Antara lukisan hasil kerja tangan Ainul. - Foto oleh DALILAH NADIAH MOHD SHAHRIFUDDINBARU-BARU ini, pelakon dan penyanyi Ainul Aishah dikritik hebat kerana suaranya tidak sedap dan masih belum layak bergelar seorang penyanyi.Namun, dia tidak mudah melenting sebaliknya hanya mampu tersenyum menerima setiap kritikan dengan hati terbuka. Biar apa pun perasaan yang dirasai olehnya, Ainul selesa untuk berkongsi perasaan itu menerusi lukisan.“Saya akan merasa tenang setelah meluahkan apa yang saya rasa pada lukisan. Setiap lukisan saya mempunyai cerita tersendiri. Itulah kepuasan yang saya dapat apabila melukis,” katanya kepada mStar online.Setakat ini, dia telah berjaya menghasilkan kira-kira sembilan lukisan sejak menuntut di universiti. Tambahan pula minatnya dalam bidang lukisan memang sudah tertanam sejak kecil.“Saya tidak terlalu pandai melukis tetapi sejak sekolah menengah, saya suka menghasilkan lukisan.“Seterusnya, saya mengambil kelas melukis di universiti dan mendapat A dalam peperiksaan,” ujarnya.Semasa majlis pelancaran single pertamanya, The Old Him baru-baru ini, Ainul sempat mempamerkan lukisan-lukisan hasil kerja tangannya.Tidak dinafikan, pelakon drama Senja Permai dan Spa Qistina itu merancang untuk menjual lukisan-lukisannya sekiranya ada yang berminat untuk membeli.“Kalau jual, ada ke orang nak beli? Kadangkala saya ada terfikir juga untuk menjual lukisan-lukisan itu kerana ada juga rakan-rakan yang bertanya.“Kalau ada yang nak beli, apa salahnya. Saya akan buat betuk-betul dan cantikkan lukisan asal itu,” tuturnya.