Razali Hussain melakonkan watak Uda dalam Muzikal Uda dan Dara yang akan dipentaskan di Istana Budaya pada 10 hingga 20 Julai ini. - Foto oleh IQMAL HAQIM ROSMANNASKHAH Muzikal Uda dan Dara bagaikan sudah sebati dalam jiwa pengarah prolifik dan pelakon terkenal Datuk Rahim Razali.Pemilihan pelakon untuk watak utama iaitu Uda dan Dara dicari dengan penuh teruja dan hati-hati. Jadi tidak hairanlah jika dia mengambil masa yang lama untuk membuat keputusan siapa yang memegang watak Uda setelah bersetuju watak Dara layak diberikan kepada penyanyi, Misha Omar. Sebelum ini, beliau pernah menyenaraikan nama pelakon Remy Ishak untuk melakonkan watak itu namun gagal kerana Remy mempunyai komitmen lain. Itu belum dikira lagi beliau menolak beberapa nama lain iaitu pelakon Tony Eusoff dan Rashidi Ishak pada sesi uji bakat sebelum ini.Akhirnya, tamatlah pencariannya apabila memilih aktor Razali Hussain untuk memikul watak tersebut.Menurut sutradara berusia 70 tahun itu, beliau terpikat dengan sifat kemelayuan, kebolehan berlakon dan ‘kecantikan’ silat yang dipamerkan oleh Razali."Saya mengambil masa sekejap sahaja untuk memilih Razali memegang watak Uda. Selepas menjalani uji bakat dan melihat seni silatnya, terus saya bersetuju untuk mengambilnya," kata Rahim yang pernah melakonkan watak Uda semasa pementasan muzikal tersebut lebih 25 tahun dulu.Uda dan Dara pernah dipentaskan sebanyak lima kali sejak tahun 1972. Ia merupakan karya ulung Sasterawan Negara Datuk Dr Usman Awang.Tahun ini, muzikal terbitan UA Enterprises Sdn Bhd itu akan dipentaskan pada 10 hingga 20 Julai di Istana Budaya.Sementara itu, Razali sentiasa merendah diri dengan pujian yang diberikan oleh Rahim itu.Malah katanya, “Saya tak rasa sudah cukup bagus kerana saya kurang terdedah dengan seni silat. Begitu juga dengan lakonan, nyanyian dan tarian saya yang dirasakan tidak terlalu hebat.”Pelakon yang berpeluang memegang watak hero buat kali kedua selepas teater Pasrah pada tahun 2005 itu menganggap pemilihannya lebih menepati tiga perkara asas dalam seni persembahan iaitu merangkumi lakonan, nyanyian dan tarian.“Saya rasa teruja, takut, risau dan bimbang kerana teater ini akan mendapat harapan yang tinggi daripada penggiat teater yang pernah menonton Uda dan Dara sebelum ini memandangkan saya sendiri tidak pernah menontonnya.“Banyak perkara yang saya pelajari daripada Datuk Rahim ketika menjalani latihan. Dia tidak mahu saya terlalu mengikut penyampaian dialog seperti orang zaman dulu kala tetapi kekalkan dengan bahasa yang puitis dan sastera.“Terus-terang saya katakan, selepas terpilih untuk melakonkan watak ini dua minggu lalu, saya masih mencari keserasian dalam watak Uda,” ujar pemuda berusia 34 tahun itu.Dalam pada itu, ketika bertanya tentang ‘Dara’ sebenar di alam realitinya, Razali hanya tersenyum simpul dan menjawab ringkas, “Saya masih menunggu…”