suria

Aida Khalidah Tuntut Nafkah Sementara RM1,000

PETALING JAYA: Pelakon terkenal, Aida Khalidah yang dulunya dikenali sebagai Aida Radzwill memohon supaya diberikan nafkah sementara berjumlah RM1,000 sebulan sehingga keputusan permohonannya untuk bercerai secara fasakh terhadap suaminya, Joe Radzwill diputuskan.

Permohonan itu dibuat secara lisan menerusi peguam syarie, Nahar Alias yang mewakili Aida pada prosiding sebutan kes fasakh pasangan itu di Mahkamah Rendah Syariah di sini, Khamis.

Menurut Alias, permohonan itu dibangkitkan pada prosiding mahkamah memandangkan Joe, seorang pelakon dan penyanyi yang dinamakan sebagai defendan tidak menjawab surat yang dihantar pada 25 Jun lalu bagi memohon tuntutan nafkah tersebut.

“Kami telah menghantar surat agar jumlah itu diberikan kerana anak guam saya (Aida) perlu menjelaskan bil-bil yang mencecah RM5,000. Kami hanya memohon RM1,000. Saya percaya defendan boleh menunaikan tanggungjawab tersebut,” tambahnya.

Bagaimanapun, permohonan itu dibantah oleh peguam syarie, Roslizam Rahim yang mewakili Joe atas alasan prosiding tersebut bukanlah forum yang sesuai untuk permohonan nafkah.

“Ini adalah permohonan untuk fasakah dan bukan permohonan lain. Sekiranya plaintif (Aida) berhasrat menuntut nafkah, ia perlu dilakukan secara teratur seperti yang diperuntukkan undang-undang.

“Permohonan plaintif secara mengejut dan tanpa notis seperti ini boleh memprejudiskan anak guam saya dan ini tidak adil,” ujar Roslizam dan mencadangkan supaya permohonan itu dibuat secara formal dan disokong oleh afidavit bagi memelihara hak defendan.

Roslizam juga memberitahu, pihaknya sengaja tidak menjawab surat yang dihantar kerana ia bukan satu perintah mahkamah yang mengikat mereka mahupun mahkamah yang mendengar permohonan fasakh.

Hakim Syarie, Mohd Yusri Kasim bersetuju bahawa setiap permohonan yang dibuat perlulah mengikut prosedur yang sepatutnya.

Beliau juga menetapkan permohonan fasakh didengar pada 2 September depan selepas dimaklumkan Roslizam bahawa Joe, pelakon filem Black Maria itu akan menunaikan umrah pada 11 Ogos ini.

Aida Khalidah, 53, atau nama sebenarnya Aida Khalidah Ahmad memfailkan permohonan fasakh terhadap Joe Radzwill, 40, pada 27 April lalu kerana mendakwa suaminya gagal memberi nafkah lebih dari tiga bulan dan lazim menyakiti serta menjadikan hidupnya menderita.

Bagaimanapun, pada 22 Jun lalu, Joe Radzwill atau nama sebenarnya Ismail Ahmad @ Mohd Radzwill menerusi penyataan pembelaannya menolak tuntutan fasakh itu dan mahupun isterinya kembali taat dalam masa 14 hari.

Pasangan yang hadir secara berasingan itu bernikah di Yala, Selatan Thailand pada 6 November 2002 dan tidak dikuniakan anak sepanjang perkahwinan tetapi mempunyai cahaya mata bersama bekas pasangan masing-masing.

Selepas tujuh tahun berkahwin, pasangan itu mengesahkan pernikahan mereka di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur, dekat sini pada 3 September 2009.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain