan 20 hingga 30 peratus elemen cinta untuk mencantikkan jalan cerita berkaitan bola sepak.

"Percintaan dalam drama itu menguatkan semangat saya menjadi pemain bola sepak... Saya hampir nak menyerah kalah," katanya.

Jersi 9 mengisahkan Mokhtar (Fizo Omar), seorang remaja di kampung yang bercita-cita besar untuk menjadi seorang pemain bola sepak profesional kelak.

Setiap hari, Mokhtar akan meluangkan masanya untuk membantu bapanya di kebun dan di situ jugalah dia akan berlatih bermain bola sepak seorang diri.

Drama bersiri 13 episod ini turut menampilkan pemain kebangsaan terkenal seperti Dollah Salleh, Anuar Abu Bakar, Muhammad Kaironnisam Sahabudin Hussain dan Myhan Rossihan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain