suria

Vanidah Imran & Rashidi Ishak Teruja Pegang Watak Suami Isteri

Vee (kanan) dan suami, Shidi seronok berlakon sebagai suami isteri buat kali pertama di depan skrin.
Vee (kanan) dan suami, Shidi seronok berlakon sebagai suami isteri buat kali pertama di depan skrin.
Vee (kanan) dan suami, Shidi seronok berlakon sebagai suami isteri buat kali pertama di depan skrin.

PASANGAN suami isteri yang juga pelakon popular Vanidah Imran (Vee) dan Rashidi Ishak (Shidi) mengakui teruja apabila digandingkan buat pertama kali sebagai suami isteri di dalam satu drama.

Biarpun kedua-duanya pernah bersatu dalam beberapa drama seperti Buih-buih Cinta dan filem Setem sebelum ini tetapi tidak pernah memegang watak sebagai suami isteri.

Bagaimanapun, drama bersiri terbaru bertajuk 8 Bulan terbitan Red Communications ini akhirnya merealisasikan impian pasangan ini untuk bersatu bagi watak tersebut.

Menurut Vee yang ditemui pada majlis pelancaran drama bersiri lapan episod itu di ibu negara Selasa, karya arahan Imri Nasution itu disifatkannya sebagai sesuatu yang cukup istimewa.

"Selama ini ramai peminat yang bertanya bila kami hendak bergandingan sebagai suami isteri dalam drama ataupun filem.

"Malangnya tiada tawaran yang benar-benar mahukan kami berlakon sebagai pasangan suami isteri sehinggalah Red Communications menawarkan watak untuk drama 8 Bulan ini," kata Vee.

Bukan hanya kerana ia menggandingkan mereka berdua sebagai suami isteri buat kali pertama, bahkan konsep dan plot drama itu yang memaparkan kisah pasangan suami isteri dan realiti yang berlaku dalam perkahwinan memikat Vee untuk menerima watak Linda itu.

"Bukan kerana watak suami isteri itu sahaja yang menarik perhatian saya, malah konsep dan plot cerita ini tentang kehidupan pasangan suami isteri itu berbeza dan realistik.

"Walaupun drama ini dipersembahkan dalam bentuk santai dengan suntikan elemen komedi ringan tetapi mesej di sebaliknya boleh menjadi pengajaran dan panduan kepada penonton," katanya yang tidak menolak plot drama itu sedikit sebanyak adalah refleksi kepada kehidupan rumah tangga mereka juga.

Bergandingan di samping Vee, Shidi pula berkata, wataknya sebagai Faizal iaitu suami kepada Linda adalah seorang pereka grafik yang berpuas hati dengan pencapaian hidupnya dan mengambil mudah segala urusan dalam rumah tangga.

Perwatakan itu katanya dirasakan istimewa kerana watak suami seperti itu banyak berlaku dalam rumah tangga masyarakat kita.

"Watak Faizal yang mengambil mudah urusan dalam rumah tangga itu amat menarik. Karakternya selamba, ringkas dan terlalu mementingkan kerja itu mencetuskan konflik dalam perkahwinannya. Bagaimanapun, perangainya mula berubah selepas isterinya mula mengandung.

"Plot drama ini yang mempunyai sentuhan komedi selamba dan garapan yang baik daripada pengarahnya, Imri membuatkan persembahan 8 Bulan menarik dan segar dalam konteks drama Melayu," katanya.

Siri 8 Bulan mengisahkan tentang detik-detik penting dalam kehidupan sepasang suami isteri, Linda dan Faizal dari saat menyambut kelahiran cahaya mata mereka sehingga perancangan kewangan dalam tempoh lapan bulan.

Membariskan Vanidah Imran, Rashidi Ishak, Tony Eusoff, Maizurah Hamzah, Norman Hakim, Yasmin Hani dan Nazril Idrus, drama tajaan HSBC Amanah Malaysia Berhad ini akan bersiaran bermula 25 Julai ini, setiap Ahad jam 10.30 malam di TV3.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain