Demi minat yang mendalam, Pak Long tekad memulakan karier nyanyiannya walaupun di usia 46 tahun. - Foto oleh RAYMOND OOIDEK kerana sebuah lagu yang mengasyikkan, siapa sangka lelaki berusia 46 tahun ini tiba-tiba menjadi sebutan di kalangan peminat muzik.Nama Pak Long mungkin masih asing dan kedengaran janggal bagi segelintir pihak, namun pertaruhan anak jati Kedah ini menerusi pautan lagu Selagi Ada Rindu di laman web YouTube yang mendapat sambutan luar biasa di kalangan peminat seakan menyerlahkan potensinya untuk melangkah jauh dalam dunia hiburan tanah air. Pak Long atau Shafie Ahmad sebenarnya sudah lama berkarya dalam industri. Cuma, sebelum ini bapa kepada tujuh orang anak ini hanya dikenali sebagai orang belakang tabir menerusi lagu-lagu gubahannya termasuklah Cinta Pantai Merdeka (nyanyian kumpulan Tropika dan Jinbara) dan Al-Jannah (nyanyian Mawi).Namun, minat yang mendalam dan keyakinan terhadap muzik yang diperjuangkannya memberi kekuatan untuk Pak Long mencuba nasib sebagai penyanyi biarpun dia bermula agak lewat."Bagi saya, usia hanyalah angka. Sama ada kita bermula pada usia muda atau lambat sedikit, ia bukan satu isu besar. Saya berani untuk tampil sebagai penyanyi pun selepas melihat sambutan luar biasa peminat terhadap lagu Selagi Ada Rindu yang mencecah jutaan tontonan di YouTube."Daripada situ saya lihat masyarakat kita sebenarnya semakin bijak dalam menilai dan menghargai muzik. Hari ini, bukan rupa atau usia yang menjadi faktor kejayaan seseorang penyanyi itu untuk diterima tapi kerana karya yang sedap didengar," katanya.Menurut Pak Long yang ditemui di majlis pelancaran album sulungnya, Selagi Ada Rindu di Red Box Ria, Sogo baru-baru ini, hasrat untuk bergelar penyanyi telah lama terbuku di hati, malah jika mendapat 'lampu hijau' daripada orang tuanya di sekitar tahun 1990an, sudah tentu Pak Long sudah lama bergelar penyanyi.Dek rasa hormat dan patuh kepada orang tuanya, dia terpaksa menguburkan impiannya itu, sementelah pada ketika itu dia juga harus menjaga dan menguruskan ayahnya (arwah) yang sedang uzur."Kalau diikutkan pada tahun 90-an lagi saya sudah bergelar penyanyi, selepas saya mencipta lagu Cinta Pantai Merdeka sekitar tahun 1993, beberapa pihak menggalakkan untuk saya bergiat secara serius dalam industri ini."Tapi pada ketika itu, saya terpaksa menjaga arwah ayah yang sedang uzur, tambahan pula dia tidak begitu menggalakkan saya untuk menceburi bidang seni. Sebagai anak, saya hormati keputusan itu. Saya terpaksa balik ke kampung dan pendamkan saja hasrat untuk menjadi penyanyi," imbas Pak Long dengan sayu.Malah, dek rajuknya pada ketika itu, Pak Long mengakui dia langsung tidak menyentuh gitar dan berkarya hingga tujuh ke lapan tahun lamanya selepas penghasilan lagu Cinta Pantai Merdeka itu. Namun, segalanya berubah selepas lagu Al-Jannah nyanyian Mawi mendapat sambutan daripada peminat muzik tanah air.Katanya, selepas lagu itu popular pada tahun 2006, ramai rakan-rakan seperjuangan mula menggalakkannya untuk menyanyi semula secara profesional."Selepas Al-Jannah nyanyian Mawi itu popular, ramai rakan terdekat dan orang-orang industri menggalakkan saya untuk menyanyi secara profesional dan dari situlah saya menyahut cabaran itu untuk tampil ke depan."Tambahan pula sambutan orang ramai terhadap lagu Selagi Ada Rindu itu benar-benar membakar semangat saya untuk memberi kelainan kepada industri muzik menerusi lagu-lagu kemelayuan yang dekat dengan alam, cinta dan kasih sayang yang sebati dengan jiwa orang kita," ujarnya lagi.Diusik tentang nama Pak Long yang diperdagangkan sebagai jenamanya dalam bidang nyanyian ini, Pak Long berkata, nama itu adalah sapaan dan gelaran yang diberikan kepadanya sejak dia kecil lagi.Memandangkan dia adalah anak tunggal dalam keluarga, maka Pak Long senang dan sinonim dengan gelaran itu. Katanya lagi, ketika mencipta lagu Cinta Pantai Merdeka, kira-kira 17 tahun lalu pun dia memang menggunakan nama itu yang dianggapnya mudah disebut dan diingat."Nama Pak Long itu sudah sebati dengan saya sejak kecil lagi. Bukan sahaja dalam keluarga, malah semua sahabat-handai dan orang kampung pun panggil saya dengan nama itu."Lagipun, nama Pak Long itu kan mudah disebut, unik dan senang diingat. Sebab itu saya gunakan nama itu bila jadi penyanyi," jelasnya.Album Selagi Ada Rindu yang mengandungi 10 buah lagu termasuk Selagi Ada Rindu, versi rakaman semula lagu Cinta Pantai Merdeka dan Al-Jannah ini diterbitkan oleh Kacip Emas Global Sdn Bhd. Album edaran FMC Music ini telah berada di pasaran sejak Mei lalu.